Tuesday 24 September 2013

MARA Sasar Jualan Kontrak Bernilai RM3.2 Juta Melalui 58 Usahawan Di HALFEST 2013

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan transaksi jualan runcit sebanyak RM600,000 dan potensi jualan kontrak bernilai RM3.2 juta bakal dijana oleh 58 usahawan yang akan menyertai Ekspo Kepenggunaan Halal (HALFEST) 2013 pada 2 hingga 6 Okt ini.

MARA sebagai penganjur bersama untuk tahun ketiga, akan berkolaborasi dengan Shapers Malaysia Sdn Bhd selaku pengurus HALFEST 2013 dalam menganjurkan ekspo ini yang merupakan antara usaha untuk memperkasakan usahawan halal Bumiputera, terutamanya dalam bidang pembuatan dan pengeluaran produk makanan.

Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa berkata berdasarkan penganjuran pada tahun lepas, 16 usahawan MARA dipilih selepas menyertai HALFEST 2012 berjaya mendapat potensi pasaran Halal antarabangsa dengan anggaran berjumlah RM5.1 juta melalui MIHAS 2013, yang merupakan platform pasaran Halal global.

"MARA turut menjangkakan peningkatan jualan bulanan runcit usahawan sebanyak 25 peratus setelah ekspo berakhir berdasarkan kepada aktiviti-aktiviti promosi dan pemasaran produk usahawan, meluaskan pasaran produk, melebarkan jaringan perniagaan, meningkatkan penjenamaan produk dan syarikat usahawan dan memperoleh maklumat terkini mengenai industri Halal," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin

Beliau berkata penyertaan 58 usahawan itu yang dikenal pasti untuk ekspo ini adalah lebih khusus dan menjurus kepada segmen teras industri halal.

Pada tahun ini, MARA memberi tumpuan kepada bidang-bidang halal seperti makanan dan minuman, teknousahawan, busana Muslimah, produk kecantikan, kesihatan dan wangian, usahawan Kompleks Industri Makanan MARA dan Kawasan Industri MARA untuk HALFEST 2013 yang bakal berlangsung di Pusat Pameran MINES, Seri Kembangan, Selangor.

Sepanjang HALFEST 2013, beberapa program akan diadakan di bawah kelolaan MARA, antaranya Klinik Keusahawanan dan Pendidikan; promosi dan pelancaran produk; serta pelbagai hadiah menarik untuk pembeli bertuah.

Platform berkenaan dijangka menarik minat lebih daripada 70,000 pengunjung yang terdiri daripada pengguna Malaysia dan juga usahawan-usahawan Bumiputera dari sektor halal negara, katanya.

Penglibatan MARA sebagai penganjur bersama HALFEST 2013 adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab halal global bagi pengeluaran, perdagangan produk dan pelbagai perkhidmatan berkenaan industri ini.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari www.halal.com.my. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment