Friday 27 April 2012

Pelajar MRSM dapat pingat emas di Switzerland



KUANTAN — Dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Nur Syafiqah Mohd Azhar, 17, dan Noor Fatin Zulkifli, 17, mengharumkan nama negara apabila merangkul pingat emas menerusi produk kertas mesra alam daripada lalang di Geneva Palexpo Exhibitions and Inventions, Switzerland pada 18 hingga 22 April lepas.
Guru pembimbing, Latifah Shukri ketika ditemui pemberita berkata, pelajarnya mengambil masa kurang dari enam bulan bagi menjalankan kajian dan menghasilkan kertas yang diperbuat daripada lalang itu.
“Kertas yang dinamakan ”Imperata Cylinderica Paper” ini sangat mesra alam kerana ia bukan sahaja boleh reput dalam masa dua minggu, malah jika ia dijadikan sebagai bekas makanan, ia boleh digunakan sebanyak tiga kali,” katanya.
Beliau berkata, produk itu juga lebih kuat dan kukuh berbanding bahan-bahan lain yang diguna untuk menghasilkan kertas kerana lalang mempunyai ”cellulose” yang panjang berbanding bahan lain seperti batang pisang atau rumput.
“Kertas ini juga tidak telap air jika dilapisi dengan kanji dan setelah ia mereput, ia boleh menjadi baja tanaman,” katanya sambil memberitahu produk itu mendapat perhatian daripada firma-firma antarabangsa pada pertandingan itu.— BERNAMA

Wednesday 25 April 2012

Wajib khidmat di sektor awam

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG

pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak melihat buku Talent Roadmap sambil diperhatikan Johan Mahmood Merican (dua dari kiri), Nor Mohamed Yakcop, Hishammuddin Tun Hussein dan Mohamed Khaled Nordin pada pelancaran Talent Roadmap 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 24 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mulai tahun ini, penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diwajibkan berkhidmat dalam sektor awam atau di syarikat swasta terpilih.

Perdana Menteri berkata, langkah terbaru itu akan membolehkan JPA dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) mengoptimumkan bakat kepintaran terunggul di negara ini.

"Tujuan kita ialah untuk memastikan kesinambungan sarjana unggul menyumbangkan kepakaran mereka dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Talent Roadmap 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican.

Selain syarat baru penawaran biasiswa itu, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa langkah dan insentif baru yang bertujuan mengembangkan sumber bakat di negara ini.

"Semasa Bajet 2012, kerajaan bersetuju dengan insentif potongan dua kali cukai untuk program latihan amali yang diluluskan dan hari ini, saya umumkan penawaran insentif itu diperluaskan kepada syarikat-syarikat di bawah Akta Cukai Pendapatan Petroleum 1967," katanya.

Perdana Menteri berkata, pada masa yang sama, Kementerian Pengajian Tinggi akan bekerjasama dengan TalentCorp untuk menyediakan 12,000 latihan amali melalui program berstruktur.

"Untuk mengembangkan program peningkatan kemahiran pula, TalentCorp akan bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi menyelaraskan program agar sumber dilaburkan pada sektor yang diutamakan.

"Program peningkatan kemahiran ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 10,000 siswazah kejuruteraan setiap tahun, melibatkan peruntukan tahunan kira-kira RM200 juta dan pelbagai kementerian," katanya.

Sementara itu, Najib mengumumkan Pas Residen yang membenarkan ekspatriat profesional untuk tinggal dan menyumbangkan bakat di negara ini selama 10 tahun diperluaskan penawarannya kepada usahawan aktiviti intensif pengetahuan yang berjaya.

"Sejak diperkenalkan pada 2011, Jabatan Imigresen telah mengeluarkan pas itu kepada 500 ekspatriat profesional di syarikat-syarikat terkemuka," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, seramai 680 pemohon telah diluluskan untuk menyertai Program Membawa Balik Pakar (REP) pada 2011 iaitu peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

"Trend peningkatan itu menunjukkan keyakinan rakyat Malaysia yang berada di luar negara terhadap usaha kerajaan dalam transformasi ekonomi.

"Saya menemui ramai rakyat Malaysia yang terkemuka semasa berkunjung ke luar negara, mereka mempunyai ikatan emosi kuat dengan negara asal, justeru kita mengalu-alukan sumbangan mereka kepada negara," katanya.

Dana RM2 bilion diagih

Oleh Anwar Hussin, Khairul Anuar Abdul Samad dan Norliza Wasilan


BACHOK: Kira-kira 500,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini boleh memohon Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah berjumlah RM2 bilion yang dilancarkan semalam bagi mengembangkan dan meningkatkan perusahaan mereka.

Kemudahan itu menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta dengan rebat dua peratus kepada pemohon untuk aktiviti perniagaan dalam semua bidang patuh syariah, kecuali perkhidmatan kewangan. Skim itu dikendalikan 13 institusi perbankan Islam dengan Kerajaan Persekutuan membiayai dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan oleh bank yang dikenakan kepada pemohon yang berjaya.

Ia dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Program Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Perdana, di sini. Skim itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012 lalu.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata dana yang besar itu akan membolehkan ramai pengusaha PKS mendapat manfaat kos pinjaman lebih rendah daripada institusi perbankan Islam yang mengambil bahagian melalui bantuan rebat yang disediakan oleh kerajaan.

“Saya amat bersyukur dan mengucapkan tahniah serta syabas kepada Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan SME Corp Malaysia kerana mewujudkan skim pembiayaan ini,” katanya.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin; Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Presiden AIBIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Muhyiddin juga berkata, usaha itu mencerminkan komitmen pihak swasta menyokong usaha kerajaan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara menerusi langkah memperluas serta mempelbagaikan kemudahan institusi perbankan Islam kepada PKS.

“Menariknya, pelancaran skim yang amat penting ini diadakan di bumi Kelantan. Kerajaan berasakan bahawa ia begitu relevan dan amat berkaitan sekali dengan semangat keusahawanan dimiliki penduduk negeri bertuah ini,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, setakat ini Malaysia Industrial Development Finance Berhad (MIDF) sudah meluluskan kemudahan kewangan berjumlah RM166 juta bagi 130 projek, sekali gus membantu merancakkan pembangunan ekonomi di Kelantan.

“Ini termasuk kemudahan pembiayaan berjumlah RM73 juta di bawah program bantuan kewangan Kerajaan Pusat melalui Skim Pinjaman Mudah, khususnya untuk membiayai sejumlah 87 projek PKS dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Kelantan.

“Dari segi pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sudah meluluskan insentif bagi tiga projek PKS di Kelantan dengan modal pelaburan domestik keseluruhan bernilai RM6.2 juta,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin ketika meluangkan masa kira-kira 30 minit melakukan tinjauan mesra di Pasar Besar Siti Aishah Jelawat bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi membaikpulih bangunan berkenaan untuk keselesaan peniaga kecil dan orang ramai.

Beliau yang diiringi Mustapa dan Awang Adek turut mengambil kesempatan bersarapan pagi di pasar berkenaan sebelum ke SMK Dato’ Perdana.

Friday 20 April 2012

Najib rasmi pusat bersalin kos rendah 1Malaysia ‘terbaik dunia’

PUTRAJAYA, 20 April — Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis semalam merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia yang menawarkan perkhidmatan kelas satu dengan kadar bayaran serendah RM3. 


Melaporkan Bernama Online, Perdana Menteri berkata dengan bayaran serendah itu rakyat dapat menikmati layanan serta perkhidmatan setaraf dengan kemudahan Wad Kelas Satu. Tegasnya perkhidmatan diharapkan dapat membantu mengurangkan beban rakyat. 



“Untuk seorang yang bersalin di sini hanya RM3 sahaja dikenakan termasuk rawatan, bilik, ubat-ubatan dan makanan,” memetik Bernama Online. “Ini merupakan kadar bayaran yang barangkali terbaik dunia. 



“Kemudahan yang disediakan sangat bermutu tinggi, bilik yang bersih serta selesa dan bagi penjawat awam tiada bayaran yang dikenakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pusat bersalin tersebut di sini. 



Beliau berkata ia merupakan satu lagi perkhidmatan kesihatan yang baik disediakan kerajaan demi kepentingan rakyat untuk memperoleh rawatan sempurna dengan kadar bayaran sangat minima. 



“Adalah menjadi harapan saya agar banyak lagi pusat seperti itu diwujudkan,” katanya. 



Dalam ucapan perasmian itu, Najib berharap pusat yang dilengkapi dengan kemudahan rawatan fototerapi serta klinik untuk perkhidmatan antenatal dan ginekologi mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik dan selesa kepada masyarakat. 



Pusat itu juga, katanya, akan menempatkan pakar obstetrik, ginekologi dan pediatrik yang bertugas pada setiap hari bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang berkualiti, profesional dan berkesan. 



“Ia juga mampu memberikan keselesaan dan persekitaran yang kondusif kepada ibu-ibu kerana suami dibenarkan untuk menemani pasangan masing-masing selaras dengan konsep hospital mesra suami,” katanya. 



Pusat Bersalin itu mula beroperasi pada 30 Jan lepas di Presint 8, dengan menyediakan kemudahan kelahiran kes-kes bersalin berisiko rendah sahaja dan tidak terhad kepada penduduk Putrajaya. 

Thursday 19 April 2012

Dr Zambry attends to people all day at Tronoh


IT was a hectic schedule for Perak Mentri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir as he attended 12 back-to-back programmes during his working visit to the Tronoh constituency recently.
He started his visit by having breakfast with local residents at Arked Mara in Batu Gajah.
He also spent some 10 minutes chatting with a senior citizen Putih Saripah Abdullah, 86.
After checking a project to build the roof for a basketball court in town, Dr Zambry visited Kampung Baru Bemban where he presented an approval letter from Yayasan Bina Upaya to build a new home for bachelor Fong Kam Hoon, 54.
This is for you: Dr Zambry handing over aid to Indian residents during his visit to SJK (T) Tronoh.
During a kenduri rakyat at Kampung Melayu Bali at noon, Dr Zambry spent time to attend a birthday cake-cutting ceremony for Nurul Ainan Md Rashid, five, at one of the villager’s house.
He later rushed to Kampar to visit the flood victims placed at SMK Kampar school hall.
Dr Zambry resumed his programmes for the day by visiting three schools in Tronoh.
The three schools received a shot in the arm as Dr Zambry approved the much needed financial assistance for them.
Dr Zambry approved an allocation of RM30,000 to SJK (T) Tronoh for a ‘reading corner’ and to buy air-conditioned units, RM10,000 to the Kelab Guru of SK Tronoh to carry out its activities and RM30,000 to SJK (C) Chun Sun to build new toilets for its teachers and students during his visit last Thursday.
He later visited Kampung Nalla and Siputeh nearby before ending his programme by visiting a basketball site at SJK (C) Gunung Hijau in Pusing.
Mingling: Dr Zambry talking with the Kampung Melayu Bali residents during the Jamuan Rakyat held at the village.

Wednesday 18 April 2012

PKS guna e-dagang rendah

KUALA LUMPUR 17 April – Sambutan yang diterima Get Malaysian Business Online (GMBO) masih lagi dingin walaupun pelbagai insentif percuma ditawarkan oleh Google Malaysia.

GMBO yang dilancarkan pada November tahun lalu oleh Google Malaysia bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mewujudkan laman sesawang sendiri dengan menggunakan domain .com.my.

Sebanyak 10,000 peserta pertama yang menyertai GMBO akan menerima pelbagai insentif percuma seperti yuran tahunan, aplikasi Google dan khidmat latihan, namun setakat ini hanya 7,000 peserta menyertai program berkenaan.

Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Eksport, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud (gambar) berkata, sambutan yang perlahan itu disebabkan sikap PKS yang kurang mengambil berat terhadap teknologi.

Monday 16 April 2012

Bekas CEO Yayasan Pelajaran MARA ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Ketua Eksekutif (CEO) dan seorang pengurus Yayasan Pelajaran MARA (YPM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal pagi tadi kerana dipercayai terbabit dengan rasuah.

Difahamkan bekas CEO bergelar Datuk dan pengurus YPM itu ditahan di kediaman masing-masing.

Bekas CEO itu didakwa membuat tuntutan palsu berjumlah RM300,000 manakala jumlah yang dituntut pengurus berkenaan belum diketahui.

Kedua-dua mereka akan dituduh mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 di Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Wednesday 11 April 2012

Gempa magnitud 8.6 di laut Sumatra, amaran tsunami


Amaran tsunami dikeluarkan selepas satu gempa bumi kuat magnitud 8.6 melanda perairan utara Sumatra petang ini, menurut jabatan kajian geologi Amerika Syarikat (USGS),

Pusat gempa bumi pada jam 4.38 petang itu dikesan pada kedudukan 431km barat daya Banda Aceh, Indonesia dan 962km di barat Kuala Lumpur.

Kawasan gempa itu dalam lingkungan kawasan gempa sama yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang mengorbankan kira-kira 170,000 nyawa di Sumatra akibat tsunami yang melanda selepas gempa berkenaan.

Gempa itu juga mengorbankan kira-kira 230,000 orang di 13 negara sekitar Laut Hindi termasuk Thailand, Sri Lanka dan India.



Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran kepada orang ramai menjauhi kawasan pantai di Kedah, Perlis, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak yang berpotensi berlakunya tsunami.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan berkata gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak.

Gegaran dirasai kira-kira pukul 4.50 petang.

Beliau berkata pihak bomba dari lima balai di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur bergegas ke beberapa kawasan yang merasai gegaran itu selepas menerima  maklumat dari orang ramai.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kira-kira 4.47 petang mengenai gegaran yang dirasai di beberapa tempat seperti Ampang dan Jalan Tun Razak.

Dalam pada itu, warga kerja di bangunan Bernama turut merasai gegaran yang berlaku selama kira-kira 10 minit.

Di Kangar, gegaran kecil turut dirasai di beberapa lokasi di Perlis, antaranya di Flat Seri Sena di Kampung Bakau yang menyebabkan penghuni flet 12 tingkat itu meninggalkan kediaman mereka dan berkumpul di tempat letak kereta bangunan itu.

Petugas di Bangunan KWSP yang turut menempatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut merasai gegaran kecil selama beberapa minit.

Gegaran turut dirasai penduduk di Kampung Behor Lateh dan kawasan Kuala Perlis.- Agensi

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14


Istiadat pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 bermula pagi ini di Istana Negara di Kuala Lumpur dengan upacara pemeriksaan barisan kehormat.

Seramai l07 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 104 anggota lain pangkat, terlibat dalam perbarisan kehormat di anjung utama Istana Negara.

Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, sebelum menerima "Hormat Diraja" daripada barisan kawalan kehormat, yang diikuti dengan lagu "Negaraku."

Serentak dengan lagu "Negaraku' dimainkan, Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda dikibarkan.

Selesai upacara itu, Seri Paduka berdua bersemayam di Bilik Seri Maharaja, sebelum berangkat ke Balairong Seri untuk upacara pertabalan yang buat julung kalinya diadakan di Istana Negara baru, Jalan Duta, yang berdiri megah sebagai lambang pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Pertabalan kali ini turut melakar sejarah kerana buat pertama kali Sultan yang sama dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan di kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tuanku Abdul Halim pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.

Upacara hari ini yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut dirakamkan oleh National Geographic Channel dengan kerjasama Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk penerbitan dokumentari bagi siaran di persada antarabangsa.

Dokumentari pertabalan kali ini menumpukan kepada keunikan dan keistimewaan pelantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kedua kalinya.- Bernama

Wednesday 4 April 2012

Najib: Tiga tahun yang mengujakan dan mencabar

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap tempoh tiga tahun beliau menerajui tampuk pemerintahan negara sebagai suatu pengalaman yang mengujakan dan penuh cabaran.
    
"Kami telah melalui perjalanan yang panjang dalam tempoh tiga tahun. Apabila  kita bermula, kami bermula daripada kedudukan yang penuh cabaran, dengan tsunami politik dan terdapat banyak kewahaman dan kesinisan.
    
"Tetapi selepas tiga tahun, rakyat mula lebih percaya dan yakin dengan kerajaan. Rakyat percaya kami boleh melakukannya dan kami telah pun membuktikannya," katanya kepada wartawan Malaysia pada satu sidang media di Phnom Penh.

Perdana menteri berada di sana untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-20 yang berlangsung selama dua hari.
    
Beliau berkata angka makro kelihatan sangat baik dan sektor swasta telah memberikan respons yang memberangsangkan.
    
Najib mengambil alih pucuk kepimpinan kerajaan daripada Tun Abdullah Ahmad Badari.
    
Perdana Menteri berkata pelaburan langsung asing telah mencapai rekod tertinggi selepas 10 tahun dengan nilai pelaburan berjumlah RM120 bilion direkodkan dalam masa satu tahun.
    
Beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga mencapai tahap tertinggi dan kerajaan berupaya mengurangkan defisit fiskal.
    
"Semua ini memberi petunjuk bahawa kami telah mencipta satu momentum baru sepanjang tahun berkenaan. KDNK kita baik. Kesemua NKRA telah melebihi sasaran dan cabaran seterusnya adalah untuk meneruskan momentum kerana kita telah mencapai banyak kejayaan dalam masa tiga tahun.

"InsyaAllah, berikan kami lima tahun lagi, kami akan melakukan lebih banyak lagi," kata beliau.
    
Najib berkata beliau terkejut kerana sudah tiga tahun berlalu.
    
"Saya rasa berpuas hati kerana (anggota) Kabinet telah banyak memberi sokongan. Saya tidak dapat melakukannya sendirian. Rakan-rakan saya telah menyokong saya selama ini.
    
"Kami telah mengotakan janji-janji yang kami buat dan ini sangat penting. Apabila kami berjanji, kami menunaikannya," kata perdana menteri.
    
Mengenai cabaran politik yang beliau hadapi, Najib berkata pembangkang akan menggunakan apa jua isu dan mereka pula tidak konstruktif untuk mencari penyelesaian sebaliknya memanjangkan isu-isu sehingga pilihan raya umum akan datang.
    
"Minda pemikiran mereka bukannya untuk mencari penyelesaian tetapi untuk mencipta dan memanjang-manjangkan isu," kata beliau.
- Bernama

Harga RON97 naik 10 sen kepada RM2.90 seliter

Harga petrol gred RON97 telah naik 10 sen mulai tengah malam tadi - meningkat daripada RM2.80 kepada RM2.90 seliter.

Harga baru ini sepadan dengan harga rekod yang ditetapkan pada Mei tahun lepas. Bagaimanapun, harganya turun RM0.10 seliter pada bulan berikutnya.

Persatuan Peniaga petrol Malaysia, Abdul Wahid Bidin mengesahkan ini.

Minggu lepas, kerajaan persekutuan mengumumkan ia telah meningkatkan subsidi petrol RON95 gred - yang paling banyak digunakan di Malaysia - sebanyak 10 sen ekoran harga minyak mentah global yang semakin meningkat.

Ini adalah kerana kerajaan persekutuan berkata ianya penting untuk mengekalkan harga RON95 bagi menghindari tekanan inflasi.

RON95 diperkenalkan pada bulan September 2009, selepas kerajaan persekutuan memutuskan untuk mengapungkan harga RON97 yang disemak setiap bulan.

Kenderaan pendaftaran asing tidak dibenar menggunakan minyak RON95.

RM38 juta bantu peniaga kecil Selangor


MOHD. Shafie Apdal menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada pelajar dari sekitar daerah Kuala Selangor sempena Program Mesra Rakyat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kuala Selangor, semalam.


KUALA SELANGOR 3 April - Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan sebanyak RM38 juta bagi membangunkan peniaga kecil bumiputera di Selangor pada tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan itu merupakan tambahan sebanyak RM13 juta daripada RM25 juta yang disalurkan sebagai bantuan pinjaman kepada golongan berkenaan di negeri ini pada tahun lalu.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah antara yang terbesar disalurkan menerusi MARA bagi membantu peniaga kecil yang menghadapi masalah mendapatkan pembiayaan perniagaan.

Tuesday 3 April 2012

Hala tuju kerajaan jelas: Najib

Oleh Johari Ibrahim

joib@bharian.com.my
2012/04/03

NAJIB dan Muhyiddin melihat laporan tahunan GTP dan ETP selepas membentangkan pencapaian GTP dan ETP, di Kuala Lumpur, malam tadi.
 
Rakyat diminta usah terpedaya dakyah pihak mahu tukar kerajaan


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak malam tadi memperincikan pencapaian Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan membawa mesej kerajaan pimpinannya sentiasa menepati janji dan meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan pimpinannya bukan kerajaan populis semberono yang tidak bertanggungjawab dan tidak sekali-kali mahu membankrapkan negara dalam merangka sebarang dasar serta membelanjakan wang.

“Kita sudah dan akan sentiasa berterus-terang dengan rakyat mengenai apa kita mampu dan apa yang kita tidak mampu lakukan.

“Sebaliknya, amat mudah bagi sesetengah pihak untuk menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa memikirkan kesannya,” katanya ketika membentangkan pencapaian GTP dan ETP yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran utama televisyen.

Berpaksikan falsafah ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang digariskan Najib selepas mengambil alih kepemimpinan negara tiga tahun lalu, tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah GTP dikenal pasti untuk dilaksanakan hasil maklum balas rakyat pada semua peringkat.

ETP pula membabitkan 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) berserta 131 Projek Permulaan Ekonomi (EPP) yang dipacu Model Baru Ekonomi (NEM) dan lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dengan meletakkan hala tuju jelas ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Selain menangani kos sara hidup dan mengurangkan jenayah, NKRA turut memfokus kepada peningkatan pencapaian pelajar, membaiki kemudahan asas luar bandar, mempertingkatkan pengangkutan awam bandar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah dan membanteras rasuah.

Perdana Menteri berkata, matlamat utama ETP dan NEM adalah mengeluarkan Malaysia daripada perangkap negara berpendapatan sederhana dan meletakkan negara di landasan betul bagi mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

“Untuk analogi, NEM dan SRI bolehlah diibarat sebagai lebuh raya, manakala ETP adalah kenderaan yang menggunakan lebuh raya membawa kita ke destinasi akhir, iaitu sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

“Dua belas NKEA di bawah ETP pula ialah bahagian enjin kepada kenderaan berkenaan dan EPP ialah bahan api yang akan menggerakkan kenderaan ini. Untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, semua komponen termasuk kenderaan, enjin, bahan api dan lebuh raya hendaklah berada dalam keadaan terbaik.

“Namun, saya ingin mengingatkan, kita juga memerlukan pemandu yang cekap supaya dapat menggabung jalinkan segala faktor yang ada bagi memastikan kenderaan tiba ke destinasinya pada masa yang ditentukan dengan selamat.

“Oleh itu, janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang terbukti kebolehannya, di tengah-tengah jalan untuk digantikan dengan pemandu yang diragui dan berbahaya,” katanya.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan rakyat supaya jangan sesekali salah membuat pilihan, sebaliknya hendaklah berhati-hati dengan tukang karut melipur lara.

“Mereka ini hanya pandai berjanji tapi tidak pernah mengotainya. Mereka tidak pernah konsisten antara amalan dan retorik yang dilaungkan.

“Sesungguhnya, masa depan kita dan anak bergantung pada keputusan hari ini. Kesimpulannya, kerajaan hari ini adalah kerajaan bertanggungjawab, kerajaan beramanah dan paling penting kerajaan ini sentiasa menepati janji,” katanya.

Malah, katanya, pembentangan pencapaian GTP dan ETP jelas membuktikan sikap keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti kerajaan.

“Kerajaan ini berterus-terang dengan rakyat mengenai masalah dan cabaran yang sedang dihadapi negara dan kita telah merangka pelan menyeluruh bagi menangani segala cabaran yang dikenal pasti.

“Segala prakarsa di bawah payung Dasar Transformasi Nasional dirangka dengan bersebab dan bermatlamat. Pucuk pangkalnya, kerajaan hari ini jelas mengenai hala tuju yang ingin dibawa negara, iaitu menuju sebuah negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.

Kita mampu terus mengorak langkah ke depan

KUALA LUMPUR: Malaysia mampu mengorak langkah ke hadapan apabila keupayaannya, kekuatan dan potensinya dimanfaatkan menjadi 1Malaysia yang fokus dan bersatu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kejayaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) menunjukkan Malaysia sebagai negara dan rakyat pelbagai kaum, pelbagai budaya dan latar belakang agama serta pandangan tetap mampu mencapai matlamat 1Malaysia.

Katanya, setiap Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menghasilkan kemajuan ketara dan pencapaian boleh dilihat dalam bidang menjadi keutamaan kepada rakyat.

“GTP terus meningkatkan kehidupan rakyat. Ia terbukti (kerana) apabila anda mencabar diri anda, hal dan perkara menakjubkan boleh berlaku.

“Keseluruhannya, kajian setahun (pelaksanaannya) menyaksikan satu lagi pusingan kemenangan besar,” katanya dalam prakata Laporan Tahunan GTP 2011.

Muhyiddin berkata, tahun lalu menyaksikan jentera kerajaan mengekalkan tumpuan kepada matlamat bagi mencapai hasil lebih memberangsangkan dan menjelang penghujung tahun negara berjaya mencapai kejayaan besar. – BERNAMA

KKTM students create recording-breaking logo with 50,000 keychains

BY assembling thousands of keychains, a group of MARA Higher Vocational Training Institute (KKTM) students created the country’s largest logo made with keychains.

The attempt had also earned them a spot in the Malaysia Book of Records.

The feat which took three hours and 37 minutes to be completed, saw the students arrange a total of 49,570 plastic keychains in the shape of the KKTM’s logo on a plywood measuring 9.75mx12.2m.

A total of 47 KKTM Diploma in Product Design and Mould Engineering Technology students took part in the record-breaking bid.

The event was part of the 46th MARA Day celebrations held at the institute in Balik Pulau yesterday.

We made it!: KKTM students posing in front of their logo made of keychains

MARA deputy director-general (education) Abdul Rahim Abdul Ghani said such achievements would inculcate innovation as a culture among the students.

“The students did not only plan the arrangement of the keychains, they had also made the palm-shaped keychains from scratch,” he said.

KKTM Balik Pulau director Rosminah Mohd Hussin said that the idea was contributed by one of the institute’s lecturers last year.

“Work on moulding the keychains started since January this year and we are very pleased with the end result,” she said.

Rosminah added that the keychains would be given away as souvenirs or sold to the public.

Project leader Syed Mohammad Saiful Syed Tajur Azinan, 23, a Diploma in Product Design student, said he and his team members took about 10 hours to draw the outline of the logo for the convenience of assembling the keychains.

MARA sasar taja 128,800 pelajar

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
pengarang@utusan.com.my
KOTA BHARU 28 Mac - Sebanyak 128,800 pelajar disasar mendapat tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ahli Majlis MARA, Mohamad Saufi Deraman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 124,130 pelajar akan ditaja untuk menyambung pelajaran di dalam negara manakala 4,760 orang pula di luar negara.

"Jumlah berkenaan mengatasi jumlah tajaan MARA sepanjang RMK-9 iaitu seramai 118,308 pelajar iaitu 110,760 di dalam negara dan 7,548 di luar negara," katanya ketika merasmikan Karnival Pendidikan MARA 2012 peringkat negeri di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari.

Menurutnya, tajaan yang diberikan itu adalah untuk memastikan setiap pelajar yang layak, mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Kita telah menggerakkan usaha ini sejak dahulu lagi dengan matlamat untuk melahirkan generasi bumiputera yang mempunyai pengetahuan dan kelayakan sewajarnya," kata beliau.

Turut hadir, Pengarah MARA Kelantan, Mohd. Yunus Razali.

Saufi menambah, MARA turut memberi fokus untuk menaja pelajar berkelayakan bagi meneruskan pengajian ke peringkat ijazah lanjutan seperti sarjana, doktor falsafah dan kelayakan profesional di institusi pengajian tinggi terkemuka di luar negara.

Sementara itu, Mohd. Yunus ketika ditemui berkata, karnival yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini akan membuka ruang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Katanya, adalah diharapkan karnival tersebut akan menjadi landasan terbaik kepada pelajar untuk memilih bidang yang mereka minati.