KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, belum tiba masanya lagi untuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat menyusun semula ketidakseimbangan sosioekonomi Melayu dihapuskan.
Beliau berkata, sekiranya dikaji taburan kekayaan negara, masih terdapat keadaan ketidaksamarataan antara kaum yang sudah tentu memerlukan langkah memperbaikinya diambil.
"Kita masih memerlukan masa dan kita perlu bersabar. Saya tidak fikir ia akan membawa kerugian besar kepada komuniti lain.
"Dasar ini tidak membantut perkembangan negara dan tiada rakyat yang lari dari negara ini hanya kerana ketidakadilan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pidato Perdana bertajuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) Menggalas Amanah Bumiputera sempena ulang tahun organisasi tersebut yang ke-44 di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Muhamad.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, orang Melayu perlu berdiri di atas kaki sendiri dengan tegap tanpa 'bertongkat' dan bantuan kerajaan.
Beliau berkata, orang Melayu tidak harus menganggap bantuan kerajaan kepada mereka sebagai satu yang boleh dibanggakan kerana 'tongkat' hanya akan diberikan kepada golongan yang lemah.
Selain itu, katanya, maju mundurnya sesebuah bangsa bergantung kepada nilai hidup yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
"Jika nilai hidupnya tidak sesuai dengan kejayaan, maka gagallah bangsa tersebut walaupun banyak peruntukan diberikan kepada mereka," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sampai bilakah orang Melayu harus tinggal di kawasan yang digazetkan sebagai tanah rizab untuk kaum tersebut.
Menurut beliau, orang Melayu sebenarnya mempunyai kebolehan untuk berdaya saing dalam ekonomi dan berupaya membeli tanah bangsa lain di bandar.
Namun katanya, kelemahan orang Melayu disebabkan oleh keinginan untuk mencapai kekayaan dengan jalan pintas dan pada masa sama lebih mudah menghabiskan segala kekayaan tanpa memikirkan pelaburan untuk jangka masa panjang.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang Melayu supaya meningkatkan ilmu pengetahuan dan 'berlari' lebih pantas ke hadapan untuk setanding dengan kaum-kaum lain di negara ini.
"Peluang yang diberikan dalam DEB harus dihargai sepenuhnya supaya kita dapat bersaing dengan kaum lain tanpa sebarang peruntukan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, pelajar bumiputera seharusnya memanfaatkan laluan mudah ke universiti awam di negara ini untuk memperoleh pengajian di peringkat tinggi.
Beliau juga mencadangkan supaya kurikulum pembentukan karakter dimasukkan ke dalam pengajaran supaya mahasiswa dapat dididik dengan nilai-nilai murni untuk mencapai kejayaan selain mencegah amalan rasuah.
No comments:
Post a Comment