Thursday 3 October 2013

Bangunan MARA jadi hotel bajet

JANATUL FIRDAUS YAACOB
3 Oktober 2013

  • Bangunan Mara jadi hotel bajetBangunan MARA ini akan bertukar menjadi hotel bajet tidak lama lagi.
KLANG - Tiada istilah pembaziran. Malah, bangunan lapan tingkat milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dinamakan Kompleks Tengku Kelana telah diinovasi menjadi hotel bajet.

Kenyataan itu dibuat oleh MARA Negeri Selangor yang sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pembinaan bangunan yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM8.2 juta itu sebagai satu pembaziran.

Bahkan, bangunan itu akan berseri kembali apabila kerja-kerja pengubahsuaian oleh pihak Syarikat STN Development (M) Sdn Bhd selesai dan beroperasi semula sebagai sebuah hotel.

Menurut pihak MARA Selangor, pembinaan bangunan ini bukan dibuat oleh pejabat MARA negeri secara sesuka hati tetapi sudah dipersetujui oleh pihak pengurusan tertinggi MARA.

Laporan media sebelum ini memaklumkan, pajakan ke atas bangunan itu bermula Disember 2008 dan bangunan itu kini sedang dalam proses ubah suai.

Keseluruhan bangunan itu yang mempunyai 59 lot perniagaan, pejabat serta kawasan tempat letak kereta di bahagian belakang bangunan akan terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian.

“Sebelum ini, kesemua penyewa telah diberitahu dan mereka dinasihatkan untuk menamatkan penyewaan di sini. Mereka yang tidak mempunyai masalah dari segi bayaran sewa dan tindakan undang-undang akan dicadangkan penempatan baru di bangunan MARA yang lain sekiranya ada kekosongan,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian baru-baru ini ke bangunan itu mendapati ia telah dipagar dan kerja-kerja pengubahsuaian sedang giat dilaksanakan pihak pemaju mengikut syarat-syarat dalam Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 berdasarkan Akta 133 dan Undang-undang kecil Bangunan Seragam 1984.

Kesuraman deretan kedai yang sebelum ini terbiar sepi tanpa penyewa bakal berubah wajah. Sambutan hambar terhadap kompleks berkenaan sebelum ini pasti akan membawa satu perubahan besar.

Seorang peniaga di kawasan berkenaan, Witiu Waris, 35, mengakui bangunan itu bukan terbiar tetapi kurang mendapat sambutan sebelum ini.

“Kesemua pejabat yang beroperasi di situ sebelum ini telah dipindahkan ke bangunan berhampiran stesen kereta api Klang.

“Sebelum arahan pindah dikeluarkan ada penyewa yang menyewa lot perniagaan itu, bukannya langsung terbiar. Cuma sambutan sahaja kurang menggalakkan,” katanya.

Seorang pemandu kereta sewa, Amir Singh, 65, gembira bangunan sepi itu bakal memeriahkan lagi kawasan berkenaan.

“Sepanjang tempoh beberapa tahun sebelum ini bangunan itu kelihatan kosong dan hanya ada beberapa premis perniagaan yang beroperasi.

“Diharapkan dengan perubahan imej sebagai hotel bajet ini akan merancakkan lagi rezeki saya,” katanya.

Global Halal Sector Is A Great Market To Explore, Says Shafie Apdal

KUALA LUMPUR, Oct 2 (Bernama) -- The halal industry is great market to explore with two billion Muslim consumers globally and potential sales of US$2.1 trillion, said Rural and Regional Development Minister Datuk Seri Shafie Apdal.

He said the demand for halal products was very encouraging considering the big market across the globe.

Malaysia had the advantage and capabilities to drive the halal sector as the country has the experience, infrastructure and institutions to develop and nurture the industry to a higher level, he said.

"The important thing for the products is not just the certification and halal logo but we must also ensure the quality, cleanliness and benefits they give consumers in this market," he added.

He was speaking to reporters after officiating the Halal Fiesta Malaysia (Halfest), an exposition for the halal food industry, which kicked off Wednesday.

The third Halfest, which will be held for five days, offers the platform for almost 500 small and medium entrepreneurs (SMEs) to enhance their market reach in the halal sector.

It is also the medium for the SMEs to strengthen their brand development and establish their foothold in the local market before expanding into the global market.

Shafie said the initiatives to organise the exposition was in line with the government's effort to elevate the economic status of Malaysians through the development of local entrepreneurs especially from the rural areas.

"The development of business in the rural areas will not only help increase the socio-economic status of the rural population but also create job opportunities for the people in the areas," he added.

Meanwhile, Chief Executive Officer of CIMB Islamic, Badlisyah Abdul Ghani said the bank's participation in Halfest as co-organiser not only provided it access to a wider distribution of its products but was also aimed at bringing Islamic banking and the halal industry closer together to form a holistic halal ecosystem.

"Funding is not the first thing an SME needs to get its halal business right, there are other more important things that must be put in place like good business plan, right management structure, access to good human resources and plain perseverence," he added.

Another co-organiser for Halfest, Majlis Amanah Rakyat (MARA) said its collaboration in the event was the right move to elevate the quality of Bumiputera entrepreneurs in the halal industry to gain wider reach and exposure.

A total of 58 out of the 500 exhibitors who participated in Halfest are under MARA initiatives.

"Mara aims to seal RM3.2 million worth of sales contracts at Halfest and committed in seeing local entrepreneurs thrive in promoting their halal products and services," said Datuk Hanisah Omar, Deputy Director-General (Management Services) of MARA.

Halfest, hosted by Halal Industry Development Corporation and managed by Shapers Malaysia Sdn Bhd, is open from 10 am to 10 pm on Oct 2-6, 2013 at the Mines Exhibition Centre in Seri Kembangan, Selangor.

It targets to attract more than 70,000 visitors and garner sales worth RM30 million this year. -- BERNAMA

Wednesday 2 October 2013

SAYA tidak akan sesekali melupakan jasa seorang guru yang berbangsa Tionghua semasa menuntut di sekolah menengah. Guru saya ini telah mengajar selama 35 tahun di sekolah tersebut yang mana hampir seratus peratus berbangsa Melayu dan bumiputera. Dia tidak pernah merungut, berkira mahupun mengajar ala kadar meskipun anak- anak muridnya berlainan bangsa. Paling tidak dilupakan, guru saya ini sanggup mengajar kelas persediaan petang tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Tidak keterlaluan dikatakan, beliaulah antara individu yang banyak memberi inspirasi kepada saya untuk mengambil jurusan perakaunan selain keluarga saya. Meskipun bekas sekolah menengah saya ini berpindah dari Seremban ke Senawang pada tahun 2002, beliau tetap mengajar anak- anak bumiputera sehinggalah di saat akhir hari persaraannya pada tahun 2007.

Saya benar-benar tersentuh dengan dedikasi kerjanya yang tidak pernah menganggap kami anak-anak muridnya sebagai “orang luar" meskipun berlainan bangsa. Beliau juga tidak pernah menyentuh atau mengungkit hak-hak bumiputera di hadapan kami meskipun kami semuanya adalah kaum bumiputera yang rata-ratanya berlatar belakangkan keluarga miskin.

Kami diajar dengan sebaik mungkin. Begitu juga, kami dibantu sepenuhnya oleh kerajaan. Bantuan yang diberikan tidak usah cakaplah. Serba serbi dibantu. Kalau mengharapkan kewangan keluarga, rasa-rasanya saya terpaksa berfikir dua kali untuk bersekolah di situ.

Selepas tamat belajar di sekolah menengah, ramai di antara kami dihantar ke luar negara. Kerajaan bantu sebaik mungkin anak- anak miskin seperti kami. Kami bertuah kerana “terpilih" dibantu oleh kerajaan sehinggakan ada di antara kami sudah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sememangnya, kerajaan telah banyak membantu kaum bumiputera. Mereka ini bukan sahaja bergelar CEO, malahan ada yang menjadi jutawan dan hartawan. Sudah sampai masanya mereka menyumbang kembali kepada golongan miskin sebagaimana mereka telah dibantu oleh kerajaan sebelum ini.

Malangnya, ada dalam kalangan mereka ini sudah tidak nampak daratan, bahkan ada di antaranya malu melihat kaum bumiputera dibantu. Mungkin sudah terlalu lama berada di seberang laut, maka, membuatkan mereka terlupa di manakah daratan.

Dibantu pula oleh segelintir pihak bukan bumiputera yang tidak puas hati dengan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera, maka usaha kerajaan ini menjadi kebimbangan pula kepada mereka. Tidak sebagaimana guru saya yang dinyatakan di atas, segelintir pihak ini terus menerus mempertikaikan hak keistimewaan kaum bumiputera.

Salahkah kaum bumiputera dibantu? Bukankah itu sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu kaum yang masih ketinggalan? Benar, bukan semua kaum bumiputera yang miskin, ramai juga yang sudah berjaya tetapi jangan lupa, lagi ramai yang perlu dibantu.

Saya cukup hairan apabila ada yang berhujah seolah-olah tidak wajar membantu kaum Bumiputera. Alasan yang diberikan tidak selari dengan Model Baru Ekonomi (MBE). Saya tidak nampak, membantu kaum bumiputera tidak konsisten dengan MBE. Objektif MBE untuk menjadikan ekonomi Malaysia mampan, keterangkuman dan rakyatnya berpendapatan tinggi.

Bagaimana MBE boleh tercapai jika kaum bumiputera yang mewakili lebih 60 peratus populasi rakyat Malaysia secara puratanya berpendapatan rendah? Atau kita mahu lihat sebagaimana berlakunya di Amerika Syarikat (AS), jurang pendapatan rakyat termiskin dan kaya semakin melebar?

Bagaimana pula MBE dikatakan sebagai keterangkuman sekiranya majoriti rakyat Malaysia masih ketinggalan dari segi pendapatan, kurang memiliki aset dan tidak mendapat pendidikan yang terbaik? Adakah ekonomi Malaysia akan mampan jika kedua-dua objektif MBE ini iaitu, keterangkuman dan rakyatnya berpendapatan tinggi tidak tercapai?

Hujah pihak yang menyatakan agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera tidak konsisten dengan MBE langsung tidak boleh dipakai. Terdapat juga hujah yang mengungkit-mengungkit bahawa cukai juga dibayar oleh kaum lain, maka GLC bukanlah hak bumiputera tetapi hak kaum lain juga. 

Usahlah mengungkit-mengungkit atau berkira sangat, kalau kita terlalu mengungkit, orang lain juga boleh mengungkit.

Selama ini, kerajaan tidak pernah mengabaikan kaum lain. Malahan, diberi pelbagai bantuan. Periksalah berapa banyak bantuan diberikan. Hasil kerajaan bukan terletak pada cukai syarikat sahaja tetapi juga royalti minyak Petronas yang majoriti pekerjanya adalah orang Melayu dan bumiputera yang bekerja bertungkus lumus dengan begitu dedikasi bagi memperoleh hasil untuk negara dan rakyat Malaysia.

Kalau nak diungkit-diungkit lagi, sejauh manakah kaum bumiputera benar-benar dilayan dengan baik apabila bekerja di syarikat-syarikat yang bukan milik bumiputera? Adakah gaji dan peluang kenaikan pangkat dilayan secara adil ke atas kaum bumiputera berbanding kaum bukan bumiputera?

Bagaimana pula dengan fakta bahawa betapa ramainya kaum bukan bumiputera yang menduduki rangking terkaya di Malaysia? Adakah mereka menjadi kaya tanpa bantuan kerajaan dan kaum bumiputera? Tiada siapa di antara mereka yang boleh menafikan fakta bahawa kerajaan yang berteraskan kaum Melayu dan Bumiputera inilah yang banyak membantu mereka menjadi hartawan, jutawan dan bilionair. Begitu juga, tiada siapa yang boleh menyangkal betapa kerajaan telah banyak membantu kaum bukan bumiputera selama ini.

Jadi, apa masalahnya dengan tindakan kerajaan yang mahu membantu kaum bumiputera? Tindakan kerajaan berpaksikan keperluan, keadilan dan kesaksamaan. Analoginya cukup mudah, kalau seorang bapa mempunyai sepuluh orang anak, dan empat daripadanya telah berjaya, manakala enam lagi masih memerlukan bantuan dan sokongan bapanya, adakah mereka ini tidak layak dibantu?

Bapa tersebut boleh sahaja berlaku kejam dengan tidak mahu mempedulikan nasib keenam-enam anaknya tetapi sanggupkah dia? Tepuk dada tanya selera. Maka, sebagai “bapa" yang bertanggungjawab dalam keluarga yang besar, kerajaan berhak membantu kaum bumiputera sebagaimana kerajaan selama ini banyak membantu kaum bukan bumiputera.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.



(terimakasih sumber: utusan online)
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MARA, dua syarikat meterai MoU

LEDANG 1 Okt. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua syarikat iaitu Radibems Sdn. Bhd. dan National Instruments Southeast Asia Sdn. Bhd., bagi memberi tempat kepada penuntut Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang menjalani latihan industri di kedua-dua syarikat itu.

MoU itu ditandatangani oleh Pengarah KKTM Ledang, Ahmad Jalaludin Mohd. Wahi dengan Pengurus Besar Radibems, Mohamed Nasir Talib dan Pengarah Urusan National Instruments Southeast Asia (National Instruments), Chandran Nair di KKTM Ledang, baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang juga Ahli Parlimen Ledang dan Pengarah Mara negeri, Abdul Aziz Hassan.

Radibems merupakan anak syarikat Radicare (M) Sdn. Bhd., dan pakar dalam perkhidmatan pengurusan kejuruteraan bioperubatan, menyediakan penyelesaian penting dan kos berkesan dalam operasi serta penyelenggaraan peralatan hospital berteknologi tinggi.

National Instruments pula adalah syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) menghasilkan pelbagai produk bagi sektor semi konduktor, pertahanan dan aeroangkasa selain membangun dan mengeluarkan produk perisian serta perkakasan digunakan jurutera dan saintis untuk aplikasi ujian, kawalan dan rekaan bagi pasaran global.

Ahmad Jalaludin berkata, MoU itu bertujuan membangunkan kurikulum lebih baik untuk para penuntut bioperubatan KKTM selain lanjutan kerjasama yang terjalin sebelum ini.

"MoU ini lebih kepada latihan industri bagi pelajar dan kakitangan dalam menjadikan KKTM sebagai pusat kecemerlangan bioperubatan. Ini sebagai tambahan kerjasama dan MoU ini akan diperbaharui setiap dua tahun," katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan Radibems bermula sejak KKTM Ledang ditubuhkan pada 2010 dan diteruskan hingga kini dengan menawarkan tempat kepada para penuntutnya menjalani latihan industri dan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.

Sementara itu, usahasama dengan National Instruments pula bermula apabila rombongan KKTM Ledang mengadakan lawatan ke ibu pejabatnya di Austin, Texas, Amerika Syarikat beberapa tahun lalu.

Ahmad Jalaludin memberitahu, KKTM Ledang melahirkan kira-kira 200 penuntut dalam bidang terbabit dengan kelulusan diploma setiap tahun.

Monday 30 September 2013

Medan untuk tembusi pasaran yang lebih besar

Mohd. Shukri Abdullah

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Pameran Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2013 akan dijadikan medan kepada usahawan atau perniagaan desa untuk memasuki pasaran yang lebih besar meliputi seluruh pelosok negara.

Ini kerana menurut pengendali Halfest 2013, Shapers Malaysia Sdn. Bhd. (Shapers), terdapat banyak perniagaan industri desa di negara ini yang produknya hanya tersebar di sekitar daerah atau negeri tertentu sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Shapers, Mohd. Shukri Abdullah berkata, Halfest menepati hasrat kerajaan yang mahukan ekonomi berkembang di setiap kawasan di negara selain mengukuhkan pendapatan usahawan desa.

"Selain terbuka kepada orang ramai, Halfest turut dihadiri oleh wakil-wakil dari pasar raya-pasar raya utama seperti Tesco, Mydin dan Giant untuk meninjau produk yang berpotensi dipasarkan.

"Ini membuka peluang kepada usahawan-usahawan yang menyertai Halfest untuk mencari slot pemasaran di pasar raya tersebut yang mempunyai rangkaian yang luas," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Penganjuran Halfest sudah memasuki tahun ketiga sejak bermula pada 2011. Kali ini akan diadakan di Pusat Pameran Mines, Seri Kembangan, Selangor, mulai 2 Oktober hingga 6 Oktober depan, dari 10 pagi hingga 9 malam.

Shapers menjangka pameran itu akan disertai oleh 550 peserta perniagaan dengan sasaran pengunjung seramai 50,000 orang.

Jelas Mohd. Shukri, kriteria utama sebagai peserta Halfest adalah perniagaan jenis kecil atau sederhana kecil, industri desa, berstatus halal atau dimiliki sekurang-kurangnya 60 peratus oleh orang Islam.

"Jika tidak mempunyai status halal terutama kepada industri desa, pemilik perniagaan itu wajib menyertai seminar mengenai halal yang akan diadakan di dalam Halfest ini," ujar beliau lagi.

Ruang pameran yang dibuka kepada peniaga adalah secara sewa iaitu serendah RM3,300 bagi saiz biasa untuk sepanjang lima hari pameran.

Jelas Mohd. Shukri lagi, Halfest juga dapat menemukan usahawan-usahawan kecil ini dengan pelbagai agensi kerajaan atau badan-badan penyelidikan yang dapat membantu mereka meningkatkan kualiti produk melalui penyelidikan.

"Peniaga boleh mempelajari gaya pembungkusan moden atau ketahanan produk. Malah, pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan bantuan pemasaran dan pembiayaan turut menyertai Halfest," katanya.

Mohd. Shukri menambah, panganjuran Halfest dua tahun sebelum ini boleh dikatakan membuahkan hasil dengan 62 peratus peserta kembali menyertai pameran itu pada tahun berikutnya.

Kos penganjuran Halfest membabitkan nilai hampir RM5 juta khususnya dengan sokongan serta tajaan oleh CIMB Islamic selain kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pelbagai agensi kerajaan.

Pameran itu turut diserikan dengan jemputan beberapa artis serta selebriti popular tempatan selain pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

"Kami juga melihat kepentingan Halfest adalah bagi mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar-bandar besar.

Elak ketirisan: SPRM diminta kerap pantau

KUALA TERENGGANU 29 Sept. - Penerapan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam khususnya di bawah agensi Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah penting bagi mengelak amalan rasuah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra disediakan peruntukan besar setiap tahun dalam usaha membantu masyarakat khususnya yang tinggal di luar bandar.

Sehubungan itu, tambah beliau, nilai integriti tersebut sangat penting bagi mengelak berlakunya 'ketirisan' (rasuah) serta cara kerja tidak baik dan sebagainya.

"Dengan adanya pemantauan dan kerjasama daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, saya yakin dapat memberi kesedaran kepada anggota dalam memberi perkhidmatan terbaik.

"Dalam masa sama, saya juga meminta SPRM membuat lawatan lebih kerap ke penempatan anggota-anggota ini bagi memastikan kita dapat memantau perjalanan perkhidmatan mereka sama ada terdapat peningkatan atau potensi untuk mengelak rasuah," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta ikrar integriti bersama SPRM di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Ketengah diwakili Pengurus Besarnya, Wan Mat Amin Wan Daud manakala MARDI pula diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sharif Haron.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhammad; Pengerusi MARDI, Fadil Osman dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan.

Dalam pada itu, Sutinah dalam ucapannya berkata, SPRM sedia memberi bantuan khususnya dari segi latihan berkaitan kepada mana-mana agensi yang serius membanteras gejala rasuah.

"Dalam hal ini, kita akan membina pelan integriti untuk organisasi, membangunkan pelan pembangunan yang berisiko serta melatih pegawai-pegawai berkenaan.

"Saya juga menyarankan MARDI dan Ketengah mewujudkan unit integriti bagi memudahkan urusan ini," katanya.

Thursday 26 September 2013

Memacu ekonomi bumiputera

SELEPAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini, ia menjadi satu isu yang dibahaskan di media massa. Ini adalah perkara yang baik kerana ia menunjukkan minat yang tinggi pelbagai pihak kepada soal ekonomi bumiputera. Sekali gus, ia mengangkat harakat perbahasan isu ekonomi bumiputera.

Pandangan Pengerusi Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (MAPEM), Tan Sri Rozali Ismail dalam rencana “Ayuh Perkasakan Ekonomi Melayu (Utusan Malaysia, 24 September 2013) adalah baik. Tulisan tersebut menunjukkan keprihatinan seorang tokoh korporat dan pemimpin NGO bumiputera yang tinggi kepada isu ini.

Bagaimanapun atas semangat untuk memurnikan tulisan itu, maka elok diberikan sedikit pencerahan sekali gus membetulkan fakta kepada tulisan beliau yang menyebut bahawa, “Lihat saja apa yang berlaku kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera yang ditubuhkan pada Februari 2011 sebagai unit strategik untuk menerajui, memacu dan menyelaras agenda Bumiputera. 

Sejak agensi itu melancarkan program ‘outreach’ bagi membantu usahawan berpotensi, hanya 18 usahawan Melayu dari seluruh Malaysia berjaya dikumpulkan. Lebih malang lagi, kesemua syarikat tersebut tidak dibantu sehingga hari ini. Kenapa susah sangat mahu membantu syarikat terbabit?"

TERAJU diwujudkan sebagai satu unit strategik dan berfungsi sebagai sekretariat kepada Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera (MTAB). Sejak penubuhannya, MTAB telah meluluskan pelbagai dasar dan strategi. Ini termasuklah Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera, pelupusan aset syarikat berkaitan kerajaan (GLC) oleh Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan peruntukan khas (carve out) kontrak projek mega untuk syarikat-syarikat bumiputera.

Mesyuarat MTAB yang lalu juga meluluskan cadangan menubuhkan Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera di semua kementerian. Pengumuman mengenai keputusan MTAB ini dibuat oleh Perdana Menteri di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 14 September lalu. Kita berharap apabila unit ini beroperasi, ia akan dapat meningkatkan penyertaan bumiputera di kementerian-kementerian berkenaan, termasuklah menyediakan peluang-peluang perniagaan yang lebih besar untuk usahawan.

Di bawah peruntukan khas (carve out) kontrak projek mega yang diluluskan oleh MTAB, sebanyak 22 syarikat bumiputera telah mendapat kontrak bernilai RM9.1 bilion atau 47% nilai keseluruhan kontrak MRT. Jumlah ini tidak termasuk syarikat-syarikat bumiputera lain yang turut melakukan kerja-kerja sub-kontrak dan kerja-kerja kecil (kelas F) di bawah projek berkenaan. Sekiranya ini dimasukkan, jumlah syarikat yang mendapat manfaat mencecah ratusan.

MTAB memperakukan model ini sebagai satu kaedah mengagihkan projek mega kepada bumiputera. Perdana Menteri yang mempengerusikan MTAB bersetuju agar ia diperluaskan kepada empat lagi projek lain iaitu Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, Pembangunan Tanah RRI Sungai Buloh dan Pusat Pameran Matrade. Keseluruhan nilai kontrak dalam projek- projek ini yang diperuntukkan kepada bumiputera bernilai RM4.2 bilion atau secara purata 40% nilai kontrak.

Bagi menggalakkan penyertaan bumiputera dalam inisiatif pembiayaan swasta, TERAJU bekerjasama dengan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) untuk menyalurkan Dana Mudahcara. Dana berbentuk geran 15% dari nilai projek diberikan kepada inisiatif pembiayaan swasta bumiputera bernilai sekurang-kurangnya RM5 juta.

Sehingga Ogos tahun ini TERAJU meluluskan geran Dana Mudahcara sebanyak RM404.5 juta kepada 87 buah projek dengan nilai pelaburan swasta RM3.7 bilion. Inisiatif syarikat-syarikat bumiputera ini dijangka menyediakan sejumlah 13,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

Selain itu, sehingga kini sebanyak 450 buah syarikat telah menyertai program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS). Syarikat-syarikat ini berpeluang mendapat akses kepada pembiayaan modal kerja dan perolehan aset berjumlah RM1.62 bilion di tiga institusi kewangan. Sehingga Ogos 2013, 91 syarikat TeraS mendapat pembiayaan berjumlah RM387 juta dan jumlah ini meningkat dari semasa ke semasa.

TERAJU juga melakukan intervensi dan kolaborasi dalam program pembangunan usahawan di pelbagai kementerian dan agensi bagi menentukan bumiputera mendapat peluang yang lebih besar. Bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan sesuai dengan peranan TERAJU sebagai unit strategik, program-program ini dilaksanakan melalui agensi-agensi yang bersesuaian.

Antaranya ialah program Prosper Teras dan skim usahawan prasekolah yang dilaksanakan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), pembiayaan ekuiti dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pembiayaan agropreneur yang dilaksanakan melalui Johor Corporation. Program Prosper Teras telah memberikan pembiayaan kepada perusahaan kecil dalam bidang otomotif, telekomunikasi, bekalan pembinaan dan perkhidmatan profesional.

Kesemua inisiatif ini mensasarkan pelbagai kelompok usahawan, termasuklah perusahaan mikro. Beberapa inisiatif lagi sedang dipertimbangkan oleh kerajaan bagi tujuan mendapatkan peruntukan kewangan dan akan dihebahkan kepada umum apabila mendapat kelulusan. 

Dalam bidang pendidikan, TERAJU telah menubuhkan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) sebagai salah satu inisiatif “quick win" untuk meningkatkan kapasiti Bumiputera. Sehingga kini seramai 921 orang pelajar telah dan sedang menjalani program-program YPPB seperti Tunas Geliga, Tunas Iltizam, Tunas Potensi, Peneraju Profesional. TERAJU juga bekerjasama dengan Yayasan Sarawak bagi melaksanakan program bagi meningkatkan bumiputera dalam bidang perakaunan.

TERAJU juga membangunkan dan memberikan peruntukan untuk program pembangunan felo sektor pembinaan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Program ini mensasarkan kepada empat kelompok tenaga mahir iaitu pengurusan pembinaan, graduan pembinaan, penyelia (pembinaan dan kimpalan) dan pekerja mahir pembinaan (perancah dan pelukis pelan minyak dan gas). Seramai 120 graduan dijangka dilahirkan pada setiap tahun.

Bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, Najib mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bagi menggantikan MTAB. Ini adalah satu langkah ke hadapan. Sekiranya MTAB bersidang tiga bulan sekali, MEB akan bermesyuarat setiap bulan bermula Oktober ini. Dengan keanggotaan yang lebih kecil dan spesifik, MEB akan menjadi platform yang berkesan untuk menentukan semua inisiatif pemerkasaan ekonomi bumiputera memberikan manfaat kepada rakyat seperti yang diharapkan. Pengumuman Najib bahawa Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan diletakkan di bawah pengurusan TERAJU akan terus membuka peluang kepada usahawan bumiputera.

TERAJU juga diberikan peranan untuk menyelaras inisiatif-inisiatif pemerkasaan ekonomi bumiputera. Kesemua ini adalah merupakan cabaran besar yang harus digalas oleh kita bersama. Atas semangat itulah maka TERAJU mengundang semua pihak untuk bersama-sama mendokong agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

PENULIS ialah Pengarah Kanan, Pengurusan Stakeholder, Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Jabatan Perdana Menteri.



900,000 Peluang Kerja Diwujudkan Di Koridor Pembangunan Sabah

KOTA KINABALU, 25 Sept (Bernama) -- Sebanyak 900,000 peluang pekerjaan mampu diwujudkan kerajaan negeri melalui Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang sedang dilaksanakan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Beliau berkata peluang pekerjaan itu antaranya menerusi projek industri dan gas yang menawarkan peluang pekerjaan yang sangat besar kepada para pelajar teknikal.

"Antara projek itu ialah Terminal Minyak dan Gas (SOGT), Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC), Projek Pembangunan Bukan Berkaitan Gas (NAG), Projek Saluran Paip Gas-Sarawak (SSGP), Stesen Janakuasa Kimanis (KPP), Kilang Baja Urea Ammonia Sabah (SAMUR) dan pembinaan Terminal Gas di Lahad Datu," katanya dalam majlis Anugerah Akademik Pelajar Cemerlang Institut Kemahiran Mara (IKM) di sini Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Anita Baranting.

Jainab berkata sebagai pewaris negara, para pelajar perlu berusaha untuk merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan terutamanya latihan kemahiran seperti oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"MARA telah menyediakan peluang latihan yang sangat luas kepada para belia untuk meningkatkan tahap pendidikan khususnya dalam pendidikan teknik dan vokasional," katanya.

Beliau berkata bermula daripada GIATMARA yang terdapat di setiap parlimen, Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran MARA hingga kepada Universiti Kuala Lumpur(UniKL), mereka berpeluang mengikuti latihan ke peringkat diploma dan seterusnya peringkat ijazah.-- BERNAMA

Tuesday 24 September 2013

MARA Sasar Jualan Kontrak Bernilai RM3.2 Juta Melalui 58 Usahawan Di HALFEST 2013

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan transaksi jualan runcit sebanyak RM600,000 dan potensi jualan kontrak bernilai RM3.2 juta bakal dijana oleh 58 usahawan yang akan menyertai Ekspo Kepenggunaan Halal (HALFEST) 2013 pada 2 hingga 6 Okt ini.

MARA sebagai penganjur bersama untuk tahun ketiga, akan berkolaborasi dengan Shapers Malaysia Sdn Bhd selaku pengurus HALFEST 2013 dalam menganjurkan ekspo ini yang merupakan antara usaha untuk memperkasakan usahawan halal Bumiputera, terutamanya dalam bidang pembuatan dan pengeluaran produk makanan.

Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa berkata berdasarkan penganjuran pada tahun lepas, 16 usahawan MARA dipilih selepas menyertai HALFEST 2012 berjaya mendapat potensi pasaran Halal antarabangsa dengan anggaran berjumlah RM5.1 juta melalui MIHAS 2013, yang merupakan platform pasaran Halal global.

"MARA turut menjangkakan peningkatan jualan bulanan runcit usahawan sebanyak 25 peratus setelah ekspo berakhir berdasarkan kepada aktiviti-aktiviti promosi dan pemasaran produk usahawan, meluaskan pasaran produk, melebarkan jaringan perniagaan, meningkatkan penjenamaan produk dan syarikat usahawan dan memperoleh maklumat terkini mengenai industri Halal," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin

Beliau berkata penyertaan 58 usahawan itu yang dikenal pasti untuk ekspo ini adalah lebih khusus dan menjurus kepada segmen teras industri halal.

Pada tahun ini, MARA memberi tumpuan kepada bidang-bidang halal seperti makanan dan minuman, teknousahawan, busana Muslimah, produk kecantikan, kesihatan dan wangian, usahawan Kompleks Industri Makanan MARA dan Kawasan Industri MARA untuk HALFEST 2013 yang bakal berlangsung di Pusat Pameran MINES, Seri Kembangan, Selangor.

Sepanjang HALFEST 2013, beberapa program akan diadakan di bawah kelolaan MARA, antaranya Klinik Keusahawanan dan Pendidikan; promosi dan pelancaran produk; serta pelbagai hadiah menarik untuk pembeli bertuah.

Platform berkenaan dijangka menarik minat lebih daripada 70,000 pengunjung yang terdiri daripada pengguna Malaysia dan juga usahawan-usahawan Bumiputera dari sektor halal negara, katanya.

Penglibatan MARA sebagai penganjur bersama HALFEST 2013 adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab halal global bagi pengeluaran, perdagangan produk dan pelbagai perkhidmatan berkenaan industri ini.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari www.halal.com.my. -- BERNAMA

Monday 23 September 2013

HALFEST 2013: MARA MEMBANGUNKAN USAHAWAN HALAL BUMIPUTERA

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat membuat kenyataan media berkenaan penglibatan MARA sempena Ekspo Kepenggunaan Halal (HALFEST) 2013 yang akan berlangsung pada 2 hingga 6 Oktober 2013 bertempat di Pusat Pameran MINES di Seri Kembangan, Selangor.
Atas kejayaan penganjuran pada tahun 2011 dan 2012, MARA sekali lagi terlibat sebagai penganjur bersama bagi menjayakan HALFEST 2013 sebagai salah satu usaha MARA untuk memperkasakan usahawan halal Bumiputera terutamanya dalam bidang pembuatan dan pengeluaran produk makanan.
Sektor Keusahawanan MARA telah melaksanakan pelbagai program dan strategi bagi meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam industri Halal dalam dan luar negara.
Justeru, penglibatan MARA sebagai penganjur bersama HALFEST 2013 adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab halal global bagi pengeluaran, perdagangan produk dan pelbagai perkhidmatan berkenaan industri ini.
KOLABORASI STRATEGIK MARA - SHAPERS
Kolaborasi strategik MARA dengan Shapers Malaysia Sdn. Bhd., selaku pengurus HALFEST 2013 dalam menganjurkan ekspo sebegini antara usaha yang dilakukan untuk membawa usahawan Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi. 
Berdasarkan penganjuran pada tahun lepas, seramai 16 usahawan MARA dipilih selepas menyertai HALFEST 2012 berjaya mendapat potensi pasaran Halal antarabangsa dengan anggaran berjumlah RM5.1 juta melalui MIHAS 2013 yangmerupakan platform pasaran Halal global.
MARA menyasarkan transaksi jualan runcit sebanyak RM600,000 serta potensi jualan kontrak bernilai RM3.2 juta bakal dijana oleh 58 usahawan semasa HALFEST 2013 berlangsung.
MARA turut menjangkakan peningkatan jualan bulanan runcit usahawan sebanyak 25% setelah ekspo ini berakhir berdasarkan kepada aktiviti-aktiviti promosi dan pemasaran produk usahawan, meluaskan pasaran produk, melebarkan jaringan perniagaan, meningkatkan penjenamaan produk dan syarikat usahawan dan memperoleh maklumat terkini mengenai industri Halal.
PENGISIAN HALFEST 2013
MARA memberi tumpuan kepada bidang-bidang halal seperti makanan dan minuman, teknousahawan, busana Muslimah, produk kecantikan, kesihatan & wangian, Usahawan KIMAR (Kompleks Industri Makanan MARA) dan KIM (Kawasan Industri MARA). 
HALFEST 2013 akan berlangsung pada 2 hingga 6 Oktober 2013 di Pusat Pameran MINES di Sri Kembangan Selangor. Pameran akan dibuka dari pukul 10.00 pagi sehingga 9.00 malam. Untuk maklumat lanjut sila layari www.halal.com.my.
MARA telah mengenal pasti usahawan di bawah bimbingannya dari seluruh negeri yang mempunyai potensi untuk diketengahkan di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Setakat ini sekitar 58 usahawan MARA akan menyertai HALFEST 2013 dan penyertaan usahawan pada tahun 2013 adalah lebih khusus dan menjurus kepada segmen teras industri halal.
Sepanjang HALFEST ini berlangsung juga, beberapa program turut diadakan di bawah kelolaan MARA. Antaranya Klinik Keusahawanan & Pendidikan, promosi dan pelancaran produk dan MARA turut menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk pembeli bertuah.
Platform ini dijangka akan menarik minat lebih daripada 70,000 orang pengunjung yang terdiri daripada pengguna Malaysia dan juga usahawan-usahawan Bumiputera dari sektor halal negara.
MARA akan bersama-sama CIMB Islamic dan Halal Industry Development Corporation sebagai tunjang utama ekspo tersebut dan turut mendapat sokongan kuat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).
PENDEKATAN MARA
Pendekatan MARA dalam membangunkan usahawan industri ini adalah secara bersepadu bermula daripada bimbingan dan nasihat, kemudahan pembiayaan perniagaan, kemudahan premis sehingga kepada sokongan pembangunan syarikat serta pemasaran. 
Fokus MARA dalam pembangunan produk halal adalah dalam bidang makanan dan minuman, farmaseutikal, teknousahawan, busana muslimah, produk kecantikan, kesihatan & wangian, kosmetik serta perkhidmatan.
Dalam industri makanan, MARA telah mewujudkan beberapa kawasan industri yang menepati piawaian ‘Hazard Analysis Critical Control Point’ (HACCP), ‘Good Manufacturing Practice’ (GMP) dan Persijilan Halal khusus dalam membangunkan usahawan pengilang makanan Halal untuk mencapai standard antarabangsa dalam pemprosesan dan pengilangan makanan. Antara kawasan industri yang telah diwujudkan oleh MARA adalah Kompleks Industi Makanan MARA (KIMAR) di Gombak, Selangor serta Inkubator Teknologi Makanan MARA (INTEM), Kepong, Kuala Lumpur sebagai pusat latihan dan pembangunan usahawan baru dalam bidang makanan. 
Selain itu, MARA sedang membangunkan Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU) di Pedas, Negeri Sembilan yang akan turut melibatkan pihak swasta dalam memandu usahawankecil dan sederhana dalam pengilangan produk makanan. 
SUMBER : Shapers Malaysia Sdn Bhd
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Rohayah binti Mohd Zain
Pengarah Komunikasi Korporat
Tingkat 24, Ibu Pejabat MARA
21, Jalan Raja Laut
50609 Kuala Lumpur
Tel : 03-2613 4600
Faks : 03-2692 7386
HP : 019-388 3121
E-mel : rohayah@mara.gov.my

Nama : Shahrulazli bin Jaafar @ Ismail
Penolong Pengarah Komunikasi Korporat
Tingkat 24, Ibu Pejabat MARA
21, Jalan Raja Laut
50609 Kuala Lumpur
Tel : 03-2613 4846
Faks : 03-2692 7386
HP : 012-2726271
E-mel : shahrulazli@mara.gov.my
--BERNAMA