Tuesday 20 April 2010

Yayasan Pelajaran MARA lahir lebih 1,000 jurutera

TOKYO 18 April - Yayasan Pelajaran MARA (YPM) berjaya melepasi sasaran untuk melahirkan lebih 1,000 jurutera di bawah pelaksanaan projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) yang mula dilaksanakan pada 1992.

Pengerusi YPM, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, projek itu yang dilaksanakan di bawah Dasar Pandang ke Timur, bermatlamat mengeluarkan tenaga sumber manusia berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan yang mampu menyumbang dalam pembangunan industri dan ekonomi negara.

Beliau berkata, projek pertama DPPT telah dilaksanakan dengan termeterainya perjanjian pinjaman kerajaan Malaysia dengan Jepun pada 28 Mei 1992 yang dinamakan DPPT I, dan kejayaannya telah membuka kepada perjanjian pinjaman pakej kedua (DPPT II) pada April 1999 serta ketiga (DPPT III) pada Januari 2005.

Katanya, DPPT I telah berjaya melahirkan seramai 279 jurutera berbanding sasaran awal 240 orang manakala DPPT II pula mengeluarkan 349 jurutera berbanding sasaran 332 orang.

"Sementara DPPT III pula berjaya melahirkan 89 graduan termasuk 15 orang di peringkat sarjana dan seorang ijazah doktor falsafah (PhD).

''Seramai 412 orang lagi masih belum menamatkan pengajian mereka termasuk di peringkat sarjana dan PhD," katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam kunjungannya ke negara ini bagi meninjau pelaksanaan projek tersebut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Abdul Shariff Hamid.

Rosli berkata, di bawah projek DPPT I, pelajar akan mengikuti pengajian berkembar selama enam tahun iaitu dua tahun program matrikulasi di Malaysia dan empat tahun lagi ijazah sarjana muda di universiti-universiti terpilih di Jepun.

Sementara itu di bawah DPPT II pula, katanya, setiap pelajar akan menamatkan pengajian mereka selama dua tahun dalam negara dan tiga tahun lagi di Jepun selepas beberapa penambahbaikan dilakukan.

Bagi projek DPPT III, katanya, YPM berjaya membuat dua lagi penambahbaikan iaitu mengurangkan tempoh pengajian di Jepun dari tiga tahun kepada dua tahun dan mengadakan kerjasama dengan Universiti Industri Selangor (Unisel) bagi program diploma kejuruteraan (Jepun) yang diiktiraf oleh Agensi Penarafan Malaysia (MQA).

Menurut Rosli, apa yang lebih membanggakan adalah terdapat graduan lulusan DPPT yang berkhidmat sebagai jurutera di Jepun.

Mengulas penghantaran pelajar tersebut ke Jepun, beliau berkata, ia merupakan usaha YPM untuk melahirkan jurutera berkaliber bagi memacu pembangunan berterusan negara.

"Selain menimba ilmu, kita juga mahu mereka belajar tiga ciri-ciri penting yang terdapat pada masyarakat Jepun.

''Ciri-ciri itu adalah semangat cintakan negara yang ketika ini dilihat semakin luntur di kalangan generasi muda negara, disiplin diri dan tamadun mereka iaitu pentingkan kebersihan, kejujuran serta menghormati orang tua," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment