Tuesday 30 March 2010

3,000 banjiri Karnival Pendidikan MARA

KUALA TERENGGANU 29 Mac - Sebanyak 3,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) membanjiri Pusat Dagangan Terengganu (TTC) sempena Karnival Pendidikan MARA 2010 Peringkat Zon Timur, di sini semalam.

Lebih 60 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) dari seluruh negara menyertai karnival kali kedua itu selepas Kuantan menjadi tuan rumah tahun lalu.

Karnival dua hari itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Muhamad.

Turut hadir, Pengarah MARA Terengganu, Razali Nurdad.

Razali dalam ucapannya menggesa pelajar lepasan SPM dan STPM perlu memanfaatkan sepenuhnya maklumat berkaitan peluang pengajian dan masa depan kerjaya pendidikan pada karnival berkenaan.

"Kita harap para pelajar yang baru menerima keputusan SPM dan STPM tempoh hari dapat manfaatkan peluang dengan mengunjungi karnival dua hari ini demi masa depan pengajian dan kerjaya mereka," katanya.

Beliau memberitahu, antara tujuan karnival itu diadakan bagi mendedahkan para pelajar lepasan SPM dan STPM mengenai peluang pendidikan yang ditawarkan MARA.

Katanya, karnival itu turut membantu para pelajar membuat pilihan tepat mengenai bidang pengajian yang bersesuaian dengan minat dan kelayakan akademik mereka.

"Karnival ini juga menjadi platform kepada MARA untuk mempromosikan Institusi Pendidikan MARA dan IPTS kepada orang ramai," katanya.

Monday 29 March 2010

Peminjam MARA Enggan Bayar Hutang Akan Disekat Ke Luar Negara

KUALA TERENGGANU, 28 Mac (Bernama) -- Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang enggan membayar pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk menyekat mereka daripada ke luar negara, kata Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Muhamad.

Beliau berkata bagi tujuan itu, MARA akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan menurutnya sehingga kini dianggarkan jumlah hutang tertunggak berjumlah RM500 juta.

"Yang tak bayar hutang ini kalau tak silap saya berjumlah setengah bilion...ada sesetengah antara mereka mendapat pengecualian kerana keputusan (peperiksaan) yang bagus tetapi belum memohon supaya dikecualikan.

"Jadi dalam rekod kita tulis hutanglah. Kalau mereka ini minta, mungkin hutang tertunggak itu dalam RM200 juta sahaja. Kita pun telah mula mengadakan kerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk menyekat orang-orang yang tak bayar hutang dari ke luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan MARA 2010 Peringkat Zon Timur di sini, pada Ahad.

Ibrahim berkata MARA telah mengisytiharkan kira-kira 10 orang peminjam sebagai muflis setelah gagal melunaskan pinjaman mereka.

Beliau berkata peminjam dialu-alukan untuk mengadakan perbincangan berhubung pembayaran balik pinjaman dengan MARA.
-- BERNAMA

Friday 26 March 2010

Anggota Parlimen Hulu Selangor Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras,Kajang, kira-kira 9.27 malam Khamis akibat barah otak, demikian menurut adiknya Md. Hambali Ahmad.

Zainal Abidin, 71, meninggalkan isteri Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat orang anak.

Beliau memenangi kawasan Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum Mac 2008 di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor ketika dalam UMNO.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, Zainal pernah menjawat jawatan exco negeri, antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Zainal Abidin adalah seorang ahli akademik sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa.

Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya Pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

Dalam UMNO, Zainal Abidin pernah menjadi Pengerusi, cawangan UMNO Cheras (1987) serta pernah mengetuai UMNO Bahagian Hulu Langat untuk beberapa penggal.

Zainal Abidin menyertai PKR pada tahun 2005 dan menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu bagi penggal 2007/2010.

Zainal turut aktif dalam pelbagai pertubuhan dan pernah menjawat jawatan seperti Pengerusi Persekutuan Pelajar Melayu, Pengerusi Majlis Pemuda Hulu Langat dan Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Selangor.

Semasa dalam UMNO, Zainal memenangi tiga penggal berturut-turut kerusi Dewan Undangan Negeri Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999.

Pilihan raya umum ke-11 pada 2004, Zainal digugurkan daripada menjadi calon.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Sementara itu, anak kedua allahyarham Azri Zin, 36, berkata ayah sempat meninggalkan pelbagai pesan dan nasihat kepada anak-anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Tiga lagi anaknya ialah Azura, 37, Aznizah, 29 dan Azizah, 25.

Jenazah dijangka disembahyangkan di Masjid Batu 10, Cheras, di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Batu 9, Cheras, kira-kira pukul 11 pagi esok.

Tuesday 23 March 2010

MRSM Lipis dinamakan Maktab Rendah Sains MARA Tun Ghazali Shafie

23/03/2010 2:19pm
KUALA LIPIS 23 Mac. — Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lipis bakal bertukar nama kepada Maktab Rendah Sains MARA Tun Ghazali Shafie.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pahang Abu Jimmi Samat berkata perkara itu telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau (Najib) melawat Kuala Lipis sabtu lepas.

"Perdana Menteri ketika mengadakan mesyuarat tertutup dengan Umno bahagian Lipis telah bersetuju agar MRSM berkenaan ditukarkan nama sebagai Maktab Rendah Sains MARA Tun Ghazali Shafie.

"Ia sebagai mengenang jasa bekas Menteri Dalam Negeri itu yang juga bekas Ketua Umno bahagian Lipis yang dilihat banyak berjasa kepada negara,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Abu Jimmi berkata dalam perjumpaan dengan Perdana Menteri itu juga, Umno bahagian Lipis mencadangkan agar beberapa jalan serta bangunan bersejarah di daerah ini dinamakan sempena nama Tun Ghazali Shafie.

MRSM itu mula dibuka pada 11 Mac 2002 dan kini menempatkan 708 pelajar. — BERNAMA

Monday 15 March 2010

MARA tawar 12,370 tempat kepada pelajar

KUALA LUMPUR 12 Mac – Sebanyak 12,370 tempat disediakan untuk pelajar di institusi pendidikan yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi sesi pengambilan Julai tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kursus yang ditawarkan adalah bagi peringkat sijil, diploma, ijazah pertama dan sarjana dalam bidang akademik, profesional dan kemahiran teknikal.

‘‘Kolej Polytech MARA menawarkan 4,940 tempat, Universiti Kuala Lumpur (4,238), Kolej Profesional MARA (1,780), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (1,004) dan German-Malaysian Insititute (408),” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Pendidikan MARA 2010 Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh.

Pada majlis itu, Idris menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance Bank, Datuk Mohamed Azahari Kamil berhubung persetujuan bank itu memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi menaja 10 pelajar Sarjana Muda Perbankan Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut Mohd. Shafie, terdapat 10,800 tempat juga disediakan di Pusat GiatMARA untuk pelajar yang ingin mempelajari kemahiran dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan MARA boleh meninjau sendiri kursus yang ditawarkan di karnival pendidikan yang berlangsung sehingga Ahad ini.

‘‘Karnival sama akan diadakan di Plaza Astana, Kuching dari 19 hingga 20 Mac, Pusat Dagangan Sabah di Kota Kinabalu (24-25 Mac) dan Pusat Dagangan Terengganu di Kuala Terengganu (28-29 Mac).

‘‘Ia juga akan diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar dari 3 hingga 4 April dan Plaza Angsana, Johor Bahru (10-11 April),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihatkan pelajar supaya memilih bidang pengajian berdasarkan minat masing-masing dan bukan kerana tekanan ibu bapa atau mengikut kawan-kawan.

‘‘Pelajar bumiputera yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) juga perlu membuat permohonan untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Friday 12 March 2010

MRSM Kuching catat GPS tertinggi

KUCHING 11 Mac - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuching mencatatkan sejarah tersendiri apabila pelajarnya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan gred purata sekolah (GPS) 2.04 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh 16 tahun.

Pada masa sama, seramai 25 pelajar MRSM itu memperoleh sekurang-kurangnya A- dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding hanya 11 orang pada 2008.

Pengetuanya, Shabini Ahmad berkata, seramai 132 pelajar MRSM menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu dan mencatatkan keputusan lulus 100 peratus dalam semua mata pelajaran.

Menurutnya, keputusan SPM yang diumumkan hari ini adalah di luar jangkaan malah melepasi sasaran yang ditetapkan dan tertinggi sejak MRSM itu ditubuhkan pada 1994.

''Kejayaan pelajar hari ini adalah hasil kombinasi, kerjasama serta komitmen tinggi semua pihak di maktab ini yang menekankan kepentingan semua mata pelajaran untuk mencapai prestasi cemerlang.

''Pencapaian GPS turut meningkat malah tertinggi pernah dicapai iaitu 2.04 peratus berbanding tahun sebelumnya, hanya 2.5 peratus," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Shabini memberitahu, empat pelajar MRSM yang cemerlang awal-awal lagi terpilih untuk mengikuti skim pelajar cemerlang (SPC) sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke luar negara.

Katanya, empat pelajar tersebut dipilih berdasarkan pencapaian mereka dalam peperiksaan percubaan sebelum ini, dijangka melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Malah, tambahnya, salah seorang daripada empat pelajar tersebut iaitu Esther Michael yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan aktif mengikuti gerak kerja luar berkumpulan.

''Esther dan kumpulannya pernah mewakili maktab ini ke peringkat kebangsaan dalam menghasilkan produk inovasi daripada komposit kelapa sawit dan memenangi pingat perak.

''Sehubungan itu, kita bukan sahaja menekankan bidang akademik bahkan mencorak keperibadian para pelajar dengan memupuk keyakinan diri dalam apa juga bidang yang diceburi," ujarnya.

Tuesday 9 March 2010

MARA dan Bank Muamalat tandatangan MoU Skim Jaminan MARA

Pada 25 Feb 2010 yang lalu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menjalin kerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) bagi Skim Jaminan MARA untuk membantu usahawan Bumiputera yang terbabit dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kementerian Kewangan sudah meluluskan pinjaman RM30 juta bagi melaksanakan skim itu dengan usahawan yang layak akan mendapat kemudahan jaminan pembiayaan perniagaan sehingga 80 peratus daripada agensi itu.

Beliau berkata, baki jaminan 20 peratus lagi pula akan ditanggung sendiri usahawan terbabit mengikut syarat yang sudah ditetapkan pihak bank.

Menurutnya, skim itu juga diperkenalkan kerana usahawan IKS Bumiputera sering berdepan masalah mendapatkan pinjaman kerana tidak mempunyai cagaran mencukupi.

“Pada peringkat awal, Bank Muamalat akan menyediakan kemudahan pinjaman bermula dari RM500,001 hingga RM2 juta.

“Sekiranya skim itu berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan, MARA mungkin akan meningkatkan skim jaminan ini untuk jumlah pembiayaan lebih besar,” katanya kepada media selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) itu antara MARA dan Bank Muamalat di Shah Alam.

Katanya, sebagai permulaan, MARA menjangka 50 hingga 100 usahawan Bumiputera yang layak akan dibiayai melalui skim jaminan itu.

Beliau berkata, skim itu hanya ditawarkan kepada mereka yang layak bergelar usahawan dan mempunyai strategi perniagaan yang realistik dan komited serta menjalankan perniagaan IKS mengikut syariah.

“Sekarang ini terlalu ramai yang mahu menjadi usahawan, ada yang tidak serius. Jadi skim ini khas untuk mereka yang betul-betul memerlukan pinjaman untuk mengembangkan perniagaan, bukan untuk tujuan lain,” katanya.

Menurutnya, skim itu juga diperkenalkan selaras program ‘Groom Big’ oleh MARA bertujuan menaik taraf perniagaan usahawan sedia ada kepada skala lebih besar termasuk menembusi pasaran global.

“Faktor kedua yang memerlukan MARA mewujudkan skim ini kerana MARA mempunyai dana terhad bagi memenuhi permohonan pembiayaan yang meningkat setiap tahun.

“Sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), MARA sudah meluluskan 38,070 permohonan pembiayaan perniagaan berjumlah RM1.7 billion,” katanya.

Pada majlis sama, Idris turut mengumumkan pelantikan Bank Muamalat sebagai Penasihat Syariah kepada MARA untuk tahun keempat.

“MARA berharap panel syariah Bank Muamalat akan dapat terus membantu MARA bagi membangunkan produk baru dan mewujudkan sistem operasi, teknik, peraturan dan piawaian selaras kehendak syariah,” katanya. - Bernama

Monday 8 March 2010

Kerajaan Umum Skim Biasiswa Untuk Pelajar Cemerlang MARA - Shafie

BANGI, 6 Mac (Bernama) -- Para pelajar yang mendapat pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak perlu lagi membayar balik pinjaman itu sekiranya berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 pada setiap semester, berkuatkuasa tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini merupakan satu dorongan kepada pelajar-pelajar MARA supaya mereka lebih cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi.

"Ini merupakan salah satu program insentif peringkat MARA khusus untuk pelajar-pelajar yang berjaya dalam bidang yang diceburi," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Kementerian Bersama Pelajar-Pelajar Tajaan MARA 2010 di sini hari Sabtu.

Katanya, sepanjang tahun 2009, lebih kurang 10 pelajar MARA berjaya memperolehi keputusan CGPA 4.0.

Menurut beliau, insentif ini terbuka kepada semua pelajar tajaan MARA sama ada dalam atau luar negeri.

Katanya Mara juga telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Saintis Cemerlang (PSM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk melahirkan graduan bertaraf profesional berkelulusan ijazah tertinggi sebelum berumur 30 tahun.

Usaha ini merangkumi peringkat persediaan, peringkat Ijazah Pertama, Sarjana Sains seterusnya Doktor Falsafah.

"Kita mahu lihat jurusan-jurusan yang mereka ceburi ini haruslah didasarkan dengan keperluan negara kita dan juga sektor-sektor yang selaras dengan Model Ekonomi Baru yang kita nak capai.

"Ini termasuk beberapa sektor yang menjadi tumpuan seperti biotek atau petrokimia dan ini adalah antara kelulusan-kelulusan yang perlu kita dorongkan," katanya kepada pemberita.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Abd Jabar Che Nai, Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Muhamad. -- BERNAMA

MARA akan terus perkasa kedudukan bumiputera

PASIR PUTEH 6 Mac — Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memainkan peranan memperkasakan kedudukan bumiputera dalam bidang penguasaan ekonomi di bawah model ekonomi baru yang akan diperkenalkan oleh kerajaan.

Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata, orang Melayu tidak perlu bimbang mengenainya kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan negara.

"Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau memberi jaminan agenda perjuangan Melayu akan diteruskan dalam kerangka (model ekonomi baru) yang sedang digubal itu,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan dewan-dewan perniagaan Melayu berhubung perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu di bawah model ekonomi baru yang sedang digubal oleh kerajaan.

Idris, yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, MARA akan merumuskan kaedah bagi menggalakkan orang Melayu rajin bekerja dan berfikiran kreatif. — Bernama

Anuar Manan Raja Pecut

KUALA LUMPUR – Sejarah terpahat di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 selepas pelumba tempatan Anuar Manan dinobatkan pemenang jersi hijau (Raja Pecut) sebaik tamat perlumbaan dari Kuala Kubu Bharu ke Dataran Merdeka, semalam.

Pelumba pasukan Benua, Geumsan Ginseng itu juga melakar sejarah menjadi pelumba pertama dari Malaysia dan Asia memenangi jersi hijau sejak edisi pertama 1996.

Selepas bersaing sengit dengan pelumba Jayco-Skins, Michael Matthews sepanjang tujuh perlumbaan, Anuar akhirnya berjaya mengumpul 103 mata mengatasi Matthews yang sekadar memungut 82 mata.

Pada perlumbaan terakhir yang menutup tirai, semalam, Anuar menamatkan saingan tempat keempat tetapi dia tidak memperoleh mata di ketiga-tiga zon pecutan.

Pelumba Drapac Porsche, Stuart Shaw menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat diikuti, Vidal Celis (Footon-Servetto) di tempat kedua manakala Rene Haselbacher (Vorarlberg Corratec) ketiga.

Jersi kuning kekal milik pelumba ISD-Neri, Jose Rujano Guillen, sementara Peter McDonald (Drapac Porsce) kembali merampas jersi polka dot (Raja Bukit) manakala Hyo Suk Gong merangkul jersi biru (pelumba terbaik keseluruhan Asia) dalam saingan LTdL 2010.

Bagi Anuar, memenangi jersi hijau merupakan salah satu kejayaan yang terbaik dalam kariernya dan dia berhasrat untuk terus kekal bersama pasukan Geumsan Ginseng selepas tamat perlumbaan LTdL 2010.

“Saya akan berlumba di Eropah pula selepas ini, mungkin di Perancis, saya akan berada di sana selama tiga bulan bermula Jun depan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlumbaan.

Jelasnya, tidak ada yang lebih menggembirakan beraksi di LTdL selepas berjaya menepati sasaran memenangi jersi hijau dan memenangi salah satu dari tujuh peringkat perlumbaan.

“Pasukan ini sangat bagus, sekurang-kurangnya saya berjaya keluar dari kelompok pelumba Asia dan bersaing dengan pelumba Eropah yang lain.

“Saya memang berharap untuk berlumba di Eropah dan jika saya mendapat pasukan yang baik seperti ini ia memang mampu mempertingkatkan kemahiran saya,” kata pelumba berusia 24 tahun itu.

Pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu berkata, dia masih lagi perlu memperbaiki teknik kayuhan jika mahu setanding dengan pelumba hebat lain dari Eropah.

“Walaupun muncul Raja Pecut di LTdL tetapi saya perlu terus berlatih dengan gigih untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelumba Pro Tour,” ujarnya.








Wednesday 3 March 2010

MARA mahu hantar pelajar ke Oxford, Harvard

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk menghantar lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pelajaran di Universiti berprestij dan ternama seperti Oxford dan Harvard di London dalam tempoh terdekat ini sebagai usaha melahirkan graduan bertaraf dunia.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata usaha berkenaan adalah salah satu strategi diatur oleh MARA yang menyasarkan peranannya sebagai 'global player' dalam tempoh enam tahun lagi dalam melahirkan produk khususnya usahawan dan pelajar bumi putera lebih berdaya saing.

"MARA tidak boleh terus berada di dalam zon selesa dan berpuas hati walaupun selepas kejayaan dihasilkan oleh produk di bawahnya, tetapi perlu mengorak langkah lebih mantap untuk meningkatkan lagi pencapaian hingga ke peringkat dunia.
 
"Sejak program melanjutkan pelajaran ke luar negara di perkenalkan, pelajar kita masih belajar di Universiti yang sama. Kita mahu pelajar juga bertaraf dunia dengan menghantar lebih ramai pelajar ke universiti lebih terkemuka di dunia agar mampu bersaing di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil Sempena Ulang tahun MARA ke 44 dan Sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah bersama kakitangan MARA di ibu pejabat MARA di sini. Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Muhammad.

Katanya, MARA bersedia untuk melakukan transformasi dan penghijrahan baru bermula dari sekarang menerusi pelbagai program yang diatur bagi mencapai matlamat ditetapkan sebaik saja badan berkenaan mencecah usia 50 tahun.

"MARA banyak memainkan peranan mengangkat martabat masyarakat Melayu dan Bumiputera sehingga berjaya melahirkan usahawan serta tokoh korporat. Malah ada antaranya berada di dalam senarai antara 40 terkaya di dunia.

MARA juga melahirkan ahli akademik, pemuzik, tukang masak terkenal dan angkasawan negara.

"Bagaimanapun, pencapaian ini belum cukup membanggakan kerana masih ramai Bumiputera miskin dengan kadar 88 peratus dan bilangan golongan profesional masih rendah. Misalnya daripada 20 peratus akauntan Bumiputera tetapi hanya 7 peratus akauntan berdaftar.

"Jurutera Bumiputera pula hanya berjumlah 2.8 peratus. Manakala hanya 19 peratus saham ekuiti dipegang golongan Bumiputera sementara Amanah Saham Nasional pula masih di takuk lama. Maktab Rendah Sains MARA kini hanya tidak lebih sebagai sekolah asrama penuh biasa," katanya.

Bagi melahirkan usahawan lebih kompetitif, MARA akan menumpukan usahawan yang menceburkan diri dalam perniagaan berskala lebih besar dan berkeupayaan mengembangkan perniagaan mereka. Justeru, syarat dan proses pinjaman akan diperketatkan bagi memastikan pinjaman disalurkan kepada mereka yang berwibawa untuk menjalankan perniagaan.

Tuesday 2 March 2010

MARA akan bergerak dengan semangat Al-Marari

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang genap 44 tahun hari ini akan bergerak dengan semangat baru yang dikenali sebagai "Al-Marari" untuk menjadi lebih cemerlang, kompetitif dan global.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata "Al-Marari" adalah semangat perjuangan dan pemikiran baru MARA yang bakal membawa organisasi itu menjadi sebuah organisasi bertaraf global.

"Bukan hanya bertaraf global, tetapi juga cemerlang dan kompetitif di peringkat global, satu semangat dan pemikiran baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis bacaan Yassin dan tahlil sempena ulang tahun MARA yang ke-44.

Beliau berkata, MARA juga akan bermula dengan semangat "Azharvard compatible" iaitu gabungan antara Azhar dan Havard bagi memastikan pelajar yang menamatkan pelajaran di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mampu ke Universiti Al-Azhar dan Universiti Havard.

Ditanya mengenai sasaran MARA pada ulang tahun penubuhannya yang ke-50 nanti, beliau berkata: "Enam tahun akan datang kita akan pergi global sepenuhnya, sekarang ni kita masih lagi mengasah semangat dan bakat". - Bernama

Monday 1 March 2010

MARA tawar RM2j bantu biaya kredit Bumiputera

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) memperkenalkan Skim Jaminan Usahawan Bumiputera Mara (SJUM) yang membolehkan agensi itu menyediakan kemudahan pembiayaan sehingga RM2 juta kepada usahawan Bumiputera berbanding hanya RM500,000 sekarang.

Skim itu dilaksanakannya dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Bhd yang akan bertindak sebagai penyedia pinjaman. Mara memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta sebagai jaminan.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, skim itu diperkenalkan khusus bagi usahawan Bumiputera yang berhasrat mendapatkan pembiayaan lebih besar sebagai modal pusingan atau membiayai pembelian aset, hartanah, projek, peralatan, mesin dan perkara lain.
 
“Ketika ini Mara hanya menyediakan pembiayaan setakat RM500,000, sedangkan semakin ramai usahawan Bumiputera yang memerlukan pembiayaan lebih besar.

“Kami juga memiliki dana terhad untuk memenuhi permohonan pembiayaan yang semakin meningkat saban tahun dan dalam keadaan kutipan pembayaran balik pinjaman kurang memberangsangkan, agak sukar bagi kami meluluskan semua permohonan dalam kadar segera.

“Justeru, menerusi skim ini, kami harap ia akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan dan pada masa sama mempelbagaikan kemudahan di bawah Bahagian Pembiayaan Perniagaan Mara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai perjanjian pakatan strategik bagi penyediaan skim itu serta perkhidmatan penasihat Syariah antara agensi itu dan Bank Muamalat di Shah Alam, semalam. Hadir sama Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Pada majlis itu Mara diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Muhamad, manakala Bank Muamalat oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Idris berkata, di bawah skim itu Bank Muamalat akan menyediakan kemudahan pinjaman berlandaskan Syariah antara RM500,001 hingga RM2 juta pada kadar pembiayaan serendah dua peratus setahun.

“Usahawan berminat boleh datang untuk membuat permohonan di pejabat Mara, kami akan memproses dan menilai permohonan itu, manakala Bank Muamalat akan memproses dan mengeluar pembiayaan bagi permohonan yang telah diluluskan dengan jaminan Mara,” katanya.

Menerusi SJUM itu, Mara akan menjamin 80 peratus daripada pembiayaan yang diberikan, manakala baki 20 peratus lagi ditanggung sendiri oleh usahawan.

“Skim ini adalah penyelesaian kepada usahawan berpotensi yang memerlukan modal untuk mengembangkan perniagaan, tetapi tidak memenuhi syarat institusi perbankan khususnya dari segi cagaran,” kata Idris.