Thursday 30 September 2010

Usahawan perlu bijak dapatkan bantuan, bimbingan

RASAH 28 Sept. - Usahawan di negeri ini perlu bijak mendapatkan bantuan dan bimbingan bagi memajukan perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, badan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) merupakan antara organisasi yang mampu membantu golongan tersebut.

"Mereka (usahawan) seharusnya bijak untuk meningkatkan taraf perniagaan mereka dengan mendapatkan khidmat dalam pelbagai aspek termasuk khidmat nasihat, bantuan modal dan sebagainya.

"Ia merupakan salah satu usaha mereka memacu kejayaan, sekali gus mencipta nama dalam dunia perniagaan bukan sahaja di peringkat tempatan, malah di persada antarabangsa," katanya.

Yunus berkata demikian selepas membuat lawatan kerja ke syarikat pengeluar tudung tempatan, Pearl Haya di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah MARA Negeri, Abdullah Muhammad.

Menurutnya, kejayaan perusahaan yang dijalankan syarikat seperti Pearl Haya perlu dijadikan contoh kepada usahawan tempatan yang lain.

"Ini kerana mereka bukan sahaja berupaya memasarkan produk mereka ke seluruh negara, malah ke Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia serta Britain.

"Saya yakin dengan minat, ketekunan serta menggunakan saluran yang tepat, usahawan mampu untuk berjaya dan berkembang dalam apa jua bidang yang diceburi," katanya.

Dalam pada itu, menurut pemilik Pearl Haya, Suriyati Daman, 35, perniagaan tersebut bermula secara kecil-kecilan yang pada asalnya dijalankan di rumah.

"Bagaimanapun, hasil permintaan tinggi, perniagaan ini berjaya dikembangkan. Untuk itu, usahawan perlu bijak untuk mempelbagaikan produk mereka.

"Keistimewaan kain tudung ini adalah reka bentuk serta kombinasi fabrik yang merupakan jenama pertama yang menggunakan fabrik termasuk denim dan kodroi," katanya.

Monday 27 September 2010

Elakkan bazar MARA jadi gajah putih

IPOH 26 Sept. - Peniaga di bandar raya ini meminta Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya segera membuka ruang niaga di Jalan Lahat di sini yang telah siap sejak beberapa bulan lalu.

Selain bagi membolehkan peniaga beroperasi di situ, pembukaan ruang niaga tersebut penting bagi mengelakkan ia digelar projek gajah putih.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati bangunan tersebut yang mempunyai 20 ruang niaga amat berpotensi mendapat sambutan orang ramai.

Bangunan setingkat yang dikenali sebagai D' MARA Bazar Medan Jaya itu sebelum ini menjadi lokasi peniaga bumiputera.

Seorang belia, Siti Balqis Abdul Wahab, 22, berkata, MARA sepatutnya tidak membiarkan bangunan tersebut kosong kerana bimbang boleh menjadi sarang penagih dan kegiatan tidak bermoral lain.

Katanya, bangunan itu sepatutnya sudah dibuka kerana ia telah lama disiapkan sedangkan pembukaan bangunan ini akan membantu peniaga kecil bumiputera.

"Kekurangan ruang niaga di bandar raya ini boleh dimanfaatkan oleh peniaga yang masih tidak memiliki premis perniagaan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Siti Balqis berkata, dia difahamkan bangunan tersebut akan dijadikan pusat perniagaan makanan.

Menurut beliau, peluang itu sepatutnya diberikan kepada peniaga kecil bagi membolehkan mereka dapat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.

Seorang peniaga, Hamidi Hamzah, 40, berkata, MARA perlu memberi peluang kepada peniaga kecil untuk berniaga di situ bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

"Kekurangan ruang perniagaan yang ketara di sini menjadikan peniaga kecil sukar untuk menyewa di bangunan komersial kerana kadar sewa yang tinggi," katanya.

Kata beliau, kemudahan yang ada itu sepatutnya diberikan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan.
Ujar Hamidi, pihaknya bimbang kerana kelewatan membuka ruang niaga tersebut akan menimbulkan kesulitan kepada peniaga yang memerlukan tempat niaga yang lebih selesa.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Cawangan Perak, Abdul Razak Ali ketika dihubungi di sini berkata, pihaknya berharap MARA segera memberi peluang kepada peniaga kecil untuk beroperasi di situ.

Menurutnya, usaha tersebut akan membolehkan peniaga kecil dibantu dalam memastikan taraf hidup mereka ditingkatkan.

"Saya difahamkan MARA sedang membuat pemilihan setelah menerima permohonan daripada peniaga yang berminat," ujarnya.

Permohonan kemasukan ke MRSM dibuka Isnin

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) membuka permohonan bagi kemasukan pelajar tingkatan empat sesi 2011 bermula Isnin ini.

Timbalan Pengarah (Pendidikan) Mara, Ibrahim Ahmad berkata, 3,232 tempat untuk lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dibuka untuk kemasukan tahun depan di 43 buah MRSM di seluruh negara.

"Mulai 27 September ini, pemohon boleh mendapatkan kata laluan bagi mengakses aplikasi permohonan secara online dengan percuma di semua pejabat Mara negeri atau daerah.

"Pemohon hendaklah membawa salinan kad pengenalan, salinan keputusan peperiksaan percubaan PMR 2010 untuk mendapatkan kata laluan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, pemohon mestilah mengisi kesemua maklumat yang diperlukan dalam borang permohonan serta menghantarnya juga menerusi online.

"Tarikh akhir pada 21 Oktober manakala tarikh akhir penghantaran cetakan borang dan dokumen yang berkaitan yang diperlukan bagi kemasukan ke MRSM selewat-lewatnya pada 26 Oktober," katanya.

Bagaimanapun, tawaran kemasukan ke MRSM itu tidak dibuka kepada pelajar yang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI).

Untuk maklumat lanjut mengenai syarat kemasukan, pemohon boleh melayari laman web Mara di alamat http://www.mara.gov.my.

Sementara itu, beliau mengingatkan pelajar supaya membuat permohonan lebih awal dan tidak menunggu sehingga tarikh tutup dikhuatiri akan sesak dan menghadapi kesukaran mengakses borang permohonan.