Thursday 29 April 2010

Malaysia Harap Jalin Kerjasama Dalam Bidang Penyelidikan Dengan Jepun

Daripada Normalazwa Jamaludin

TOKYO, 21 April (Bernama) -- Malaysia berharap usaha sama yang telah terjalin dengan negara Jepun dalam bidang akademik dapat diperluaskan dalam bidang penyelidikan lain termasuk maritim.

Ahli Majlis MARA (Majlis Amanah Rakyat) Datuk Dr Yusof Yacop berkata Malaysia kaya dengan sumber dan kepelbagaian bio yang boleh digunakan oleh pakar akademik Jepun dalam pelbagai bidang penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Katanya Malaysia masih menganggap Jepun sebagai negara model bukan sahaja daripada segi pembangunannya tetapi juga aspek budaya dan nilai-nilai murni yang berjaya dikekalkan oleh rakyat Jepun sehingga kini.

"Sebab itu, Malaysia menghantar ramai pelajar ke Jepun kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mereka belajar lebih banyak lagi daripada Jepun terutama dalam bidang teknologi dan inovasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika mengetuai delegasi Yayasan Pelajaran MARA (YPM) ke Tokai University Kampus Shimizu di Teluk Surugawa, kira-kira 200 kilometer dari sini, pada Rabu.

Ketibaan delegasi YPM itu disambut oleh Dekan Fakulti Sains Marin dan Teknologi Profesor Noboru Kato bersama tiga pelajar Malaysia tajaan YPM yang sedang menuntut dalam bidang Kejuruteraan Samudera dan Seni Bina Kapal di universiti berkenaan.

Tokai University merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi di Jepun yang mempunyai Jabatan Samudera dan Kejuruteraan Maritim.

Ia ditubuhkan pada tahun 1962 dan memberi fokus kepada pembangunan penyelidikan dalam kedua-dua bidang itu (Jabatan Samudera dan Kejuruteraan Maritim) termasuk melibatkan kajian di laut dalam.

Universiti itu turut menempatkan akuarium yang mengandungi pelbagai spesies ikan laut, ketam, jerung, pari-pari, obor-obor dan hidupan marin yang lain dan menerima seramai 200,000 pengunjung setahun.

Sementara itu, Kato dalam ucapannya, berkata pada masa ini, hanya terdapat tiga pelajar Malaysia yang sedang menuntut di universiti berkenaan manakala dua orang pula telah berjaya menamatkan pengajian mereka.

Beliau turut berharap Malaysia dan Jepun akan mempunyai hubungan yang lebih akrab dalam bidang kerjasama yang lain. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment