Tuesday 16 October 2012

USAHAWAN BUMIPUTERA TIDAK KETINGGALAN




TAWAU : Usahawan Bumiputera perlu meningkatkan kesedaran mereka sekiranya mereka ingin menikmati hasil kekayaan negara.

Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, anak-anak muda khususnya para graduan perlu ditanamkan dalam pemikiran mereka untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

“Sememangnya ramai di antara usahawan Bumiputera yang berjaya pada hari ini mendapat bantuan daripada pihak kerajaan samada dalam bentuk kewangan, khidmat nasihat, bantuan promosi serta kemudahan premis perniagaan”.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Jualan Mega 2012 anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA). Hadir sama Pegawai MARA Tawau Mohd Yassin Ajum.

Bagi usahawan yang telah berjaya katanya, beliau berharap mereka berdiri sendiri dan mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak lagi bergantung kepada pihak kerajaan.

“Segala usaha untuk mewujudkan kelompok usahawan Bumiputera sebenarnya amat perlu diberikan perhatian dan keutamaan sekiranya kita ingin melihat dan memastikan kaum Bumiputera tidak ketinggalan dalam kepesatan era pembangunan khususnya di Negeri Sabah ini”.

Oleh itu, beliau berharap mereka terus bekerja keras kerana sebagaimana yang kita maklum, semakin maju sesebuah negeri, semakin banyak peluang yang wujud untuk kita terokai.

“Tetapi dalam masa yang sama, cabaran dan persaingan yang terpaksa kita hadapi juga semakin getir, kerana semakin ramai usahawan akan memasuki pasaran yang sama”.

Kerajaan  Negeri Sabah katanya akan terus menjadi tumpuan perniagaan kerana sumbernya masih banyak yang boleh diterokai.

Sehubungan itu beliau berharap agensi kerajaan dengan kerjasama usahawan Bumiputera sedia ada akan terus berusaha dan berganding bahu antara satu sama lain ke arah melahirkan lebih ramai lagi Bumiputera mempelopori perniagaan seiring dengan usahawan-usahawan bukan bumiputera

Sumber 

No comments:

Post a Comment