Friday 30 April 2010

Hari Informasi Kerjaya Pendidikan

Pada 29 April 2010, SMK Bkt. Sentosa 2 telah mengadakan Hari Informasi Kerjaya Pendidikan MARA khusus untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5. Pihak MARA Selangor telah dijemput untuk mengadakan pameran dan memberikan taklimat serta ceramah kerjaya.

Turut dijemput ialah wakil daripada GiatMARA Hulu Selangor dan wakil IKM Kuala Lumpur.

Program ini bertujuan mendedahkan pelajar tentang peluang-peluang kerjaya yang diberikan oleh pihak MARA khususnya bagi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.






Teruskan projek pembinaan MRSM - Zambry

PADANG RENGAS 29 April - Kerajaan negeri meminta Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya meneruskan segera projek pembinaan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kangsar yang terbengkalai sejak Ogos 2008.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan mana-mana projek pembangunan di negeri ini menjadi 'projek sakit' atau 'gajah putih'.

''Projek ini telah 41 peratus dilaksanakan dan ia terhenti disebabkan kontraktor menarik diri kerana krisis ekonomi pada 2008.

''Krisis ekonomi pada masa itu menyebabkan kos bahan binaan termasuk besi mengalami kenaikan mendadak, kontraktor tidak mampu meneruskan projek dan menyerahkan kembali projek itu kepada kerajaan," katanya pada sidang akhbar di Kampung Paya Lintah dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja meninjau pembangunan di beberapa kawasan di sini dan daerah Kuala Kangsar.

Mengulas lanjut kata Zambry, beliau telah menghubungi MARA dan agensi terbabit memberi jaminan akan memberikan  keutamaan untuk meneruskan projek tersebut dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh    (RMK-10).

''Saya dimaklumkan sebanyak RM103 juta diperlukan untuk pembangunan keseluruhan projek itu termasuk peralatan yang diperlukan," katanya.

Apabila siap, projek yang dimulakan pada 2007 itu, mampu menampung lebih 1,000 pelajar berbanding 700 pelajar sebelum ini.

Sementara itu, Zambry berkata, pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar penting kerana ia merupakan projek berimpak tinggi yang dapat mencetuskan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

''Saya telah melihat perkembangan projek penting ini dan saya dapati semua berjalan lancar dan ia akan siap mengikut jadual," katanya.

Zambry berkata, teknik membuat terowong sepanjang tiga kilometer menggunakan letupan yang terhad sejak awal tahun lalu dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

Projek PLBE sepanjang 329 kilometer dan menelan belanja RM12.485 bilion yang bakal merubah komposisi industri pengangkutan darat di utara Semenanjung Malaysia itu dijadual siap pada Januari 2013.
-Utusan

Thursday 29 April 2010

Malaysia Harap Jalin Kerjasama Dalam Bidang Penyelidikan Dengan Jepun

Daripada Normalazwa Jamaludin

TOKYO, 21 April (Bernama) -- Malaysia berharap usaha sama yang telah terjalin dengan negara Jepun dalam bidang akademik dapat diperluaskan dalam bidang penyelidikan lain termasuk maritim.

Ahli Majlis MARA (Majlis Amanah Rakyat) Datuk Dr Yusof Yacop berkata Malaysia kaya dengan sumber dan kepelbagaian bio yang boleh digunakan oleh pakar akademik Jepun dalam pelbagai bidang penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Katanya Malaysia masih menganggap Jepun sebagai negara model bukan sahaja daripada segi pembangunannya tetapi juga aspek budaya dan nilai-nilai murni yang berjaya dikekalkan oleh rakyat Jepun sehingga kini.

"Sebab itu, Malaysia menghantar ramai pelajar ke Jepun kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mereka belajar lebih banyak lagi daripada Jepun terutama dalam bidang teknologi dan inovasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika mengetuai delegasi Yayasan Pelajaran MARA (YPM) ke Tokai University Kampus Shimizu di Teluk Surugawa, kira-kira 200 kilometer dari sini, pada Rabu.

Ketibaan delegasi YPM itu disambut oleh Dekan Fakulti Sains Marin dan Teknologi Profesor Noboru Kato bersama tiga pelajar Malaysia tajaan YPM yang sedang menuntut dalam bidang Kejuruteraan Samudera dan Seni Bina Kapal di universiti berkenaan.

Tokai University merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi di Jepun yang mempunyai Jabatan Samudera dan Kejuruteraan Maritim.

Ia ditubuhkan pada tahun 1962 dan memberi fokus kepada pembangunan penyelidikan dalam kedua-dua bidang itu (Jabatan Samudera dan Kejuruteraan Maritim) termasuk melibatkan kajian di laut dalam.

Universiti itu turut menempatkan akuarium yang mengandungi pelbagai spesies ikan laut, ketam, jerung, pari-pari, obor-obor dan hidupan marin yang lain dan menerima seramai 200,000 pengunjung setahun.

Sementara itu, Kato dalam ucapannya, berkata pada masa ini, hanya terdapat tiga pelajar Malaysia yang sedang menuntut di universiti berkenaan manakala dua orang pula telah berjaya menamatkan pengajian mereka.

Beliau turut berharap Malaysia dan Jepun akan mempunyai hubungan yang lebih akrab dalam bidang kerjasama yang lain. -- BERNAMA

Tuesday 27 April 2010

Lapan Pelajar MRSM Bentong Positif H1N1

BENTONG, 26 April (Bernama) -- Lapan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong di sini disahkan positif Influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, pelajar terbabit adalah daripada 35 pelajar sekolah berkenaan yang disyaki menghidapi kluster simptom penyakit serupa (ILI) sejak 23 April lalu.

"Sehingga hari ini kesemua mereka telah diasingkan di bilik isolasi dan diberikan rawatan oleh doktor Hospital Bentong yang datang ke sekolah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat MRSM Bentong Isnin.

Liow berkata daripada lapan sampel tekak yang diambil mendapati kesemuanya positif H1N1 manakala 15 daripada 35 pelajar terbabit diberikan rawatan antiviral dan selebihnya diberikan rawatan simptomatik.

Katanya, virus kluster ILI di MRSM Bentong dipercayai dibawa masuk oleh orang luar yang datang menyaksikan acara sukan di sekolah berkenaan iaitu seminggu sebelum kes pertama virus itu dikesan.

Menurut Anggota Parlimen Bentong itu, bagi mengelak virus tersebut merebak kepada pelajar lain, pihak pengurusan sekolah mengadakan kawalan ketat menghalang orang ramai daripada mendekati pelajar terbabit.

Pihak sekolah juga katanya turut membuat pengasingan kes, memberikan pendidikan kesihatan kepada 808 pelajarnya seperti kebersihan diri ketika batuk, mengedar risalah dan pemberian rawatan simptomatik oleh pasukan perubatan.

Beliau berkata pelajar yang telah sembuh daripada simptom kluster ILI dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selama seminggu dan mereka dinasihatkan supaya terus berada di rumah dan tidak keluar ke tempat awam.

Katanya sehingga hari ini perkembangan H1NI menunjukkan 13,451 influenza A telah dilaporkan dan mencatatkan 80 kematian di seluruh negara.

"Jumlah kes ILI yang masih mendapat rawatan di wad ialah 543 kes dan daripada jumlah itu 55 kes telah disahkan positif H1N1 serta sembilan kes masih dirawat di wad kecemasan," katanya.
-- BERNAMA

MARA Kedah kutip hutang RM4.79 juta

ALOR SETAR 25 April - Sebanyak RM4.79 juta bayaran balik pinjaman berjaya dikutip oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kedah sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah MARA Negeri, Ahmad Rakhli Hassan berkata, jumlah tersebut melibatkan sebanyak 4,068 peminjam di negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata, sehingga kini terdapat 4,188 peminjam yang mempunyai tunggakan dengan agensi itu yang berjumlah sebanyak RM32.97 juta.

"Pencapaian bayaran balik ini dianggap baik tetapi kita masih berusaha agar lebih ramai peminjam menunaikan tanggung jawab mereka membayar hutang.

"Ini amat penting kerana perolehan daripada bayaran balik itu akan membolehkan MARA memberi pinjaman baru kepada pemohon lain," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Pada masa ini, menurutnya, MARA negeri masih berupaya memberikan pinjaman baru kerana agensi itu mempunyai dana yang cukup.

Meskipun begitu, tambahnya, jika semua peminjam melunaskan pembayaran balik hutang mengikut janji yang telah dipersetujui, sudah tentu MARA akan dapat memainkan peranan membantu usahawan bumiputera dengan lebih cekap dan berkesan.

Ahmad Rakhli memberitahu, secara purata, MARA negeri meluluskan pinjaman kepada kira-kira 20 usahawan melibatkan dana antara RM1 hingga RM2 juta setiap dua minggu.

"Jumlah pinjaman adalah antara RM5,000 dan RM500,000," katanya.

Katanya, MARA Kedah melaksanakan beberapa pendekatan bagi mendapatkan semula hutang yang tertunggak terutama di kalangan usahawan yang liat menunaikan tanggung jawab mereka.

"Apa yang penting, kita mahu setiap peminjam mempunyai kesedaran sendiri dan tampil dengan rela hati melunaskan pinjaman masing-masing," ujarnya.

Beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai rekod pembayaran yang teruk, tindakan undang-undang adalah pilihan utama dalam usaha MARA mendapatkan semula hutang yang tertunggak.

Monday 26 April 2010

BN tawan semula Hulu Selangor

HULU SELANGOR 25 April – Barisan Nasional (BN) memberikan isyarat awal kebangkitan semula parti itu di Selangor apabila menawan kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan kejayaan calonnya, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

Seramai 49,000 atau 76 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Kali terakhir BN menguasai kerusi Parlimen tersebut ialah pada tahun 2004 juga melalui Palanivel.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh BN dalam sepuluh pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Turut meraikan kejayaan BN ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di dewan itu kira-kira pukul 9.10 malam, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen BN.

Berdasarkan kepada keseluruhan undi yang diterima daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor, dua daripadanya dimenangi oleh BN manakala satu lagi dimenangi oleh PKR.

BN menang di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bharu yang pada pilihan raya umum lalu dimenangi oleh BN dengan majoriti 448 undi.

Bagaimanapun terdapat peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina yang majoritinya berada di dalam DUN Kuala Kubu Bahru.

Kejayaan BN di Hulu Selangor, selain dilihat sebagai kebangkitan semula BN dalam usahanya merampas kembali pemerintahan di Selangor yang kini berada di bawah pakatan pembangkang yang diketuai oleh PKR, lebih penting daripada itu, pemimpin-pemimpin BN menyifatkan ia isyarat penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin.

Sepanjang kempen berlangsung sejak 15 April lalu, kepimpinan BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi untuk menerima kembali parti itu di kawasan Parlimen berkenaan melalui penerapan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kempen pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) ternyata gagal mempengaruhi pengundi yang dilihat lebih mengutamakan isu-isu tempatan dan pembangunan.

Friday 23 April 2010

DEB masih lagi diperlukan - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, belum tiba masanya lagi untuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat menyusun semula ketidakseimbangan sosioekonomi Melayu dihapuskan.

Beliau berkata, sekiranya dikaji taburan kekayaan negara, masih terdapat keadaan ketidaksamarataan antara kaum yang sudah tentu memerlukan langkah memperbaikinya diambil.

"Kita masih memerlukan masa dan kita perlu bersabar. Saya tidak fikir ia akan membawa kerugian besar kepada komuniti lain.

"Dasar ini tidak membantut perkembangan negara dan tiada rakyat yang lari dari negara ini hanya kerana ketidakadilan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pidato Perdana bertajuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) Menggalas Amanah Bumiputera sempena ulang tahun organisasi tersebut yang ke-44 di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Muhamad.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, orang Melayu perlu berdiri di atas kaki sendiri dengan tegap tanpa 'bertongkat' dan bantuan kerajaan.

Beliau berkata, orang Melayu tidak harus menganggap bantuan kerajaan kepada mereka sebagai satu yang boleh dibanggakan kerana 'tongkat' hanya akan diberikan kepada golongan yang lemah.

Selain itu, katanya, maju mundurnya sesebuah bangsa bergantung kepada nilai hidup yang diamalkan dalam kehidupan seharian.

"Jika nilai hidupnya tidak sesuai dengan kejayaan, maka gagallah bangsa tersebut walaupun banyak peruntukan diberikan kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sampai bilakah orang Melayu harus tinggal di kawasan yang digazetkan sebagai tanah rizab untuk kaum tersebut.

Menurut beliau, orang Melayu sebenarnya mempunyai kebolehan untuk berdaya saing dalam ekonomi dan berupaya membeli tanah bangsa lain di bandar.

Namun katanya, kelemahan orang Melayu disebabkan oleh keinginan untuk mencapai kekayaan dengan jalan pintas dan pada masa sama lebih mudah menghabiskan segala kekayaan tanpa memikirkan pelaburan untuk jangka masa panjang.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang Melayu supaya meningkatkan ilmu pengetahuan dan 'berlari' lebih pantas ke hadapan untuk setanding dengan kaum-kaum lain di negara ini.

"Peluang yang diberikan dalam DEB harus dihargai sepenuhnya supaya kita dapat bersaing dengan kaum lain tanpa sebarang peruntukan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, pelajar bumiputera seharusnya memanfaatkan laluan mudah ke universiti awam di negara ini untuk memperoleh pengajian di peringkat tinggi.

Beliau juga mencadangkan supaya kurikulum pembentukan karakter dimasukkan ke dalam pengajaran supaya mahasiswa dapat dididik dengan nilai-nilai murni untuk mencapai kejayaan selain mencegah amalan rasuah.

Kampus baru UniKL Mitec beroperasi 2011

JOHOR BAHRU - Kampus tetap Universiti Kuala Lumpur (UniKL Mitec) di Bandar Seri Alam dekat sini yang dibina di atas tanah seluas 60 hektar dijangka memulakan operasi pada tahun depan.

Dekan UniKL Mitec, Prof. Madya Dr. Khairanum Subari berkata, projek berkenaan kini berada di tahap 90 peratus siap.

Beliau berkata, mahasiswa akan dapat menikmati kemudahan yang serba lengkap seperti 13 makmal termasuk makmal bahasa, 12 bengkel yang canggih serta alatan terkini serta bangunan tiga tingkat yang menempatkan perpustakaan kampus berkenaan.

"Seperti yang diketahui, bangunan yang diduduki sekarang adalah kampus sementara. Setelah bangunan di Bandar Seri Alam itu siap, kami akan berpindah ke sana.

"Bangunan tersebut itu juga mampu menampung kira-kira 3,000 pelajar selain dilengkapi asrama, pusat kegiatan pelajar dan pusat sukan," katanya pada majlis perasmian Hari Terbuka UniKL Mitec Pasir Gudang di sini hari ini.

Hari terbuka kali kedua itu masih mengekalkan tema seperti tahun lalu iaitu Mendekati Masyarakat.

Program dua hari itu adalah titik tolak kepada kampus berkenaan untuk bertemu dengan segenap lapisan masyarakat sekitar dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Turut hadir, Timbalan Presiden (Teknousahawan dan Hal Ehwal Mahasiswa), Prof. Dr. Abu Talib Othman dan Ketua Unit Pendidikan dan Latihan Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA), Aminah Abdul Samad.

Tambah Khairanum, buat julung kalinya UniKL memperkenalkan 12 anugerah untuk diberikan kepada mahasiswa sebagai tanda penghargaan kerana jasa dan semangat juang dalam memartabatkan nama baik dan imej universiti.

Antara anugerah tersebut ialah Anugerah Kepimpinan Harapan Siswa Terbaik, Anugerah Kepimpinan Harapan Siswi Terbaik, Anugerah Sahsiah Terbaik dan Anugerah Tokoh Apresiasi.

"Anugerah tersebut mengambil kira penglibatan mereka di dalam aktiviti kokurikulum seperti program-program anjuran universiti serta yang paling penting iaitu pencapaian akademik.

"Dengan anugerah tersebut, ia diharapkan mampu mewujudkan tindak balas positif daripada mahasiswa dengan memberikan yang terbaik bukan sahaja dalam akademik tetapi kokurikulum," katanya.

Wednesday 21 April 2010

MARA bersama Rakyat

Pada 19 dan 20 April 2010 telah berlangsung satu program MARA bersama Rakyat yang telah diadakan di Sek. Keb. Ulu Yam Bharu, Batang Kali. Program tersebut telah dirasmikan oleh Y.B Dato' Seri Shafie b. Hj. Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dato' Seri Idris Jusoh, Pengerusi MARA, Dato' Othman bin Hj. Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan), Abd. Rahim bin Abd. Ghani Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), Ibrahim bin Ahmad, Pengarah Kanan (Pendidikan & Latihan) serta beberapa Pegawai Kanan MARA.

Program tersebut bertujuan memperkenalkan pelbagai info dan fungsi MARA kepada rakyat di Ulu Yam dan Kuala Kubu Bharu. Pelbagai gerai pameran pendidikan dan usahawan telah disediakan termasuk daripada IPma, IKM/KKTM dan sebagainya. Terdapat juga gerai usahawan seperti Juara Saji, Ira Herba Tradisoional, Dimaz Holding dan lain-lain.

Pihak MARA mengucapkan ribuan terima kasih diatas kerjasama dan bantuan yang telah diberikan samaada secara langsung atau tidak dalam menjayakan program MARA bersama Rakyat di Ulu Yam Bharu, Batang Kali.

Tuesday 20 April 2010

Yayasan Pelajaran MARA lahir lebih 1,000 jurutera

TOKYO 18 April - Yayasan Pelajaran MARA (YPM) berjaya melepasi sasaran untuk melahirkan lebih 1,000 jurutera di bawah pelaksanaan projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) yang mula dilaksanakan pada 1992.

Pengerusi YPM, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, projek itu yang dilaksanakan di bawah Dasar Pandang ke Timur, bermatlamat mengeluarkan tenaga sumber manusia berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan yang mampu menyumbang dalam pembangunan industri dan ekonomi negara.

Beliau berkata, projek pertama DPPT telah dilaksanakan dengan termeterainya perjanjian pinjaman kerajaan Malaysia dengan Jepun pada 28 Mei 1992 yang dinamakan DPPT I, dan kejayaannya telah membuka kepada perjanjian pinjaman pakej kedua (DPPT II) pada April 1999 serta ketiga (DPPT III) pada Januari 2005.

Katanya, DPPT I telah berjaya melahirkan seramai 279 jurutera berbanding sasaran awal 240 orang manakala DPPT II pula mengeluarkan 349 jurutera berbanding sasaran 332 orang.

"Sementara DPPT III pula berjaya melahirkan 89 graduan termasuk 15 orang di peringkat sarjana dan seorang ijazah doktor falsafah (PhD).

''Seramai 412 orang lagi masih belum menamatkan pengajian mereka termasuk di peringkat sarjana dan PhD," katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam kunjungannya ke negara ini bagi meninjau pelaksanaan projek tersebut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Abdul Shariff Hamid.

Rosli berkata, di bawah projek DPPT I, pelajar akan mengikuti pengajian berkembar selama enam tahun iaitu dua tahun program matrikulasi di Malaysia dan empat tahun lagi ijazah sarjana muda di universiti-universiti terpilih di Jepun.

Sementara itu di bawah DPPT II pula, katanya, setiap pelajar akan menamatkan pengajian mereka selama dua tahun dalam negara dan tiga tahun lagi di Jepun selepas beberapa penambahbaikan dilakukan.

Bagi projek DPPT III, katanya, YPM berjaya membuat dua lagi penambahbaikan iaitu mengurangkan tempoh pengajian di Jepun dari tiga tahun kepada dua tahun dan mengadakan kerjasama dengan Universiti Industri Selangor (Unisel) bagi program diploma kejuruteraan (Jepun) yang diiktiraf oleh Agensi Penarafan Malaysia (MQA).

Menurut Rosli, apa yang lebih membanggakan adalah terdapat graduan lulusan DPPT yang berkhidmat sebagai jurutera di Jepun.

Mengulas penghantaran pelajar tersebut ke Jepun, beliau berkata, ia merupakan usaha YPM untuk melahirkan jurutera berkaliber bagi memacu pembangunan berterusan negara.

"Selain menimba ilmu, kita juga mahu mereka belajar tiga ciri-ciri penting yang terdapat pada masyarakat Jepun.

''Ciri-ciri itu adalah semangat cintakan negara yang ketika ini dilihat semakin luntur di kalangan generasi muda negara, disiplin diri dan tamadun mereka iaitu pentingkan kebersihan, kejujuran serta menghormati orang tua," katanya. - Utusan

60 peratus pelajar KPTM ditaja oleh MARA

KOTA BAHARU 17 April - Kira-kira 60 peratus daripada 12,000 pelajar Kolej Polytech-MARA (KPTM) di seluruh negara mendapat tajaan MARA, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yusoff Harun.

Menurut beliau, pembiayaan pendidikan oleh agensi kerajaan itu terbahagi dalam dua bentuk iaitu pinjaman dan pembiayaan sepenuhnya berdasarkan tahap pencapaian seseorang pelajar dalam pengajian.

"Mereka yang mendapat pencapaian 3.8 atau 4 Peratusan Nilai Gred Purata (PNGK) akan mendapat pembiayaan sebagai biasiswa sepenuhnya, manakala mereka yang mendapat kurang daripada itu akan membayar balik sebagai pinjaman,” katanya yang juga rektor kolej itu di sini hari ini.

Katanya, ini tidak bermakna semua pelajar KPTM diberi pembiayaan pendidikan sepenuhnya walaupun kolej itu adalah anak syarikat MARA dan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLBW).

Beliau berkata, kira-kira 60 peratus daripada sejumlah 12,000 pelajar yang belajar di kolej itu kini dibiayai oleh MARA dan selebihnya mendapat pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan sesetengah ibu bapa pelajar terbabit yang gagal mendapatkan pembiayaan pendidikan MARA selepas penyusunan semula Kementerian dalam kabinet dan MARA tidak lagi diletakkan di bawah Kementerian Perusahaan Awam.

Sehubungan itu, Yusoff meminta orang ramai supaya tidak terkeliru dengan isu berkenaan kerana kerajaan tetap membantu pelajar yang melanjutkan pelajaran di institusi di bawah MARA itu. - Bernama

Monday 12 April 2010

Di Sebalik Daerah Hulu Selangor


HULU SELANGOR, 11 April (Bernama) -- Hulu Selangor mungkin kurang dikenali kalau bukan kerana kedudukan daerah itu yang menjadi penghubung bagi dua destinasi pelancongan terkenal -- Bukit Fraser dan Genting Highlands.

Kedua-dua destinasi pelancongan itu dapat diakses melalui Jalan Kuala Kubu Baru-Bukit Fraser dan Jalan Batang Kali-Genting Highlands, yang juga jalan negeri di daerah itu.

Suatu ketika dulu, Daerah Hulu Selangor pernah dianggap sebagai pekan "mati" ekoran kedudukannya yang jauh dari hiruk-pikuk ibu negara Kuala Lumpur.

Namun begitu, nama nama Kuala Kubu baru yang diabadikan oleh penyanyi Allahyarham Sudirman Haji Arshad menerusi senikata "Kalau pergi Kuala Kubu, tulis nama atas batu... dalam lagu "Joget Kenangan Manis sedikit sebanyak telah mempromosikan nama Kuala Kubu Baru selaku pusat pentadbiran Hulu Selangor.

"Memang orang kenal Kuala Kubu Baru sebab lagu Sudirman," akui Mohan, pemilik rumah rehat Sri Teratai, kira-kira dua kilometer dari Pekan Kuala Kubu Baru di sini.

Baginya lirik "tulis nama atas batu" adalah gambaran penghargaan pengunjung dari luar terhadap Hulu Selangor yang mempunyai air terjun, tasik dan kolam air panas yang masih terpelihara daripada pembangunan.

Kuala Kubu Baru merupakan antara 13 mukim di bawah Daerah Hulu Selangor.

Mukim lain ialah Hulu Bernam, Kalumpang, Sungai Gumut, Sungai Tinggi, Kerling, Ampang Pecah, Buloh Telor, Peretak, Rasa, Batang Kali, Hulu Yam dan Serendah, menjadikan Hulu Selangor kawasan terbesar daripada sembilan daerah di Selangor.

Mengikut sejarah, Daerah Hulu Selangor bermula dengan pemerintahan Inggeris di Kuala Kubu Baru pada 12 Mei 1883, kira-kira sembilan tahun selepas campurtangan British di negeri Selangor.

Ketika pemerintahan British, pentadbiran daerah itu dikenali sebagai "Collector and Magistrate of Ulu Selangor", di mana antara penjawatnya ialah Cecil Ranking dan Mac Carthy iaitu semasa Frank Sweettenham menjadi Residen British di Selangor.

Ketika itu, pentadbiran daerah itu berpusat di Kuala Kubu (lama), kini dikenali sebagai Ampang Pecah, sebelum ia ditukarkan ke Kuala Kubu Baru pada 1 Sept 1930 kerana masalah banjir.

Dengan keluasan 174,047 hektar atau seluas saiz negeri Melaka, kawasan Parlimen Hulu Selangor (P094) adalah kawasan parlimen terluas berbanding 21 kawasan parlimen lain di negeri itu.

Kawasan itu bersempadan dengan tiga negeri iaitu Perak di utara, Pahang di barat dan Kuala Lumpur di selatan selain bersempadan dengan tiga daerah iaitu Sabak Bernam dan Kuala Selangor di timur dan Gombak di selatan.

Namun dalam keluasan itu, jumlah penduduk di daerah itu sekitar 178,500 orang.

Parlimen Hulu Selangor terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) iaitu N05 Hulu Bernam, N06 Kuala Kubu Baru dan N07 Batang Kali.

Dari segi ekonomi, Hulu Selangor dikenali dengan projek meganya seperti kawasan perindustrian Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) di Sungai Choh, Pusat Pengedaran TESCO di Bukit Beruntung, projek perumahan di bandar moden; Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, Sungai Buaya, Serendah, Batang Kali dan Lembah Beringin di Kerling.

Seiring dengan pembangunan negara, pembinaan "inter-change" lebuh raya PLUS di Bukit Beruntung dan Lembah Beringin menambahkan kerancakan pembangunan di kawasan Hulu Selangor.

"Sebab itu ramai orang kerja di KL tinggal di sini. Mereka ikut lebuhraya PLUS atau jalan lama Rawang-Kuala Lumpur," kata peniaga rojak dan cendol warga emas Rahimah Daud Shahid, 62, ketika ditemui di Kuala Kubu Baru.

Hulu Selangor dapat diakses melalui lebuhraya PLUS dan jalan persekutuan Kuala Lumpur-Tanjung Malim selain mempunyai rangkaian jalan negeri seperti Jalan Hulu Yam-Sg Tua, Batang Kali-Genting Highlands, Sungai Tengi-Batang Berjuntai dan Kuala Kubu Baru-Bukit Fraser.

Kawasan itu juga dapat diakses melalui perkhidmatan tren komuter KTM.

Hulu Selangor turut dikenali kerana kehadiran beberapa institusi pendidikan di kawasan itu antaranya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Peretak, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Kuala Kubu Baru, Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin dan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor yang juga sekolah kluster.

Terdapat 13 buah kampung baru di daerah itu antaranya Kampung Baru Dato' Harun di Serendah, Kampung Baru Damai dan Kampung Baru Ulu Yam yang didiami kaum Cina selain kawasan ladang seperti Ladang Lima Belas dan Kerling yang didominasi kaum India.

Kawasan ini juga mempunyai tanah rancangan Felda di Gugusan Felda Sungai Dusun antara lain merangkumi kawasan Felda Soeharto, Gedangsa, Sungai Dusun dan Sungai Tengi selain penempatan orang asli di beberapa tempat tertentu.-- BERNAMA

Thursday 8 April 2010

Hidupkan Semula Bursa Saham Bumiputera, kata Salleh

SHAH ALAM, 7 April (Bernama) -- Bursa Saham Bumiputera (BSE), yang ditubuhkan pada tahun 1970-an, perlu dihidupkan semula bagi membantu syarikat milik Bumiputera yang mahu disenaraikan serta mengumpul dana, kata Datuk Muhammad Salleh Majid.

Muhammad Salleh, bekas presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), berkata BSE, yang diurus oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) ketika itu, perlu dihidupkan semula bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pasaran ekuiti. "Terdapat 10 syarikat yang disenarai di BSE ketika itu. Selepss ditutup, ada yang dipindahkan ke bursa saham lain, ada yang terus lenyap.

"Jika kita lihat peserta tempatan, terutama usahawan Melayu, mereka mempunyai ruang yang terhad untuk mengumpu dana. Mengapa tidak hidupkan semula BSE untuk membantu mereka?" katanya pada syarahan sempena makan tengah hari di sini Rabu.

Beliau bagaimanapun berkata BSE memerlukan set peraturan berbeza dan sistem baharu memandangkan banyak syarikat Bumiputera tidak layak disenarai di Bursa Malaysia kerana kekurangan modal berbayar.

"Saya mencadangkan di BSE, tidak perlu melihat modal berbayar tetapi sebaliknya menimbang penajaan daripada badan berkanun, agensi dan pelaburan serta bank-bank komersil," katanya.

Untuk disenarai di pasaran utama Bursa Malaysia, sesebuah syarika diperlukan mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya RM60 juta, katanya.

Muhammad Salleh berkata BSE juga boleh menimbang untuk membenarkan peratusan tertentu penyeraan bukan Bumiputera.

Beliau juga mencadangkan kerajaan membenarkan dagangan dalam talian di BSE bagi membolehkan rakyat Malaysia di luar negara membeli saham.

Tuesday 6 April 2010

MARA Bukukan Sejarah Penubuhannya

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menerbitkan buku yang memapar pelbagai peristiwa serta sejarah penting yang dilalui institusi tersebut sejak penubuhannya pada 1966.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Muhamad berkata tokoh sejarah Datuk Prof Dr Ramlah Adam telah diberi tugas untuk menulis buku tersebut yang akan diberi judul "Meniti Sejarah MARA" sebelum dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan MARA pada 2016.

"Buku ini bertujuan menceritakan kembali sejarah MARA, tokoh-tokoh yang memajukan MARA, serta pelbagai perkara yang berkaitan bagi membolehkan orang ramai mengenali MARA," katanya kepada pemberita pada Majlis Pengkisahan Tokoh MARA di Ibu Pejabat MARA di sini Isnin.

Dr Ramlah pula berkata buku yang bakal dihasilkan itu diharap dapat membuka mata masyarakat untuk lebih menghargai jasa MARA dalam membangunkan ekonomi rakyat khususnya kaum Bumiputera.

"Saya menulis buku mengenai MARA ini supaya saya ingin masyarakat tahu yang MARA adalah satu institusi yang berjaya dari menyediakan pendidikan, memberi pinjaman hingga ke sektor perniagaan terutamanya pengangkutan," katanya.

Katanya MARA adalah sebuah institusi yang dikenali ramai khususnya dalam pendidikan di mana Maktab Rendah Sains MARA telah ditubuhkan di bawahnya serta bergiat aktif dalam pemberian pinjaman untuk pendidikan dan perniagaan khususnya untuk kaum bumiputera, selain memiliki syarikat bas.

Sesi pengkisahan itu turut disertai seorang lagi tokoh sejarah Tan Sri Prof Dr Khoo Kay Kim yang menceritakan mengenai kepimpinan dua tokoh negara yang turut mempunyai kaitan dengan MARA iaitu Allahyarham Dato' Onn Jaafar dan Allahyarham Tun Abdul Razak.
-- BERNAMA

Monday 5 April 2010

PM disambut Meriah, Slogan 1Malaysia Bergema Di Hulu Selangor

KUALA KUBU BARU, 3 April (Bernama) -- Sambutan masyarakat setempat di Hulu Selangor terhadap kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam program tinjauan mesranya ke beberapa kawasan di sini cukup hangat.

Malah suasana sepi di bandar ini tiba-tiba menjadi begitu meriah dengan kehadiran lebih 700 pelajar Cina yang memakai t-shirt yang tertera perkataan "1Malaysia supporter" yang begitu bersemangat dengan melaungkan "1Malaysia" mengiringi lawatan Perdana Menteri itu.

Najib yang meluangkan masa kira-kira setengah jam dalam tinjauan mesranya yang bermula pukul 4.15 petang kelihatan gembira dengan sambutan anak muda penyokong 1Malaysia itu.

Beliau singgah dari kedai ke kedai dan bersalaman dengan penduduk tempatan yang sememangnya menunggu-nunggu kehadiran Perdana Menteri.

Seorang pelajar S.M.K Syed Mashor Ulu Yam, Soo Yong Hoon, 17, yang begitu bersemangat mengiringi Najib dalam tinjauan mesranya bersama rakan-rakannya, ketika ditemui berkata beliau "Gembira dapat tengok Perdana Menteri".

Walaupun hujan renyai-renyai ia tidak menghalang orang ramai untuk bersemuka dengan Najib, malah bagi pemilik Kedai Makanan Hailam Sun Sun Nam Cheong, Tan Siew Siwan, 64, beliau begitu terharu kerana Najib sudi singgah di kedainya sambil bertanyakan sekiranya pemilik kedai itu ada sebarang masalah.

"Sekarang orang dah kenal Kuala Kubu Bharu sebab PM lawat sini," kata Tan tersengih ketika ditanya pemberita mengenai lawatan Najib.

Bersama beberapa pemimpin komponen parti Barisan Nasional termasuk Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Perdana Menteri turut menjamah hidangan istimewa di kedai itu iaitu mee hailam serta kuih-muih dan kopi "O" panas.

Najib tidak lekang dari senyuman apabila pelajar-pelajar Cina dari seluruh kawasan Parlimen Hulu Selangor melaungkan "1Malaysia" sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri sebaik keluar dari kedai makan itu.

Kira-kira pukul 4.45 petang sebelum meneruskan tinjauan mesranya melawat masyarakat India di Bukit Teratai, Najib sempat melaungkan "iker", yang bermakna satu dalam bahasa Mandarin sebanyak tiga kali sebelum memasuki keretanya, yang disambut dengan teriakan "Malaysia" oleh mereka yang berada di situ.
-- BERNAMA