Thursday 26 September 2013

900,000 Peluang Kerja Diwujudkan Di Koridor Pembangunan Sabah

KOTA KINABALU, 25 Sept (Bernama) -- Sebanyak 900,000 peluang pekerjaan mampu diwujudkan kerajaan negeri melalui Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang sedang dilaksanakan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Beliau berkata peluang pekerjaan itu antaranya menerusi projek industri dan gas yang menawarkan peluang pekerjaan yang sangat besar kepada para pelajar teknikal.

"Antara projek itu ialah Terminal Minyak dan Gas (SOGT), Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC), Projek Pembangunan Bukan Berkaitan Gas (NAG), Projek Saluran Paip Gas-Sarawak (SSGP), Stesen Janakuasa Kimanis (KPP), Kilang Baja Urea Ammonia Sabah (SAMUR) dan pembinaan Terminal Gas di Lahad Datu," katanya dalam majlis Anugerah Akademik Pelajar Cemerlang Institut Kemahiran Mara (IKM) di sini Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Anita Baranting.

Jainab berkata sebagai pewaris negara, para pelajar perlu berusaha untuk merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan terutamanya latihan kemahiran seperti oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"MARA telah menyediakan peluang latihan yang sangat luas kepada para belia untuk meningkatkan tahap pendidikan khususnya dalam pendidikan teknik dan vokasional," katanya.

Beliau berkata bermula daripada GIATMARA yang terdapat di setiap parlimen, Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran MARA hingga kepada Universiti Kuala Lumpur(UniKL), mereka berpeluang mengikuti latihan ke peringkat diploma dan seterusnya peringkat ijazah.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment