Friday 30 December 2011

MARA sediakan RM31 juta

KUALA TERENGGANU 28 Dis. – Majlis Amanah Rakyat (MARA) Terengganu mengeluarkan pinjaman hampir RM31 juta kepada 365 usahawan di negeri ini dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Abdullah Mohamad berkata, jumlah peruntukan bagi mendapatkan pinjaman itu turut membabitkan sebanyak 40 projek yang diusahakan.

Beliau memberitahu, jumlah itu juga mencatatkan peningkatan berbanding lebih RM20 juta dalam tempoh serupa tahun lalu, selain melebihi sasaran yang ditetapkan oleh MARA.

Pihaknya menjangkakan jumlah tersebut akan terus meningkat untuk tahun depan dalam membantu golongan usahawan tempatan.

“Daripada jumlah pinjaman yang diluluskan di negeri ini tahun ini, sebahagian besarnya adalah bagi keperluan golongan usahawan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE),” katanya.

Mohamad menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan kedai serbaneka, My Convenience Shop di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dekat sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Terengganu, Datuk Ir. Tengku Ismail Tengku Jaafar dan Pengurus LTSM, Dr. Ahmad Ramli Mahmood.

Abdullah berkata, sejak Januari tahun ini hingga sekarang, MARA cawangan Terengganu turut menyediakan 48 kursus dan latihan keusahawanan untuk seramai 1,365 orang usahawan di negeri ini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa MARA bersedia membantu usahawan tempatan untuk menceburi serta memperluaskan aktiviti keusahawanan mereka termasuk menerusi pinjaman yang disediakan agensi berkenaan.

Mengenai kedai My Convenience Shop itu, jelasnya, setakat ini terdapat tiga premis seumpama itu yang beroperasi di LTSM manakala sebuah lagi dijangka dibuka di Kuala Berang tidak lama lagi.

DPMM saran Felda, TH, ASM bergabung miliki QSR

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Felda, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham MARA (ASM) dicadangkan bergabung untuk memiliki QSR Brands Bhd. (QSR) bagi mengekalkan pegangan tempatan di dalam syarikat itu.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Al Attas berkata, pihaknya akan menghantar sendiri surat rasmi berhubung cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ketiga-tiga pihak tersebut esok.

DPPM turut menawarkan diri untuk bertindak sebagai pengendali pembelian QSR itu.

QSR menjadi fokus utama DPMM kerana ia memiliki pelbagai rangkaian perniagaan termasuk KFC Holdings Bhd. (KFC).

Malah, DPMM percaya harga saham itu boleh ditingkatkan kepada RM6.90 sesaham, 10 sen lebih tinggi berbanding tawaran yang dibuat oleh Johor Corporation (JCorp) dan CVC Capital Partners," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Jelasnya, Felda, TH dan ASM hanya memerlukan sebanyak RM1 bilion untuk memiliki 57 peratus kepentingan QSR daripada Kulim (M) Bhd..

''Pemegang kepentingan saham yang lain-lain akan dikekalkan,'' ujarnya.

Beliau melahirkan rasa khuatir pembelian syarikat paling menguntungkan oleh Jcorp dan CVC menerusi Massive Equity (Massive Equity) Sdn. Bhd. (MESB) boleh mengakibatkan QSR dan KFC akan jatuh ke tangan asing akhirnya.

"Jcorp ketika ini berada dalam kedudukan berhutang, bagaimana mereka hendak melakukan pembelian ke atas QSR dan KFC?

"Walaupun CVC mempunyai banyak wang, isunya JCorp tiada duit (banyak hutang). Tidak mustahil JCorp terpaksa berhutang untuk memiliki 51 saham kepentingan dalam MESB.

''Keadaan ini meragukan dan menjadi risiko kepada QSR dan KFC untuk jatuh ke tangan asing," katanya.

Syed Ali berkata, apa yang dibimbangkan ialah sekiranya urus niaga itu diteruskan, ia boleh menjejaskan peniaga tempatan yang selama ini merupakan pembekal kepada KFC.

MESB ketika ini memiliki QSR dan KFC dengan JCorp menguasai 51 peratus pegangan dan selebihnya oleh CVC. Ia dibeli dengan nilai RM6.80 sesaham bagi QSR dan RM4 sesaham bagi KFC.

Agensi tunggal urus dana

Kerajaan kaji elak pertindihan fungsi program pembangunan usahawan

KERAJAAN akan menjalankan kajian bagi meletakkan semua dana pembiayaan serta program pembangunan keusahawanan Bumiputera yang kini ditawarkan menerusi pelbagai kementerian, di bawah satu agensi tunggal.

Ia bagi memastikan objektif pelaksanaan program atau penyediaan dana pinjaman itu lebih jelas, selain mengelak berlakunya pertindihan fungsi.

Sumber berkata, kajian yang akan dilaksanakan mulai tahun depan itu akan turut melihat kemungkinan beberapa dana pembiayaan dan program pembangunan usahawan yang memiliki ciri, fungsi serta matlamat sama digabung dan diberikan nama baru.

Katanya, jika hasil daripada kajian itu mendapat reaksi positif dan dipersetujui kementerian dan agensi terbabit, jumlah peruntukan serta sektor liputan perniagaan yang akan dibiayai akan turut diperluaskan.

“Bagi mempercepatkan kajian pelarasan itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan badan berkepentingan lain sedang mengadakan perbincangan dengan semua kementerian serta agensi yang terbabit untuk mencari formula terbaik bagi menyelesaikan masalah pertindihan fungsi pinjaman serta program pembangunan usahawan Bumiputera di bawah kelolaan mereka.

“Tujuannya adalah bagi memastikan objektifnya lebih jelas selain mengelak berlakunya ketirisan atau penyalahgunaan pinjaman,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Sumber berkenaan berkata, langkah menyelaraskan semula semua dana serta program memajukan usahawan Bumiputera itu juga bertujuan mewujudkan mekanisme lebih telus untuk memastikan hanya instrumen pembiayaan sesuai ditawarkan dan hanya usahawan yang layak menerimanya.

Ketika ini pelbagai program pembangunan dan skim bantuan kewangan dilaksanakan kerajaan bagi membantu usahawan Bumiputera.

Antara kementerian yang terbabit ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani.

Agensi yang diamanahkan bagi menguruskan dana itu pula termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Tabung Ekonomi Belia.

Sumber itu berkata, jika pelarasan berkenaan dilaksanakan, semua dana pembiayaan dan program akan diurus dan diletakkan hanya di bawah sebuah kementerian atau agensi yang dikhususkan dalam pembangunan usahawan Bumiputera.

“Menerusi langkah itu, ia akan memastikan kementerian atau agensi yang diamanahkan itu dapat menguruskan dana pinjaman dan program secara lebih cekap dan berkesan, sekali gus dapat memastikan agenda pembangunan dan penyertaan usahawan Bumiputera dalam ekonomi negara diperkukuhkan lagi,” katanya.

INFO: MARA
•Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan
•Skim Pembiayaan Komersial
•Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres
•Skim Jaminan Usahawan MARA.

TEKUN
•Peruncitan & Perniagaan, Perkhidmatan, Pertanian, Penternakan dan Akuakultur, Pembuatan, Pendidikan, Pengangkutan, Pelancongan dan rekreasi, Pemborongan, Pembinaan kecil.

PUNB
•Membantu usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Tabung Ekonomi Belia
•Memiliki dua jenis skim iaitu Skim Belia Negara (SBN) dan Skim Belia Tani (SBT).

Wednesday 28 December 2011

CUEPACS :Beberapa Pindaan Terkini Tambah Baik SBPA

PUTRAJAYA, 27 Dis - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersetuju melaksanakan beberapa pindaan segera untuk menambah baik Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata JPA bersetuju membuat pindaan segera dalam taklimat dan rundingan lebih empat jam yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPA Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata antara pindaan itu ialah markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dikurangkan daripada 75 peratus kepada 65 peratus untuk kenaikan gaji.

Selain itu, markah 'Exit Policy' turut dikurangkan daripada 70 peratus kepada 60 peratus, dan tempohnya dilanjutkan daripada enam bulan kepada 12 bulan.

"Taklimat ini melihat cadangan CUEPACS ada yang diterima dan ada yang dikaji semula. Kami berasa lega kerana berjaya mencapai satu keputusan bersama dalam SBPA," katanya kepada pemberita di lobi pejabat JPA.

Terdahulu, Omar bersama pemimpin dan ahli majlis CUEPACS menghadiri taklimat yang memberi gambaran terperinci berhubung pelaksanaan SBPA yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan ini.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan CUEPACS dan JPA segera berunding bagi menyelesaikan isu itu.

Omar berkata CUEPACS menerima SBPA dan menyarankan penjawat awam menandatangani surat tawaran JPA.

Beliau juga berkata JPA dan CUEPACS setuju mengadakan rundingan bersama setiap tiga bulan bagi membuat semakan dan kajian menyeluruh untuk menambah baik SBPA.

Jumaat lepas, JPA bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan, bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun kekal pada 30 Dis ini.-- BERNAMA

Monday 26 December 2011

PMR 2011: MRSM kekal cemerlang

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bukan sahaja kekal cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tetapi juga mencatatkan keputusan yang lebih baik berbanding pencapaian tahun lepas.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad berkata, prestasi itu berdasarkan Gred Purata Maktab (GPM) yang dicapai iaitu daripada 1.0922 kepada 1.0615.

MRSM Gemencheh merupakan MRSM yang terbaik dengan mencatat GPM 1.0204 diikuti MRSM Pasir Tumboh (GPM 1.0210) dan MRSM Kuala Kubu Bharu (GPM 1.0238).

Seterusnya, MRSM Pekan (GPM 1.0248), MRSM Pasir Salak (GPM 1.0313), MRSM Lenggong (GPM 1.0341), MRSM Terendak (GPM 1.0380), MRSM Gerik (GPM 1.0385), MRSM Serting (GPM 1.0408) dan MRSM Kuala Klawang (GPM 1.0428).

Menurut Ibrahim, kecemerlangan MRSM adalah berpaksikan kepada perbezaan kurikulum yang ditawarkan melalui program Ulul Albab iaitu hasil daripada cetusan idea Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh.

Usaha itu katanya, bertujuan bagi melahirkan modal insan yang bersifat saintifik, berdikari, kreatif, amanah dan patriotik," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Seramai 5,326 pelajar tingkatan tiga dari 39 buah MRSM di seluruh negara telah menduduki peperiksaan tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), dapat 'Datuk'

PEKAN 22 Dis. - Seramai 137 termasuk tiga artis terkenal hari ini menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ke-81.

Pada istiadat yang berlangsung di Istana Abu Bakar di sini, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan anugerah tersebut kepada kesemua penerima termasuk tiga artis berkenaan iaitu AC Mizal, Eizlan Yusof dan Ahmad Fadzli Yaakob.

Turut menerima DIMP yang membawa gelaran Datuk ialah Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Masri Muhammad; Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani; Pengarah Urusan Yayasan 1Malaysia Development Berhad, Dr. Shamsul Anwar Sulaiman dan Pengarah Urusan Hatta Engineering & Construction Sdn. Bhd., Hatta Mohamad.
Selain itu, Pengarah Urusan Chemsys (M) Sdn. Bhd., Shairul Nabi S. Aboo Bakar; Komander Rejimen 501 Askar Wataniah (AW), Brigadier Jeneral Tajuddin Joned dan Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki dan Pengurus Besar Telekom Malaysia Berhad, Othman Ismail juga menerima pingat yang sama.

Turut menerima DIMP, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mohd. Khazin Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Juzilman Basir; Penasihat Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) - New York, Brigadier Jeneral Ng Chin Huat; Ahli Dewan Negara, Senator Ng Fook Heng; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Nigeria, Nik Mustafa Kamal Nik Ahmad; Penasihat Pertahanan ATM - London, Brigadier Jeneral Othman Jamal dan Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Datin Norasni Ayob.

Antara penerima DIMP lain ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kedutaan Malaysia di Bahrain, Ahmad Shahizan Abdul Samad; Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Hanisah Omar; Pengarah Eksekutif MYEG Services Bhd., Raja Munir Shah Raja Mustapha; Pengarah Pusat Ekonomi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Tengku Mohd. Ariff Tengku Ahmad; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim; Pengarah Majlis Sukan Pahang, Nik Nasarudin Mohd. Zawawi dan Pengarah YYM Builders Sdn. Bhd., Suhaimi Sulong.

Turut berlangsung pada majlis hari ini ialah penyampaian pingat kepada 24 penerima darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), 24 darjah Setia Mahkota Pahang (SMP), 24 darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AMP), 39 darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) dan 43 menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC).

PESTA JUALAN BUAH

BAGI mengatasi masalah lambakan buah-buahan, Persatuan Peniaga Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung bersama-sama pemaju hartanah MK Land Holdings Bhd. mengadakan pesta jualan buah-buahan tempatan di tapak pasar malam taman perumahan tersebut semalam.

Pelbagai buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan dan langsat dijual dengan harga istimewa.

Bagi memeriahkan lagi program tersebut, penganjur dengan kerjasama pejabat Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan menyediakan bubur durian yang kemudiannya diedarkan percuma kepada 1,000 penduduk setempat. Pesta yang bermula semalam akan berakhir hari ini.

Friday 23 December 2011

ADaP bantu 103 calon MRSM Serting berjaya dalam PMR

JEMPOL 22 Dis. - Pengunaan Sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) keluaran Utusan Malaysia di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting dekat sini, nyata membantu calon Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ia terbukti memberi impak apabila 103 daripada 138 calon maktab berkenaan mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 8A dalam peperiksaan itu yang diumumkan hari ini.

Pengetuanya, Suhaimin Omar berkata, selain usaha gigih dari pihak sekolah, akhbar ini turut membantu meningkatkan mutu pelajaran sehinggakan kami mendapat keputusan yang membanggakan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

''Ia amat berbeza dari tahun lepas apabila hanya 87 daripada 149 mendapat 8A. Malah apa yang menggembirakan pihak kami pencapaian gred purata meningkat sebanyak 1.04 berbanding 1.09 tahun lalu, ia meletakkan kami di tahap yang membanggakan.

''Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu kita memperoleh 99.3 peratus manakala semua calon mendapat A dalam mata pelajaran Matematik. Ini juga merupakan tahun ketiga pelajar di sini lulus sepenuhnya dalam mata pelajaran Matematik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Suhaimin turut menjelaskan, berdasarkan keberkesanan akhbar ini dalam menambah pencapaian pelajar cemerlang di maktab ini, pihaknya akan terus menggunakan akhbar ini sebagai satu medium utama sepanjang pembelajaran di kelas.

''Kita melihat penggunaan ADaP ini memberikan impak positif terhadap proses pengajaran dan pembelajaran para pelajar yang mana hasilnya kita dapat perolehi hari ini.

''Malah kita berhasrat untuk terus melanggan akhbar Utusan Malaysia kerana ia ternyata memberikan impak positif terhadap keputusan PMR," jelasnya.

Cacat bukan penghalang raih 9A


PENDANG 22 Dis. - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang di sini membuktikan kecacatan bukanlah penghalang untuk mencapai keputusan cemerlang apabila meraih sembilan A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan hari ini.

Muhammad Hadi Darus, 15, yang menulis dengan menggunakan kaki kerana mengalami kecacatan pada kedua-dua belah tangan sejak kecil berjaya mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup.

Dia yang merupakan anak kedua daripada lima beradik berkata, ejekan yang diterima pada waktu kecil menjadikan dia lebih bersemangat untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran.

“Masa kecil dulu ada yang ejek saya sebab cacat tetapi ejekan mereka menjadi pembakar semangat saya untuk berjaya.

“Sekarang tiada lagi yang ejek saya dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang banyak membantu saya sehingga berjaya dalam peperiksaan ini,” katanya ketika ditemui di SMK Sungai Tiang di sini hari ini.

Muhammad Hadi yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah berkata, dia hanya mengikuti tuisyen di sekolah setiap hari dan mengulang kaji pelajaran setiap malam.

“Saya pun tidak sangka akan dapat sembilan A kerana saya tidak yakin sewaktu menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

“Saya berharap akan dapat memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah di Alor Setar bagi mendalami Bahasa Arab yang merupakan mata pelajaran kegemaran saya,”katanya.

Dalam pada itu, turut berkongsi kegembiraan dengan Muhammad Hadi di SMK Sungai Tiang ialah pasangan kembar, Nur Asyiqin Azmi dan Nur Aisyah Azmi, 15, yang berjaya mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup.

Mereka yang belajar di kelas yang sama sejak darjah satu juga berkongsi cita-cita untuk menjadi doktor suatu hari nanti.

Nur Asyiqin berkata, amalan membaca surah Yassin dan al-Quran setiap hari membantu mereka untuk mendapatkan fikiran dan hati yang tenang sewaktu menghadapi peperiksaan.

“Kami bercadang mahu melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan kami tidak kisah jika tidak mendapat MRSM yang sama kerana kami rasa sudah sampai masanya kami berdua berpisah jika perlu demi mengejar cita-cita kami,” jelasnya.

Wednesday 14 December 2011

Usahawan MARA jayakan TMP 2011

TELUK INTAN 13 Dis. - Para usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di negeri ini akan diberi peranan penting dalam membantu menjayakan kempen Tahun Melawat Perak (TMP) 2012.

Timbalan Ketua Pengarah MARA, Mohd. Rosdi Ismail berkata, golongan itu mampu memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk keluaran tempatan kepada para pelancong dalam dan luar negara.

Melalui langkah itu, jelas beliau, usahawan terbabit terutamanya golongan peniaga kecil turut mendapat limpahan manfaat melalui peningkatan pendapatan sepanjang kempen berkenaan.

''Pada masa sama, kita akan menaik taraf premis-premis perniagaan usahawan MARA supaya menggalakkan lebih ramai pengunjung ke premis mereka sepanjang TMP 2012.

''Ini secara tidak langsung membolehkan usahawan kita bersaing dengan peniaga-peniaga di premis yang lebih besar," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Karnival Pencarian Usahawan Muda di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah MARA Negeri, Rusnah Yusoff dan Naib Presiden Persatuan Peniaga-peniaga Usahawan D'Mara, Rosni Hassan.

Majlis perasmian karnival dua hari itu berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

Kata Mohd. Rosdi, kerja-kerja pembaikan di premis-premis usahawan MARA juga akan dilakukan bagi memastikan urusan perniagaan bersama pelanggan dapat dijalankan dengan lebih selesa.

Mengenai penganjuran karnival itu, beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada strategi mengetengahkan produk-produk keluaran usahawan MARA selain menggalakkan mereka mewujudkan rangkaian perniagaan yang lebih besar.

''Karnival ini juga memberi peluang kepada usahawan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran tertentu untuk lebih berjaya pada masa hadapan," ujarnya.

Karnival keusahawanan MARA bantu bumiputera

RANAU 12 Dis. - Penganjuran karnival keusahawanan di kawasan pedalaman membuktikan bahawa kerajaan amat komited membantu usahawan bumiputera untuk berdaya maju dan memperoleh maklumat terkini dalam bidang perniagaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, karnival anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu mampu membuka mata dan minda para usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, bukan sahaja orang ramai mendapat pendedahan dan maklumat terkini, tetapi ia juga membuka peluang kepada kerajaan untuk lebih dekat dengan masyarakat luar bandar yang dahagakan peluang-peluang memajukan diri.

"Karnival seumpama ini sememangnya sangat bermanfaat kepada orang ramai dan usahawan tempatan untuk mengembangkan lagi jaringan perniagaan serta memasarkan produk yang dimiliki ke pasaran lebih luas, selain mengeratkan lagi hubungan agensi kerajaan dengan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan MARA Peringkat Daerah Ranau 2011, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Mohd. Rosdi Ismail dan Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Ewon Ebin.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, cabaran dalam arus perniagaan yang semakin hebat kini mendesak usahawan tempatan untuk mendapatkan bimbingan dan khidmat pakar bagi membolehkan mereka terus kekal bersaing.

Menurutnya, karnival yang dianjurkan MARA itu mampu memberi bimbingan dan khidmat nasihat secara terus kepada kumpulan sasar yang berada di luar bandar, selain menyebar maklumat berhubung bantuan yang disediakan kerajaan kepada usahawan kecil.

Sementara itu, beliau berharap, MARA dapat membina bangunan sendiri iaitu Arked MARA di sini bagi menampung premis peniaga kecil yang menjual sayur-sayuran dan terletak di sepanjang jalan di Kundasang.

"Selain membina sebuah bangunan Arked MARA yang boleh menempatkan peniaga bumiputera di satu kawasan yang lebih teratur, saya juga berharap pihak MARA dapat membina gerai untuk peniaga sayur yang banyak bertaburan di Kundasang," katanya.

Sultan Kedah catat sejarah

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah lafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14

KUALA LUMPUR: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.

Ini kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama adalah dari 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 ketika berusia 43 tahun. Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Oktober lalu untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa semalam, menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13, kelmarin. Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong di kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara merdeka pada 31 Ogos 1957.

Istiadat semalam adalah yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar yang mula beroperasi pada 15 November lalu.

Upacara bermula jam 11.15 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.

Mesyuarat dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim yang memakai pakaian di-Raja Kedah yang dikenali sebagai ‘Sikap’ yang terdiri daripada jaket pendek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tengkolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.

Baginda kemudian melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan itu di hadapan Majlis Raja-Raja. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menjadi saksi. Istiadat semalam juga membabitkan upacara melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Ia diikuti bacaan doa dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Syed Danial kemudian memohon menangguhkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke suatu masa yang ditetapkan. Ini disusuli istiadat menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan oleh Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan pembacaan pengisytiharan itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Istiadat diteruskan dengan Sultan Muhammad V menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Najib membaca pengisytiharan berkenaan.

Istiadat semalam dihadiri Raja-Raja Melayu, kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Turut hadir semua empat Yang Dipertua Negeri, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet serta ketua jabatan.

Tuesday 13 December 2011

SBPA: CUEPACS NASIHAT PENJAWAT AWAM TUNGGU KEPUTUSAN KONGRES

KOTA BAHARU, 11 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan kira-kira 1.4 juta penjawat awam agar menunggu keputusan kongres khas kesatuan minggu depan, sebelum menerima Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya Datuk Omar Osman berkata ini kerana kongres yang akan diadakan selama tiga hari bermula Rabu itu, akan meneliti dan membincangkan secara terperinci semua aspek dalam SBPA.

"Kita memang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam tetapi kita tidak boleh membuat keputusan kerana kita mahu mendengar semua pendapat penjawat awam termasuk semua wakil gred dalam perkhidmatan mengenai skim baru itu.

"Kita akan buat keputusan bersama. Kalau yang kurang di mana mahu tambah, kalau mahu kaji yang mana mahu dikaji semula," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden Cuepacs, di sini.

Katanya adalah penting bagi penjawat awam memahami dengan jelas skim tersebut sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan sebarang masalah selepas ini.

Omar berkata terdapat juga rungutan mengenai tempoh menandatangani persetujuan memilih skim itu yang terlalu singkat dari 15 hingga 31 Dis ini, memandangkan ramai penjawat awam sedang bercuti pada tempoh tersebut.

Selain itu katanya, mereka juga masih tidak mendapat gambaran sebenar apa yang terkandung dalam SBPA.

Omar berkata kongres yang akan diadakan di Perlis itu juga akan membincangkan keperluan memohon kepada kerajaan agar melantik seorang senator bagi mewakili kepentingan penjawat awam.- BERNAMA

MRSM khas khusus untuk anak Orang Asli

JELEBU 9 Dis. – Kerajaan komited membangunkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) khas untuk anak-anak Orang Asli bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan yang lebih baik secara berterusan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek berkata, bagaimanapun perkara itu masih di peringkat kajian dan akan dibincangkan dengan beberapa pihak sebelum dikemukakan kepada Kabinet.

“Kita melihat cadangan ini adalah cara yang baik bagi membolehkan anak-anak Orang Asli didedahkan sistem pembelajaran yang lebih sistematik, selain berinteraksi dengan dunia luar.

“Kajian tersebut akan melibatkan pelbagai pihak termasuk kementerian terlibat, persatuan-persatuan Orang Asli, tokoh-tokoh akademik termasuk tokoh dari kalangan masyarakat Orang Asli itu sendiri untuk mengemukakan cadangan masing-masing,” katanya.

Hassan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Didik Pelajar Orang Asli 2011 di Dewan Semarak, MRSM Kuala Klawang dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Nisra Nisran Asra Ramlan.

Hassan berkata, sebarang keputusan untuk melaksanakannya perlu dilakukan secara berhati-hati untuk memastikan keberkesanannya kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar.

Hassan berbangga dengan pencapaian pendidikan oleh anak-anak Orang Asli dengan 19 orang pelajar memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di seluruh negara pada tahun ini, berbanding 2010 seramai 14 orang.

Tuanku Mizan praised

TUANKU Mizan Zainal Abidin, who ended his term as the 13th Yang di-Pertuan Agong yesterday, has recorded a string of sterling achievements.

Tuanku Mizan was the first Muslim head of state to step foot on Antarctica last month. He made a five-day working visit to the research station at Scott Base located in the southernmost continent.

Tuanku Mizan, who was among the youngest Malay rulers to ascend the throne as the sultan of Terengganu at the age of 36 in 1988, was the second youngest Yang di-Pertuan Agong after Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail.

Tuanku Mizan was installed as the Yang di-Pertuan Agong on April 26, 2007.

Tuanku Mizan, 49, as the supreme commander of the armed forces, was also the first Yang di-Pertuan Agong to fly in a jet fighter, the Sukhoi SU-30MKM, at supersonic speed over Langkawi and Penang, where he visited the Royal Malaysian Air Force base in Butterworth on Feb 7.

On March 10, Tuanku Mizan went into KD Tunku Abdul Rahman, Malaysia's first submarine, which made a maximum depth dive in the South China Sea, as well as carried out simulation fire on targets from the Scorpene submarine.

Tuanku Mizan, who is known for his humility, spent a day with the crew to experience life in a submarine.

During his reign, Tuanku Mizan also helped to strengthen relations between Malaysia and other countries. Apart from receiving foreign leaders, he also visited several countries, such as those in the Asean region, and Kuwait, Qatar and Uruguay. He also visited the United Kingdom, the United States and Canada.

Prime Minister Datuk Seri Najib Razak was grateful to Tuanku Mizan.

"Under Tuanku Mizan's reign, state matters were smoothly conducted. His support is highly appreciated by the cabinet," Najib said at a banquet to mark the end of Tuanku Mizan's term at Istana Negara here on Saturday.

Najib also said the government and people were proud of Tuanku Mizan's concern for the people, apart from his active work in charity and sports.

In his speech, Information, Communications and Culture Minister Datuk Seri Dr Rais Yatim said during the reign of Tuanku Mizan, Malaysia continued to progress to a higher level.

"All the policies under the 1Malaysia concept proved fruitful under Tuanku's reign and it is hoped that the nation will continue to prosper."

Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Awang Kechik Abdul Rahman, who had served for more than two years under Tuanku Mizan, said his tenacity should be emulated.

"Tuanku Mizan has repeatedly reminded the people to protect the good relations between the races, and to practise mutual respect and cooperation," he said recently.

Tuanku Mizan married Tuanku Nur Zahirah in 1996 and the royal couple is blessed with two princes, Tengku Mohammad Ismail, 13, and Tengku Muhammad Mua'az, 11, and two princesses, Tengku Nadhirah Zahrah, 15, and Tengku Fatimatuz Zahra', 9.

Tuanku Mizan had participated in competitions such as the World Endurance Challenge for the World Endurance Championships organised by Yayasan Diraja Sultan Mizan, Equestrian Association of Malaysia, Federation Equestrian International and Penn Endurance and Equestrian Club.

He had also participated in the Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum Endurance Cup competition in Dubai in January 2008. Bernama

Thursday 8 December 2011

MARA beri RM14b pinjaman untuk 407,499 pelajar

Seramai 763,235 orang anak Bumiputera telah menerima pendidikan di bawah sistem latihan kemahiran dan akademik yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ketua Pengarahnya Datuk Ibrahim bin Ahmad berkata di samping itu MARA juga telah memberikan bantuan pinjaman pelajaran berjumlah RM14 bilion kepada 407,499 pelajar di mana 369,216 untuk tajaan dalam negara, manakala selebihnya seramai 38,283 pelajar mendapat penajaan luar negara.

"MARA juga mempunyai 321 buah institusi pendidikan di seluruh Malaysia dan dan antaranya termasuk 223 buah GIATMARA yang mempunyai 254,003 pelajar, dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mempunyai 149,722 pelajar," katanya di Majlis Malam Penghargaan dan Jamuan Tahunan MARA 2011 di ibunegara.

Ibrahim berkata sehingga kini MARA menyediakan kira-kira 7,000 lot perniagaaan yang merangkumi premis perniagaan, Kawasan Industri Makanan MARA yang menjadi hab pengeluaran produk makanan halal, Inkubator Teknologi Makanan dan Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU).

Katanya selain itu seramai 44,649 usahawan Bumiputera telah mendapat pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Am bagi sektor perdagangan, perkhidmatan dan pembuatan, Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres, untuk kerja-kerja seperti kontrak pembinaan, bekalan, perkhidmatan dan elektrikal dan Skim Pembiayaan Perniagaan melibatkan peruntukan melebihi RM 2 bilion.

Di majlis itu, seramai 179 pesara serta 195 warga kerja MARA yang telah berkhidmat selama 25 tahun masing-maing menerima hadiah RM1,000 serta plak penghargaan sebagai menghargai perkhidmatan mereka.
- Bernama

Wednesday 7 December 2011

MARA-NADI meterai perjanjian

LANGKAWI 6 Dis . – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik di antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan National Aerospace and Defence Industries (NADI) sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2001 yang bermula di sini hari ini.

Menerusi kerjasama tersebut, MARA dan NADI akan bekerjasama untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir bumiputera dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembuatan dalam industri aeroangkasa dan pertahanan.

MARA diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Ahmad manakala NADI oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Ahmad Johan.

Ibrahim berkata, usaha sama berkenaan bertujuan melahirkan modal insan yang mampu menjana kekayaan selain meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir yang kompeten selari dengan falsafah Program Transformasi Kerajaan.

“Modal insan profesional yang dilahirkan ini adalah berasaskan keperluan industri yang mampu mewujudkan landasan kerjaya yang berpotensi dan berpendapatan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu juga membolehkan kedua-dua pihak meneroka peluang perniagaan dalam MRO dan pembuatan seterusnya membangunkan model perniagaan yang berdaya maju dan menguntungkan.

Ia turut menjayakan matlamat untuk memudahkan penyertaan bumiputera yang lebih kukuh dalam industri tersebut yang menyaksikan pasaran MRO dianggarkan bernilai RM208 bilion menjelang 2020.

Terdahulu, Perdana Menteri dan Ahmad turut menyaksikan perjanjian perkhidmatan rundingan teknikal (TCSA) antara Airod Sdn. Bhd. (Airod) dengan Malaysian Aerospace Engineering Sdn. Bhd. (MAE).

Menerusi perjanjian berkenaan, MAE akan menyediakan perkhidmatan perundingan kepada Airod bagi pembangunan kelompok MRO aeroangkasa di lapangan terbang baru Kunming, China.

Monday 5 December 2011

MARA anjur Karnival Kembali Ke Sekolah mulai Isnin ini

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menganjurkan Karnival Kembali Ke Sekolah di Medan MARA, Jalan Raja Laut di sini pada 5 hingga 18 Disember ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Mohd. Rosdi Ismail berkata, objektif utama penganjuran karnival itu adalah untuk memperkenalkan usahawan bumiputera yang terlibat dalam industri pendidikan dan peralatan sekolah.

"Seramai 64 usahawan bumiputera dari seluruh negara akan menyertai karnival ini. Mereka akan menjual dan mempromosikan barangan mereka," katanya di Ibu pejabat MARA di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai acara menarik juga sudah diatur bagi menarik minat pengunjung untuk ke karnival itu, antaranya pertandingan mewarna, cabaran susun atur, cabutan bertuah, mencari harta karun, kuiz serta motivasi kecemerlangan pelajar.

Sempena karnival tersebut, syarikat bumiputera, Apple Bytes Sdn. Bhd. juga mengambil peluang untuk memperkenalkan ais krim jenama Supertots sebagai produk terbaru keluaran syarikat mereka.

Pengarah Urusannya, Irwan Ibrahim berkata, produk itu bersama beberapa barangan Supertots lain direka khusus sempena filem animasi kanak-kanak yang dihasil kerjanya dilaksanakan oleh bumiputera sepenuhnya.

Katanya, usahawan yang berminat untuk menjadi penjual barangan Supertots, boleh mengunjungi gerai mereka di karnival itu bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Friday 2 December 2011

GiatMara offers free wiring restoration for flood victims

RAUB: GiatMara has offered to check and restore electrical wiring without costs, at the homes of flood victims.

Its chairman, Datuk Shahiruddin Ab Moin, said GiatMara had the manpower and skill among its electrical engineering trainees.

"Flood victims can contact GiatMara directly or through their headman, village development and security committee chairman or village chief," he said when met by reporters after launching the 'GiatMara with Residents' programme in Dong near here today.

Shahiruddin, who is also the area's state representative, said it was important to check the wiring for safety. "Last year, GiatMara restored the electrical wiring of more than 200

affected residences in Kedah and Perlis for free," he said. -- Bernama

Thursday 1 December 2011

UniKL tawar 2,500 pangajian peringkat sarjana, PhD pelbagai bidang

Kerjasama dengan Rosenheim University untuk program sarjana bangunan teknologi hijau

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) menawarkan lebih 2,500 tempat pengajian bagi pengambilan pada sesi pengajian bermula Januari ini.

Presiden UniKL, Prof Datuk Dr Abdul Hakim Juri, berkata sebanyak 1,300 tempat bagi program peringkat sarjana muda dan 1,150 lagi untuk program peringkat diploma manakala bakinya pasca siswazah.

Katanya, UniKL menawarkan beberapa program sarjana serta ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang teknologi kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan dan pentadbiran perniagaan (MBA).

Beliau berkata, pihaknya juga menawarkan program sarjana bangunan teknologi hijau secara kerjasama dengan Rosenheim University, Jerman.

“Permohonan mengikuti semua program pengajian boleh dilakukan sekarang menerusi laman web www.admission.unikl.edu.my.

“Bagi pelajar Bumiputera, mereka akan dipertimbang untuk mendapat pinjaman pendidikan MARA.

“Pelajar juga boleh memohon pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, yayasan negeri dan institusi kewangan,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UniKL adalah universiti milik penuh MARA yang mendapat pengiktirafan lima bintang dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA) oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada 2009.

Abdul Hakim berkata, taklimat mengenai program pengajian UniKL diadakan di pejabat MARA seluruh negara dan taklimat berikutnya di Pejabat MARA Kota Kinabalu dan Kuching (1 Disember) dan Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur (10 dan 11 Disember).

Beliau berkata, lulusan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Tiga dan mempunyai satu kredit peringkat SPM boleh memohon meneruskan pengajian diploma UniKL berkaitan. Lulusan diploma atau matrikulasi pula boleh memohon ke program sarjana muda.
Untuk pengambilan Januari ini katanya, UniKL menawarkan 38 program diploma dan 41 ijazah sarjana muda di 10 kampusnya.

Beliau berkata, kebanyakan program di UniKL adalah dalam bidang teknikal seperti teknologi elektronik, pembuatan, mekanikal, makanan, bio-proses, polimer, komunikasi, perkapalan, aviasi, kualiti dan logistik.