Friday 28 June 2013

MARA peruntuk RM75 juta majukan keusahawanan

by Reno Benjamin. Posted on June 28, 2013, Friday
GRADUASI: Mong (dua kiri) menyampaikan hadiah dan sijil kepada seorang pelatih terbaik sambil diperhatikan oleh Irwan (dua kanan) dan Jemie.

SIBU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperuntukkan sebanyak RM75 juta pada tahun ini untuk memajukan sektor keusahawanan dalam usaha mencapai wawasan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran) Datuk Mong Dagang berkata, objektif pembangunan usahawan MARA adalah untuk membangunkan usahawan global yang berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing.

“Pihak MARA juga telah memperkenalkan Program Latihan Keusahawanan dengan aktiviti utamanya adalah memberi latihan keusahawanan untuk Bumiputera agar menjadi usahawan yang berdaya maju dan berdaya saing tinggi,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Graduasi GIATMARA Zon Tengah II, semalam.

Seramai 82 pelatih daripada GIATMARA Selangau, Sibu, Lanang, Kanowit dan Julau yang mengikuti Kursus Fesyen dan Pembuatan Pakaian, Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam serta Kursus Teknologi Motosikal telah menerima sijil masing-masing.

Turut hadir Pengurus GIATMARA Zon Tengah II Irwan Abdullah, Pegawai MARA Daerah Sibu Jemie Menchol, Pengurus GIATMARA Zon Tengah I Abadi Hussein, Pengurus GIATMARA Sibu Mohd Nurr Affifee Affandi, PenGurus GIATMARA Lanang Nordin Shapiei serta Pengurus GIATMARA Kanowit Syafiee Mohd Kadir.

Di samping itu katanya, MARA juga ada menyediakan khidmat nasihat perniagaan bagi membantu menyelesaikan masalah atau meningkatkan prestasi dan produktiviti usahawan/syarikat yang dikendalikan oleh panel pemudahcara MARA.

“Ia bertindak sebagai satu pusat setempat yang mempunyai pelbagai kemahiran dalam bidang khidmat nasihat untuk ditawarkan kepada usahawan Bumiputera.

“Aktiviti di bawah khidmat nasihat ini termasuk dianogstik perniagaan, pengurusan dan pembangunan, ICT/perakaunan berkomputer, pembangunan konsep, pemasaran, business coaching, mesin dan pengeluaran, pembangunan halal dan pensijilan,” katanya.

Menyentuh mengenai GIATMARA, Mong berkata penubuhannya adalah untuk membantu golongan sasaran di mana syarat kemasukan yang paling utama hanyalah minat terhadap kursus yang bakal diikuti.

Selain itu ujarnya, pelatih turut diberikan elaun sara hidup bagi menampung keperluan semasa menjalani kursus.

“Adalah tidak dapat dinafikan tanpa bantuan-bantuan daripada kerajaan melalui agensi-agensi di bawah kelolaannya, hasrat untuk menjadi negara maju hanya tinggal kenangan.

“Oleh itu, kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menepati segala janji dan mengutamakan rakyat dalam semua aspek,” jelas Mong.

Beliau juga memberitahu, MARA dan GIATMARA umpama seorang ayah dan ibu yang akan memastikan segala permintaan anak-anaknya dipenuhi.

“Gunakanlah peluang yang telah dicipta oleh kerajaan pada hari ini untuk membantu meningkatkan mutu kehidupan.

“Dalam sedar, kita sebenarnya kesuntukan masa bagi merealisasikan matlamat negara maju menjelang tahun 2020.

“Usahlah lagi ditanya apa yang kerajaan telah berikan kepada anda tetapi tanyalah apa yang telah anda sumbangkan kepada negara,” ujarnya.

UTC Kedah Beroperasi Julai ini

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR

ALOR SETAR 26 Jun - Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM40 juta dijangka beroperasi di Kompleks Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Jalan Kolam Air mulai 22 Julai ini.

Datuk Bandar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, UTC Kedah yang berkeluasan 77,688 meter persegi di bangunan enam tingkat itu merupakan UTC kelima di negara ini selepas dibuka di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang dan Perak.

Menurut beliau, UTC Kedah menyediakan perkhidmatan di bawah 10 kluster termasuk keselamatan, kesihatan, perkhidmatan, kewangan, pembangunan belia, utiliti dan pendidikan.

"Bangunan itu nanti turut menyediakan bilik mesyuarat berkapasiti 150 orang dan dua bilik seminar serta gelanggang futsal di tingkat atas," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mat Noh berkata, sehingga kini sebanyak 22 jabatan kerajaan dan swasta telah membuat pengesahan untuk beroperasi dan akan ditempatkan mulai 15 Julai ini.

Menurutnya, antara jabatan terlibat adalah Klinik 1Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Apabila siap kelak, UTC Kedah akan memudahkan orang ramai berurusan di bawah satu bumbung, tidak perlu ke sana sini," katanya.

Tambahnya, kemudahan lot tempat kereta juga disediakan di bangunan tersebut sebanyak 400 lot.

Terdahulu sebanyak 21 Ahli Majlis MBAS dilantik bagi penggal 2013 hingga 2014.

Mat Noh berkata, pelantikan itu terdiri daripada kalangan profesional, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penjaja, belia dan ahli korporat.

"Selepas ini kita akan buat lantikan jawatankuasa kecil mengikut keupayaan masing-masing dan cuba seimbangkannya," katanya.

Sumber: Utusan

Wednesday 12 June 2013

KKTM, IKM Bakal Naik Taraf Sebagai Kolej Universiti Kemahiran MARA - Shafie


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (belakang, empat, kiri) bergambar bersama pelajar-pelajar MARA yang terpilih mewakili negara ke WorldSkills Competition 2013 Leipzig, Jerman sempena Sambutan Hari Pendidik MARA 2013 di Kuala Lumpur pada Selasa. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ibrahim Muhamad (belakang, empat, kanan).-Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) sudah mendapat surat tawaran daripada Kementerian Pendidikan untuk menaik taraf Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Institut Kemahiran Mara (IKM) sebagai Kolej Universiti Kemahiran Mara.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata bagaimanapun perkara tersebut perlu diperhalusi dan dilihat dari pelbagai sudut kerana ia memerlukan peruntukan kewangan yang agak besar untuk menaik taraf seluruh kampus IKM dan KKTM sebagai universiti.
"Perkara ini di peringkat Kementerian Pendidikan sekarang. Kita juga perlu pastikan prasarananya mampu menyokong usaha melahirkan modal insan kelas pertama. "Dengan wujudnya universiti teknikal kedua selepas Universiti Kuala Lumpur lebih banyak program pendidikan, latihan dan penyelidikan dan pembangunan berteraskan industri dan teknologi tinggi dapat dilaksanakan," katanya.
Mohd Shafie berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Pendidik Mara 2013 di sini hari ini. Lebih 1,000 pendidik Mara hadir pada majlis tersebut. Jelas Mohd Shafie, Mara merupakan sebuah badan yang signifikan dan penting dalam pembangunan negara kerana sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini hampir dua juta orang sudah mendapat bantuan Mara dalam bidang pendidikan.
"Maktab Sains Mara (MRSM) pula berjaya melahirkan ramai teknokrat dan pemimpin masyarakat termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz (Tun Dr) Mahathir," kata beliau.
"Warga Mara terutamanya pendidik merupakan tulang belakang kepada keberhasilan kemajuan dan kemakmuran negara yang kita kecapi pada hari ini," jelasnya.
Tema sambutan Hari Pendidik Mara pada kali ini ialah Pendidik Berintegriti Pembina Insan Holistik.
Pada majlis tersebut Mohd Shafie turut menyampaikan anugerah Tokoh Pendidik Mara 2013 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa Teknologi dan Profesional Perlis yang juga peneraju Pusat Latihan Giat Mara, Datuk Dr Hashim Ahmad.
Sementara itu, Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad dalam ucapannya berkata Mara akan menggariskan falsafah pendidikannya yang baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Sambutan Hari Pendidik Mara diadakan setiap tahun bagi meraikan 7,831 warga pendidik Mara di pelbagai institusi pendidikan Mara di seluruh negara. -BERNAMA

MARA perlu bertindak jual lot niaga kepada golongan usahawan


Shahiruddin Ab. Moin (tiga kanan) menyatakan sesuatu kepada kakitangan MARA ketika sesi Taklimat Program Pembangunan Usahawan Mara di Kuantan, semalam. Turut kelihatan, Salemi Yusof (dua kanan).

KUANTAN 11 Jun - Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak boleh sekadar menyediakan premis untuk disewa, sebaliknya harus bertindak menjual lot perniagaan kepada usahawan yang mampu dalam usaha meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera di kawasan bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, untuk itu, sudah masanya MARA membina lebih banyak bangunan komersial dan kemudiannya menjual kepada para peniaga bumiputera agar wujud keseimbangan pemilikan premis perniagaan.

"Dasar MARA sebelum ini yang hanya menyediakan premis untuk disewa perlu dikaji semula dan dibuat penambahbaikan sejajar dengan keperluan semasa seperti menjual terus kepada penyewa berkenaan.

"Pada masa sama, MARA perlu memikirkan untuk membangunkan lebih banyak premis komersial agar wujud persaingan secara sihat supaya satu-satu perniagaan itu tidak dimonopoli oleh satu kaum sahaja," katanya.

Shahiruddin berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat program pembangunan usahawan Mara sempena lawatan kerja beliau ke agensi itu di sini hari ini. Yang hadir sama, Pengarah MARA Negeri, Salemi Yusof.

Menurut Shahiruddin, pengurusan tertinggi MARA juga perlu melakukan pemantauan dengan lebih kerap untuk melihat sendiri prestasi golongan sasaran di bawah mereka.

"Sekiranya lebih kerap pemantauan dilakukan setiap kelemahan pasti dapat diatasi serta diselesaikan segera.

"Saya juga akan berusaha untuk mengadakan pertemuan sebulan sekali dengan semua agensi kerajaan yang terlibat dengan pembangunan usahawan agar pelaksanaan gerak kerja lebih berfokus," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati usahawan bumiputera agar tidak gentar untuk bersaing dengan kaum lain sebaliknya bijak mencari peluang dan belajar daripada kejayaan mereka.

"Seharusnya kita belajar daripada budaya berniaga kaum lain terutama Cina dan kalau bersesuaian kita akan panggil mereka yang berjaya untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman agar sama-sama dapat bersaing secara sihat.

"Apa yang penting, usahawan bumiputera jangan lakukan amalan 'ali-baba' yang hanya menggagalkan apa yang kerajaan usahakan," jelasnya.

sumber Utusan