Wednesday, 14 December 2011

Usahawan MARA jayakan TMP 2011

TELUK INTAN 13 Dis. - Para usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di negeri ini akan diberi peranan penting dalam membantu menjayakan kempen Tahun Melawat Perak (TMP) 2012.

Timbalan Ketua Pengarah MARA, Mohd. Rosdi Ismail berkata, golongan itu mampu memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk keluaran tempatan kepada para pelancong dalam dan luar negara.

Melalui langkah itu, jelas beliau, usahawan terbabit terutamanya golongan peniaga kecil turut mendapat limpahan manfaat melalui peningkatan pendapatan sepanjang kempen berkenaan.

''Pada masa sama, kita akan menaik taraf premis-premis perniagaan usahawan MARA supaya menggalakkan lebih ramai pengunjung ke premis mereka sepanjang TMP 2012.

''Ini secara tidak langsung membolehkan usahawan kita bersaing dengan peniaga-peniaga di premis yang lebih besar," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Karnival Pencarian Usahawan Muda di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah MARA Negeri, Rusnah Yusoff dan Naib Presiden Persatuan Peniaga-peniaga Usahawan D'Mara, Rosni Hassan.

Majlis perasmian karnival dua hari itu berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

Kata Mohd. Rosdi, kerja-kerja pembaikan di premis-premis usahawan MARA juga akan dilakukan bagi memastikan urusan perniagaan bersama pelanggan dapat dijalankan dengan lebih selesa.

Mengenai penganjuran karnival itu, beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada strategi mengetengahkan produk-produk keluaran usahawan MARA selain menggalakkan mereka mewujudkan rangkaian perniagaan yang lebih besar.

''Karnival ini juga memberi peluang kepada usahawan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran tertentu untuk lebih berjaya pada masa hadapan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment