Friday 30 December 2011

MARA sediakan RM31 juta

KUALA TERENGGANU 28 Dis. – Majlis Amanah Rakyat (MARA) Terengganu mengeluarkan pinjaman hampir RM31 juta kepada 365 usahawan di negeri ini dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Abdullah Mohamad berkata, jumlah peruntukan bagi mendapatkan pinjaman itu turut membabitkan sebanyak 40 projek yang diusahakan.

Beliau memberitahu, jumlah itu juga mencatatkan peningkatan berbanding lebih RM20 juta dalam tempoh serupa tahun lalu, selain melebihi sasaran yang ditetapkan oleh MARA.

Pihaknya menjangkakan jumlah tersebut akan terus meningkat untuk tahun depan dalam membantu golongan usahawan tempatan.

“Daripada jumlah pinjaman yang diluluskan di negeri ini tahun ini, sebahagian besarnya adalah bagi keperluan golongan usahawan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE),” katanya.

Mohamad menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan kedai serbaneka, My Convenience Shop di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dekat sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Terengganu, Datuk Ir. Tengku Ismail Tengku Jaafar dan Pengurus LTSM, Dr. Ahmad Ramli Mahmood.

Abdullah berkata, sejak Januari tahun ini hingga sekarang, MARA cawangan Terengganu turut menyediakan 48 kursus dan latihan keusahawanan untuk seramai 1,365 orang usahawan di negeri ini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa MARA bersedia membantu usahawan tempatan untuk menceburi serta memperluaskan aktiviti keusahawanan mereka termasuk menerusi pinjaman yang disediakan agensi berkenaan.

Mengenai kedai My Convenience Shop itu, jelasnya, setakat ini terdapat tiga premis seumpama itu yang beroperasi di LTSM manakala sebuah lagi dijangka dibuka di Kuala Berang tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment