Tuesday 27 July 2010

Keadaan Pelajar MRSM Pendang Hampir Pulih

ALOR SETAR, 26 Julai -- Seramai 34 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang yang disyaki dijangkiti Influenza A (H1N1) sejak minggu lepas kini dilaporkan beransur pulih dan keadaan mereka tidak membimbangkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Marzukhi Mat Isa berkata keadaan pelajar berkenaan hampir kembali normal dan mereka dijangka bebas daripada simpton tersebut tidak lama lagi.

"Pejabat Kesihatan Daerah Pendang bagaimanapun diarahkan untuk terus memantau perkembangan itu dan MRSM tersebut telah dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa," katanya.

Para pelajar tersebut disyaki mengidap H1N1 selepas didapati mengalami demam panas yang kuat dan sakit tekak yang teruk dan hasil kajian sampel darah dan kahak yang diambil daripada keseluruhan 78 pelajar, 34 daripada mereka disyaki mempunyai simptom H1N1.

Pelajar terbabit dikuarantin di asrama sekolah manakala yang tinggal berdekatan dibenarkan pulang dan dikuarantin di rumah. --BERNAMA

Monday 26 July 2010

500 Usahawan Luar Bandar Jayakan Karnival Usahawan Desa Di Bukit Jalil


PUTRAJAYA, 21 Julai -- Seramai 500 usahawan luar bandar dari seluruh negara akan 'berkampung' di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur selama empat hari mulai Khamis sempena Karnival Usahawan Desa yang terbesar yang pernah dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Jabar Che Nai berkata selain memberi peluang kepada usahawan tersebut memperkenal dan menjual produk mereka, karnival itu juga dapat dijadikan landasan bagi membolehkan mereka memasuki pasaran yang lebih besar kerana ia juga akan disertai oleh pihak-pihak pasaraya besar.

Katanya beliau melihat masalah yang selalu membelenggu usahawan-usahawan desa ketika ini adalah mereka tidak mempunyai rangkaian pasaran kerana tinggal di kawasan luar bandar, dan ini membuatkan mereka tidak berpeluang untuk memperkenalkan produk-produk mereka dengan lebih agresif.

"Jadi dengan adanya karnival ini ia akan membuka ruang untuk 'business matching' dengan pasaraya-pasaraya besar dan dengan kumpulan yang mempunyai hubungan di luar negara bagi membolehkan mereka memasuki pasaran antarabangsa," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata pelbagai simposium juga akan diadakan di karnival itu nanti, di mana usahawan-usahawan desa akan dapat bertukar-tukar fikiran dan berkongsi pengalaman dengan usahawan-usahawan lain termasuk dari segi kaedah pengeluaran dan kaedah meningkatkan kualiti barangan.

Beliau berkata pihak perbankan turut dilibatkan dalam karnival itu, untuk memberi penerangan kepada usahawan yang berminat mendapatkan pinjaman bagi memulakan atau membesarkan perniagaan mereka.

Katanya usahawan juga berpeluang menjadi rakan kongsi strategik dengan agensi awam yang terlibat dalam penyelidikan dan pemasaran seperti Sirim, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec).

Jabar berkata karnival yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu juga akan mengadakan 30 demonstrasi sehari sepanjang tempoh karnival itu, yang melibatkan tiga produk utama usahawan iaitu makanan, kraftangan, seramik, ukiran, serta perkhidmatan seperti dandanan diri, urutan dan sebagainya.

Beliau berkata 11 gerai pameran merangkumi jabatan dan agensi di bawah kementerian termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra.- BERNAMA

Tuesday 20 July 2010

Usahawan MARA Diseru Terlibat Dengan Pusat Perniagaan Komersial

KUALA LUMPUR, 19 Julai -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyeru usahawan yang telah lama menjalankan perniagaan di bawah naungannya supaya memberanikan diri terlibat dengan pusat perniagaan komersial.

Ketua Pengarahnya Datuk Ibrahim Muhamad berkata bagi menjayakan hasrat itu, MARA kini mengubah dasar premis perniagaannya kepada dua kategori iaitu komersial dan inkubator.

Beliau berkata premis berkonsep komersial adalah berasaskan sebuah pusat perniagaan yang berfungsi sebagai tumpuan masyarakat dengan kadar sewa mengikut harga pasaran, manakala bagi kategori inkubator, ia merupakan bantuan subsidi premis kepada usahawan muda.

"Kepada usahawan yang telah lama mendapat bantuan MARA dan telah berjaya merekodkan volum jualan yang memberangsangkan, saya yakin anda semua sudah mampu untuk berdiri sendiri dan kita buka peluang kepada usahawan baru pula," katanya dalam ucapan perasmian Kompleks Gurney di sini Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Usahawan MARA Abdul Rahim Abdul Ghani.

Ibrahim berkata sehubungan itu, Bahagian Pembangunan Infrastruktur MARA telah mengenal pasti beberapa kompleks dan arked yang bakal diklasifikasikan sebagai premis komersial.

"Premis-premis tersebut adalah Plaza Langkawi, Anggerik Mall di Shah Alam, Kompleks Centrum Setiawangsa, Kompleks Simpang Renggam dan Plaza Larkin di Johor serta yang terbaru, Kompleks Gurney," katanya.

Katanya MARA telah melantik syarikat swasta sebagai penyewa utama untuk melakukan aktiviti promosi seperti penganjuran ekspo dan karnival serta pengiklanan.

"Contohnya di Kompleks Gurney ini, syarikat Citra Wijaya Sdn Bhd iaitu salah satu syarikat di bawah Koperasi Niaga Glokal, telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus tadbir kompleks ini dan aktivitinya," katanya.

Beliau juga menyarankan agar usahawan berkenaan membeli premis perniagaan sendiri kerana pelaburan dalam sektor hartanah komersial merupakan langkah yang bijak.-- BERNAMA

Thursday 15 July 2010

Pengkisahan Tun Razak Oleh Rakan Karib 28 Julai

KUALA LUMPUR, 14 Julai -- Personaliti bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak akan diceritakan kepada umum oleh rakan-rakan karib dan mereka yang pernah bekerja dengan beliau dalam "Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan-Suatu Pengkisahan" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 28 Julai ini.

Mereka terdiri daripada bekas setiausaha sulit Allahyarham, Tuanku Datuk Zakaria Ahmad, Tan Sri Adam Kadir, Tan Sri G.K Rama Iyer dan Tan Sri Sanusi Junid serta bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ahli sejarah Prof Emeritus Khoo Khay Kim.

Ketua Pengarah Jabatan Arkib Negara Datuk Sidek Jamil berkata program itu adalah untuk mengingatkan generasi muda tentang kepentingan perpaduan serta asal sejarah kerjasama demi kesejahteraan negara sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

"Program yang diilhamkan oleh rakan-rakan Tun Razak itu bagi mengenang dan mengambil ikhtibar daripada perjuangan Tun sebagai Bapa Pembangunan," katanya pada sidang media selepas pra-pelancaran program itu di Memorial Tun Abdul Razak di sini.

"Sumbangan Tun Razak tidak ternilai dalam pembangunan dan perpaduan Malaysia selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) malah beliau mewujudkan Felda, Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (Felcra), Malaysia Airlines (MAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Institut Teknologi MARA (sekarang dikenali Universiti Teknologi MARA-UiTM)," katanya.-- BERNAMA

Friday 9 July 2010

Najib Rasmi MRSM Felda Yang Termoden Di Negara Ini

SLIM RIVER, 7 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang termoden dan tercanggih di negara ini, MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak yang terletak di Feldajaya Trolak Utara di Sungkai dekat sini.

Perasmian institusi bernilai RM123 juta di tapak seluas 25 hektar itu yang merupakan institusi pendidikan pertama dalam kawasan tanah rancangan Felda dilakukan sempena sambutan Hari Peneroka 2010 yang berlangsung di perkarangan maktab itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Felda Tan Sri Dr Yusof Noor.

Lebih 10,000 peneroka dari tanah rancangan Felda seluruh negara menghadiri majlis itu yang berupa sambutan Hari Peneroka yang terbesar pernah diadakan.

MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak boleh menampung kapasiti 1,050 pelajar iaitu 210 pelajar bagi setiap tingkatan pada satu-satu masa.

Program pembelajaran 'International Baccalaureate' ditawarkan di MRSM Felda sebagai persediaan pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara di mana program tersebut menggalakkan pelajar menjadi lebih interaktif, celik minda dan kreatif dalam mengharungi dunia globalisasi.

Dasar pengambilan pelajar ke MRSM Felda berkenaan adalah 80 peratus daripada kalangan anak-anak warga Felda manakala 20 peratus lagi daripada kalangan anak-anak awam.

Pembinaan MRSM Felda yang dilengkapi blok kediaman, dewan kuliah, dewan utama, perpustakaan, makmal, bengkel, rekreasi dan masjid itu merupakan maktab yang ke-37 ditubuhkan oleh MARA dan merupakan cetusan minda Perdana Menteri sendiri.

Ekoran saranan Najib itu, termeterai satu perjanjian yang diberi nama Perjanjian Kerjasama Antara MARA dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 30 Mac 2007 dan MRSM Felda merupakan MRSM yang kelima dibina di Perak.

Felda menampung perbelanjaan bagi pengurusan dan kemudahan fizikal seperti bangunan dan kelengkapan yang sesuai mengikut spesifikasi MARA di samping membayar elaun pelajar daripada kalangan anak Felda, menyediakan bahan pengajian serta bahan-bahan makmal.

Penubuhannya bertujuan memberi peluang kepada anak peneroka Felda untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka serta menggalakkan pertumbuhan masyarakat yang maju, produktif dan lebih berdisiplin.

Tuesday 6 July 2010

PM Rasmi MRSM Felda Ulung Rabu Ini

SLIM RIVER, 5 Julai -- Maktab Rendah Sains MARA Felda (MRSMF) yang terletak di Feldajaya Utara Trolak, Sungkai, dekat sini, menjadi lambang kemegahan warga peneroka tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Institusi bernilai RM105 juta yang dibina di atas tapak seluas 25 hektar itu merupakan MRSM terbesar dan termoden di negara ini serta institusi pendidikan pertama dalam kawasan tanah rancangan Felda.

Sebanyak 80 peratus daripada kira-kira 1,200 pelajarnya adalah anak-anak peneroka Felda dari seluruh negara.

MRSM Felda akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu ini.

"Ia akan menjadi mercu tanda keprihatinan Felda dalam menyediakan kemudahan pembelajaran untuk generasi muda dengan kemudahan serba lengkap dan moden," kata Najib semasa merasmikan majlis pecah tanah pembinaan institusi itu pada Oktober 2007.

Pembinaan MRSM Felda merupakan maktab yang ke-37 ditubuhkan oleh MARA itu adalah atas cetusan minda Perdana Menteri sendiri.

Ekoran saranan Najib itu, termeterai satu perjanjian yang diberi nama Perjanjian Kerjasama Antara MARA dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 30 Mac 2007 dan MRSM Felda itu merupakan MRSM yang kelima dibina di Perak.

Projek berkenaan siap sepenuhnya pada 2009 tetapi pengambilan pertama 200 pelajar perintis dibuat pada 2008 yang ditempatkan sementara di beberapa MRSM lain.

MRSM Felda menerima kemasukan penuh pelajar mulai Januari tahun ini.

MRSM Felda mulai Rabu ini juga akan diberi nama baru yang lebih bermakna dan gah iaitu Kolej Tun Abdul Razak.

Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata ia dinamakan sempena nama pengasas Felda yang juga Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai mengenang jasa besar negarawan itu.

Felda menampung perbelanjaan bagi pengurusan dan kemudahan fizikal seperti bangunan dan kelengkapan yang sesuai mengikut spesifikasi MARA di samping membayar elaun pelajar daripada kalangan anak Felda, menyediakan bahan pengajian serta bahan-bahan makmal.

Penubuhannya bertujuan memberi peluang kepada anak peneroka Felda untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka serta menggalakkan pertumbuhan masyarakat yang maju, produktif dan lebih berdisiplin.
-- BERNAMA

Monday 5 July 2010

Perkasa bantah MARA kurangkan biasiswa

KUALA LUMPUR 29 Jun - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali membantah keputusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mahu mengurangkan tajaan biasiswa untuk pelajar peringkat ijazah pertama.

Ibrahim berkata, beliau berasa kesal dengan keputusan berkenaan kerana 'nasib' biasiswa MARA itu sama seperti apa yang dialami oleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mula dipertikaikan oleh sesetengah pihak.

"Biasiswa JPA sudah dibahagi dengan kaum lain di negara ini dan ia menyebabkan kuota bumiputera hanya tinggal 56 peratus.

"Namun kuota Melayu sebenarnya hanyalah 40 peratus daripada jumlah itu kerana 16 peratus lagi ialah untuk bumiputera lain di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan MARA untuk mengurangkan biasiswa bagi pelajar di peringkat ijazah.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Muhamad berkata, pihaknya akan mengurangkan tajaan untuk peringkat ijazah pertama dan akan menambah jumlah tajaan bagi peringkat sarjana bermula tahun depan.

Jelasnya, MARA akan mengutamakan tajaan pengajian ke luar negara bagi peringkat sarjana terutama bagi kursus kritikal.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, walau apa pun keputusannya, kerajaan sepatutnya menjamin hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub di dalam Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan.

"Kita dinasihat jangan melulu, kena bersabar demi globalisasi, tetapi ia tidak akan menjamin hak istimewa Melayu kerana kaum lain di negara ini masih tidak mengundi Barisan Nasional (BN)," katanya.

Tambah beliau, tindakan menyekat hak istimewa Melayu itu tidak akan memberi jaminan bahawa BN akan memenangi semula sokongan daripada kaum lain.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, BN perlu 'sediakan payung sebelum hujan' supaya mengambil tindakan sepatutnya bagi mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan pada masa yang sama mengekalkan sokongan terhadap parti tersebut.