Monday 27 June 2011

Bina gelanggang futsal, galakkan rakyat

KUALA LUMPUR 26 Jun - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan pihak berkuasa tempatan dan swasta membina lebih banyak gelanggang futsal, khususnya di kawasan perumahan seluruh negara dalam usaha menggalakkan rakyat bersukan dan mengamalkan hidup sihat.

Katanya, aktiviti ini bukan sahaja dapat mengisi masa lapang malah mampu membendung masalah sosial seperti lepak, merempit dan membuang masa dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.

"Saya sedari sukan futsal amat digemari oleh golongan belia dan beliawanis. Walaupun bilangan gelanggang futsal semakin bertambah, namun ia masih belum mencukupi.

"Ini berasaskan kekerapan tempahan gelanggang yang sentiasa penuh pada hari bekerja malah meningkat pada hujung minggu terutama setiap kali diadakan sebarang pertandingan futsal. Apa yang pasti, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada belia," katanya semasa majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Futsal 1GiatMara di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meriyam Abd. Majid.

Kejohanan Futsal 1GiatMara 2011 merupakan program yang dianjurkan sempena sambutan Jubli Perak penubuhan GiatMara dan disertai oleh lebih 2,000 peserta termasuk anggota kerja GiatMara dan komuniti MARA di seluruh negara.

Rosmah berkata, penganjuran kejohanan futsal ini adalah usaha yang baik bagi mendukung matlamat kerajaan melahirkan modal insan yang cergas, aktif, berdisiplin dan berdaya tahan.

"Kita sedia maklum, sukan bukan sahaja dapat membina kesihatan tubuh badan dan mental seseorang malah memupuk semangat kesukanan, jati diri, daya saing serta sikap kerja berpasukan.

"Ini sekali gus dapat membantu melahirkan masyarakat Malaysia yang berupaya menghadapi cabaran pada masa dean," katanya.

Jelas beliau, sehubungan itu, adalah menjadi harapan kejohanan futsal ini dijadikan acara dwitahunan dan diperluaskan meliputi komuniti MARA dengan melibatkan pelatih dari institusi pendidikan MARA.

"Melalui temasya sukan, bakat baru dalam bidang futsal dapat dicungkil dan diketengahkan di peringkat kebangsaan," katanya.

Tuesday 21 June 2011

MARA sedia latihan vokasional kepada pelajar Afrika

20/06/2011 2:05pm

PUTRAJAYA 20 Jun - MARA, antara agensi yang menawarkan pengajian tinggi tertua di Malaysia, akan menerajui usaha menyediakan latihan teknikal dan vokasional kepada pelajar Afrika.

Pengarah Pelaburan MARA, Salmah Hayati Ghazali berkata, latihan teknikal penting kepada pelajar tercicir untuk membentuk mereka menjadi pekerja mahir bagi membantu negara-negara Afrika membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

"Kami melihat Swaziland, Zimbabwe, Bostwana, Uganda, Namibia dan Kenya menunjukkan minat dalam pengajian teknikal dan vokasional untuk pelajar mereka.

Mereka meminta bantuan dan bimbingan semasa Dialog Antarabangsa Langkawi 2011 (LID 2011) yang sedang berlangsung ini,” kata beliau kepada Bernama di luar acara LID 2011 edisi kesembilan, yang masuk hari kedua di sini hari ini.

Salmah berkata, institut pendidikan teknikal seperti Pusat GiatMARA memberi peluang pendidikan tinggi kedua kepada pelajar yang tidak dapat meneruskan pengajian di kolej dan universiti. - Bernama

UniKL pelopor sistem pembelajaran maya 4G

PUNCAK Semangat Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Albukhary, penyedia teknologi dalam bidang pendidikan merancang untuk menjadi pelopor sistem pembelajaran maya berteraskan teknologi rangkaian 4G di negara ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Abdullah Kadir Bacha berkata, projek membangunkan sekolah dan universiti maya melalui 4G itu akan diusahakan bersama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Jelasnya, kerjasama mengenai projek itu kini dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) bagi program pembangunan tenaga kerja mahir tinggi yang disediakan oleh UniKL.

"Kita percaya UniKL sebagai universiti pendidikan teknikal dan latihan vokasional pertama dapat menyediakan kepakaran dengan syarikat industri tempatan di negara ini dalam teknologi tersebut," katanya.

Menurut beliau, Puncak Semangat memiliki lesen perkhidmatan dan rangkaian 9 LTE 4G yang kini berada di landasan yang tepat untuk memperkembangkan teknologi rangkaian 4G ke seluruh negara.

"Dengan adanya sokongan daripada kerajaan di samping pertumbuhan ekonomi negara yang baik, kita menjangkakan ia dapat menjana pendapatan negara dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Pejabat Pentadbiran UniKL di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Abd. Rahim Abd. Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Meriyam Abd. Majid, Ketua Pengarah Symphonet Sdn. Bhd, Datuk Baharum Salleh; Pengarah Teknikal Radmik Solution Sdn. Bhd., Saiful Jumaat Osman dan Ketua Pegawai Operasi Perfisio Solutions Sdn. Bhd., anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, Fareed Abd Ghani.

Antara kerjasama yang dijalankan meliputi bidang latihan untuk melatih kira-kira 5,000 tenaga kerja mahir tinggi dalam penyelidikan dan pendidikan menyediakan rangkaian Internet bersepadu 4G.

MoU kerjasama ini meliputi usahasama antara UniKL bersama Kumpulan Albukhary, Perfisio serta Yayasan Guru Malaysia yang merancang untuk menjadi pelopor Rangkaian Pembelajaran Secara Maya (VLE) dalam pasaran pendidikan negara.

Sementara itu, Timbalan Presiden (Usahawan Teknologi dan Hal Ehwal Pelajar) UniKL., Prof. Ahmad Zahir Mokhtar berkata, skop kerjasama itu termasuk mempromosikan pertukaran dan menyediakan tenaga kerja mahir dalam infrastruktur teknologi jalur lebar 4G dalam sektor kerajaan, swasta, universiti kolej dan sekolah.

Beliau berkata, MoU yang ditandatangani berkenaan juga bagi mempromosikan kolaborasi penyelidikan dan teknologi tinggi merangkumi tenaga kerja mahir dalam membantu usahawan dan pelajar bumiputera untuk menerajui teknologi visual ini melalui Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) yang bakal dilaksanakan di negara ini.

"Kita akan bekerjasama dengan semua agensi, universiti dan kolej yang ditubuhkan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk memastikan usahawan dan pelajar bumiputera di negara ini mendapat tempat dan berdaya saing dalam teknologi ini.

"Turut diberi fokus menerusi perjanjian tersebut adalah bagi memudahkan pertukaran tenaga kerja mahir jalur lebar 4G dan sekretariat melibatkan teknologi, penyelidikan makmal, pusat penyelidikan, perpustakaan dan pelbagai badan pentadbiran," jelasnya.

Thursday 16 June 2011

Godam: 'Antara biasiswa dan peluang'

Bersama Salbiah Ani

2011/06/16

TIGA perkara yang dilaporkan akhbar sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini menarik perhatian penulis iaitu isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan kenyataan mahasiswa universiti tempatan hampas oleh seorang naib canselor.

Ramai yang mempersoalkan pemberian biasiswa untuk Program Ijazah Luar Negara (PILN) bagi lulusan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang dalam peperiksaan pada 2010, meskipun sedar peruntukan sangat terbatas. Sesiapa yang mengikuti isu ini dengan teliti pasti juga akan perasan betapa pemimpin bukan Melayu bermati-matian memperjuangkan nasib anak bangsa mereka, tetapi tiada seorang pun pemimpin Melayu bersikap sedemikian, meskipun sedar perkara terbabit membabitkan sama pelajar Melayu. Malang bagi pelajar Melayu yang cemerlang tetapi tercicir daripada menerima biasiswa PILN dan lebih malang lagi pelajar Melayu yang cemerlang, tetapi peluang ‘terlepas’ mendapat kursus pilihan dek kerana ‘tewas’ bersaing di kalangan pelajar lebih bijak meskipun hakikatnya mereka layak.

Hujah yang sering diberikan sebahagian besar yang memberi pandangan berhubung pemberian biasiswa dan juga kursus pilihan ialah kepentingan pelajar luar bandar perlu diutamakan memandangkan mereka belajar dalam keadaan serba daif.

Mereka yang menggunakan hujah ini seolah-olah lupa bahawa tidak semua pelajar di bandar bernasib baik mendapat sekolah dengan segala macam kemudahan serba canggih dan tidak bermakna juga mereka tidak perlu bersaing hebat sesama rakan sekolah.

Mereka juga lupa bahawa pelajar di bandar juga berdepan dengan diskriminasi guru sekolah yang lebih mengutamakan pelajar yang berada dalam kelas pertama dan kedua, meskipun sedar ada pelajar di luar kelompok terbabit sama hebat, ada kalanya diketepikan ‘haknya’ kerana faktor gender.

Ramai juga yang memberi alasan ibu bapa di bandar mampu menanggung pengajian anak masing-masing, seolah-olah lupa bahawa kelompok menengah rendah di bandar gah bunyi pendapatan mereka, tetapi hakikatnya tersepit dengan kos sara hidup yang terlalu tinggi!

Mereka juga lupa sebahagian besar pelajar di bandar dalam kelompok menengah rendah sering ‘berkorban’ dan’ dikorbankan’ dalam mendapat tempat di sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) atas alasan pelajar luar bandar perlu lebih diutamakan.

Penulis cukup bersimpati kepada pelajar dalam kelompok menengah rendah yang cemerlang, tetapi tewas dalam persaingan mendapat kursus pilihan mereka di universiti awam dan tanpa pembelaan kerana hakikatnya mereka sudah berjuang bermati-matian untuk cemerlang.

Tiada siapa boleh menafikan pelajar pada era teknologi maklumat serba canggih hari ini jauh lebih tertekan daripada pelajar zaman dulu, memandangkan mereka dibebankan dengan silibus yang terlalu berat dan silih berganti, seolah-olah bahan uji kaji yang menunggu masa ‘ditembak’ mati!

Pada era kegilaan universiti awam kepada penarafan bagi memastikan ia turut tersenarai dalam universiti terbaik di dunia, penulis berharap sangat kerajaan menimbangkan kemungkinan menyediakan lebih banyak tempat untuk kursus kritikal kepada pelajar tempatan di universiti awam.

Lambakan universiti swasta dengan kursus kritikal tidak membawa makna kepada ibu bapa di bandar dalam kelompok menengah rendah kerana hakikatnya tanpa bantuan biasiswa, mereka tidak dapat membantu anak masing-masing menggapai cita-cita untuk berjaya dalam bidang pilihan.

Perlu diingat bahawa pelajar era teknologi maklumat serba canggih pada masa ini semakin bijak berfikir dan sedar dengan perubahan persekitaran mereka, lalu dengan mudah mempersoalkan mengapa mesti ‘kursus lelong’ ditawarkan kepada pelajar cemerlang.

Pelajar dalam kelompok ini jauh lebih ramai daripada yang sekadar mendengar arahan ibu bapa berhubung kursus yang patut dipilih kerana perubahan zaman menyebabkan mereka melalui revolusi pemikiran dan menolak dakwaan lambakan mahasiswa di universiti awam hampas!

Tiada ruginya untuk kerajaan mengambil langkah ini memandangkan penawaran tempat untuk kursus kritikal yang lebih banyak di universiti awam untuk pelajar tempatan juga akan mampu ‘menjual’ negara sebagai pusat kecemerlangan akademik.

Jika kerajaan beranggapan bahawa pendekatan terbabit akan mengakibatkan lambakan lulusan bidang kritikal di negara ini, tentunya perkara terbabit sebenarnya bukan suatu masalah kerana graduan berwibawa boleh menggunakan kesempatan terbabit untuk berkhidmat di luar negara, manakala kerajaan boleh mengenakan syarat menang-menang!

Tuesday 14 June 2011

NBHSB bukan sekadar spa

Norsiah hasrat tubuh Universiti Terapi Kecantikan

PERMINTAAN yang semakin meningkat untuk terapi kecantikan dan spa menyaksikan pusat berkaitan wujud bak cendawan tumbuh selepas hujan. Datin Norsiah Mahadi, 51, tidak terkecuali merebut peluang perniagaan itu dengan menubuhkan Norz Beauty House Sdn Bhd (NBHSB), di ibu kota. Namun, bezanya NBHSB, ia bukan sekadar memberi perkhidmatan buat pelanggan malah memberi latihan kepada mereka yang berminat membuka perniagaan serupa dari seluruh negara.

“Saya mahu pusat ini berkembang sehingga mencapai tahap universiti. Saya berharap berpeluang menubuhkan Universiti Terapi Kecantikan di negara ini suatu masa nanti,” kata ibu kepada empat anak, berusia dari 16 tahun hingga 27 tahun.

Wanita yang gemar berenang, berenang dan bermain bowling itu, mendapat pelbagai latihan kemahiran daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia selain daripada Mustika Ratu dan beberapa akademi kecantikan.

Beliau pernah memenangi Pertandingan Stokis Terbaik Kebangsaan Nouvellis, Premis Terbaik Wilayah Persekutuan di bawah MARA, Premis Ketiga Peringkat Kebangsaan dan Perniagaan Perkhidmatan Terbaik MARA. Beliau turut menerima penghargaan apabila dilantik sebagai hakim pelbagai pertandingan berkaitan kemahiran.

Namun, dalam banyak perniagaan yang dilakukan, bidang kecantikan dan spa disifatkan sebagai perniagaannya yang paling berjaya.

“Banyak perkara baru yang saya pelajari melalui perniagaan ini dan apa yang lebih penting, saya gembira kepada dapat berkongsi ilmu dan membantu mereka yang berminat membuka perniagaan seperti ini.

“Saya gembira dengan kemajuan perniagaan ini tetapi masih belum puas dengan kejayaan yang dikecapi. Saya mahu pusat kecantikan ini mencapai tahap lebih tinggi,” katanya.

Dibantu tujuh pekerja, yang juga nadi penggerak perniagaannya, Norsiah setiap hari menguruskan sendiri pusat kecantikannya, disokong suami, Datuk Mohd Zaihan Mohd Zain, 52, yang juga penasihat korporat NBHSB.

Pesan Norsiah buat mereka yang mahu menceburi perniagaan itu ialah supaya menjalani latihan kemahiran hingga ke peringkat tertinggi bagi meraih keyakinan pelanggan sekali gus memastikan perniagaan dapat bertahan lama.

Beliau mengakui, perniagaannya semakin memberangsangkan apabila beliau menerima pelbagai sijil kemahiran dalam bidang berkairan.

“Jualan meningkat setiap bulan kerana pelanggan semakin ramai dan mempercayai keupayaan syarikat dalam menjalankan perniagaan serta mengikut perkembangan arus semasa,” katanya.

Lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) itu memiliki latihan kemahiran hingga ke peringkat diploma lanjutan antara lain dalam bidang jurukecantikan, juruestetik, juruterapi estetik dan pengurus estetik.

Selain itu, Norsiah juga mendapat pengiktirafan sebagai Penyedia Latihan/Mentor bagi menyediakan latihan kecantikan atau kesihatan/spa membabitkan beberapa agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang.

Mengulas lanjut perkhidmatan ditawarkan pusat kecantikannya, beliau berkata, NBHSB menyediakan rawatan penjagaan kulit muka, penjagaan badan, penjagaan selepas bersalin (dalam pantang), minuman kesihatan Anana Health Drink, pelangsingan, produk khusus penjagaan wanita, kuah rojak dan butik pakaian, dengan 10 stokis di seluruh negara setakat ini.

LOKASI:
Norz Beauty House Sdn Bhd
No. 13
Mezzanine Floor
Jalan Medan Tuanku
Kuala Lumpur.