Putrajaya: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menandatangani
memorandum persefahaman (MoU) dengan Airbus, dalam masa terdekat bagi
membekalkan tenaga kerja mahir dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan
membaik pulih pesawat (MRO) kepada syarikat aeroangkasa berpangkalan di
Perancis itu.
Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa, berkata langkah itu
sejajar dengan hasrat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Airbus untuk menjadikan
Malaysia sebagai hab perkhidmatan MRO pesawat keluarannya yang beroperasi di
rantau Asia, tidak lama lagi.
Katanya, Airbus memilih untuk mengadakan usaha sama itu
kerana menyedari potensi yang ada di kalangan lepasan institut kemahiran dan
pusat latihan di bawah MARA, terutama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan
Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL MIAT).
Dapat kepercayaan
“Kita bangga kerana dengan adanya UniKL dan UniKL MIAT,
Malaysia mendapat kepercayaan daripada Airbus untuk membuka hab perkhidmatan
MRO dan melebarkan perniagaan mereka ke sini.
“Kita percaya MARA mampu memenuhi keperluan tenaga kerja
mahir diperlukan oleh Airbus kerana setiap tahun UniKL dan UniKL MIAT
melahirkan kira-kira 400 pekerja mahir dalam pelbagai bidang berkaitan termasuk
mekanikal, MRO, kejuruteraan avionik dan komposit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas
menyampaikan sijil, diploma dan ijazah pertama kepada lebih 800 graduan dalam
pelbagai bidang sempena Majlis Konvokesyen UniKL ke-10 di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Annuar menambah, MARA akan menghantar delegasi diketuai
Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad ke Toulouse, Perancis, pada bulan
depan untuk mengadakan perbincangan dengan Airbus berhubung keperluan dan
syarat yang perlu dipenuhi, sebelum MoU itu ditandatangani kedua-dua pihak.
Adakan perbincangan
“Pemergian mereka (delegasi MARA) ke Perancis harus
diberikan keutamaan selepas Malaysia dipilih sebagai hab perkhidmatan MRO bagi
Airbus di rantau Asia dan ASEAN. Kita harap kita dapat memperincikan keperluan
dan bidang pengkhususan tenaga kerja mahir yang diperlukan oleh Airbus.
“Selepas itu, kita akan mengadakan perbincangan dengan wakil
pelbagai pusat latihan dan kemahiran di bawah MARA bagi mengenal pasti tenaga
kerja mahir serta relevan seperti diperlukan oleh Airbus terutama dalam bidang
MRO, kejuruteraan avionik dan komposit,” katanya
Annuar berkata, MARA juga akan membangunkan taman
perindustrian aeroangkasa pertama di negara ini yang dikenali sebagai 'MARA Edu
Bizz Park' di Subang Jaya, Selangor.
Katanya, taman perindustrian itu yang disasarkan mula
beroperasi pada 2016 menggunakan model gabungan antara perusahaan aeroangkasa
dan institusi pendidikan berkaitan sektor itu.
Apabila beroperasi kelak, ‘MARA Edu Bizz Park’ mampu
menempatkan sehingga 10,000 tenaga kerja terdiri daripada jurutera aeroangkasa,
sekali gus berupaya melonjakkan industri itu ke tahap lebih tinggi di negara
ini. -BH
No comments:
Post a Comment