SIMPANG RENGGAM - Kurangnya sambutan daripada pengunjung untuk ke Kompleks Majlis Amanah Rakyat (MARA), di sini menjadi antara sebab peniaga mengambil keputusan sama ada untuk terus bertahan atau menghentikan perniagaan mereka.

Peniaga kedai makan, Norliza Ahmad, 31, mendakwa, sejak berniaga di kompleks berkenaan pada tahun lalu, pendapatan bulanannya berkurang kerana kurangnya pengunjung yang datang untuk menjamu selera di situ.

“Semakin hari semakin boleh dikira kehadiran pengunjung yang datang terutama ke kedai-kedai makan di sini. Kalau ada yang datang pun, hanya kawan-kawan rapat sahaja yang tahu ada tempat makan di sini.

“Jika tiada mereka, kawasan tempat makan ini akan menjadi lengang. Disebabkan kurangnya, ianya menjejaskan pendapatan bulanan dan kadangkala pendapatan yang diperoleh tidak mampu untuk membayar sewa bulanan yang hanya RM198 sebulan,” katanya, di sini.

Sebelum ini Norliza berkata, ramai peniaga menyewa di bangunan itu, namun disebabkan masalah berkenaan, kebanyakan pemilik kedai yang rugi mengambil keputusan menutup kedai mereka.

Ini kerana dakwanya, ada peniagan yang sudah tidak mampun untuk bertahan selain mengelak menanggung kerugian.
“Kami berharap sangat agar pihak Mara dapat mengambil tindakan segera agar menceriakan semula bangunan ini untuk menarik pengunjung datang ke kedai-kedai di sini.

“Kompleks Mara yang dibina ini sememangnya cantik, tetapi kurang pengunjung. Ianya perlukan promosi agar dapat menarik pengunjung untuk datang ke kompleks ini.

“Bangunan ini dibina untuk membantu peniaga-peniaga Bumiputera. Jadi Mara perlu memainkan peranan untuk mempromosikannya dan menarik peniaga-peniaga di luar untuk menceriakan keadaan kompleks ini,” katanya.