Thursday, 19 September 2013

Cadangan korporatkan MARA perlu kerjasama GLC

KOTA BHARU 18 Sept. - Cadangan supaya Majlis Amanah Rakyat (MARA) dikorporatkan perlu dikaji semula kerana ia memerlukan masa yang panjang untuk dijayakan.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kelantan, Mohd. Rosli Ismail berkata, kejayaan cadangan itu juga memerlukan kerjasama daripada syarikat milik kerajaan (GLC) yang lain dan tidak boleh dilakukan secara bersendirian.

Menurutnya, cadangan tersebut perlu dilihat dari semua sudut kerana melibatkan pelbagai pemain dalam sektor korporat.

"Kita memerlukan jalinan baru dalam usaha merealisasikan cadangan pengkorporatan tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad supaya kerajaan mengkorporatkan MARA sebagai sebuah entiti yang boleh memberi kesinambungan hayat kepada usahawan bumiputera, selain Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang ada ketika ini.

Mohd. Rosli berkata, cadangan pengkorporatan MARA mungkin akan dapat dicetuskan dengan bantuan GLC yang lain untuk bersama-sama membangunkan Mara.

"Melalui jalinan kerjasama tersebut, segala usaha dapat dilaksanakan bersama-sama sekali gus mempercepatkan pengkorporatan Mara," katanya.

Mohd. Rosli turut bersetuju agar Pengerusi MARA diberikan taraf menteri sebagai langkah pertama ke arah memperkasakan institusi tersebut.

"Dengan pengerusi bertaraf menteri, MARA akan lebih efisien dan keupayaannya dapat dimantapkan bagi membantu bumiputera di negara ini," katanya.- UTUSAN


No comments:

Post a Comment