Tuesday, 6 April 2010

MARA Bukukan Sejarah Penubuhannya

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menerbitkan buku yang memapar pelbagai peristiwa serta sejarah penting yang dilalui institusi tersebut sejak penubuhannya pada 1966.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Muhamad berkata tokoh sejarah Datuk Prof Dr Ramlah Adam telah diberi tugas untuk menulis buku tersebut yang akan diberi judul "Meniti Sejarah MARA" sebelum dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan MARA pada 2016.

"Buku ini bertujuan menceritakan kembali sejarah MARA, tokoh-tokoh yang memajukan MARA, serta pelbagai perkara yang berkaitan bagi membolehkan orang ramai mengenali MARA," katanya kepada pemberita pada Majlis Pengkisahan Tokoh MARA di Ibu Pejabat MARA di sini Isnin.

Dr Ramlah pula berkata buku yang bakal dihasilkan itu diharap dapat membuka mata masyarakat untuk lebih menghargai jasa MARA dalam membangunkan ekonomi rakyat khususnya kaum Bumiputera.

"Saya menulis buku mengenai MARA ini supaya saya ingin masyarakat tahu yang MARA adalah satu institusi yang berjaya dari menyediakan pendidikan, memberi pinjaman hingga ke sektor perniagaan terutamanya pengangkutan," katanya.

Katanya MARA adalah sebuah institusi yang dikenali ramai khususnya dalam pendidikan di mana Maktab Rendah Sains MARA telah ditubuhkan di bawahnya serta bergiat aktif dalam pemberian pinjaman untuk pendidikan dan perniagaan khususnya untuk kaum bumiputera, selain memiliki syarikat bas.

Sesi pengkisahan itu turut disertai seorang lagi tokoh sejarah Tan Sri Prof Dr Khoo Kay Kim yang menceritakan mengenai kepimpinan dua tokoh negara yang turut mempunyai kaitan dengan MARA iaitu Allahyarham Dato' Onn Jaafar dan Allahyarham Tun Abdul Razak.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment