Monday 12 April 2010

Di Sebalik Daerah Hulu Selangor


HULU SELANGOR, 11 April (Bernama) -- Hulu Selangor mungkin kurang dikenali kalau bukan kerana kedudukan daerah itu yang menjadi penghubung bagi dua destinasi pelancongan terkenal -- Bukit Fraser dan Genting Highlands.

Kedua-dua destinasi pelancongan itu dapat diakses melalui Jalan Kuala Kubu Baru-Bukit Fraser dan Jalan Batang Kali-Genting Highlands, yang juga jalan negeri di daerah itu.

Suatu ketika dulu, Daerah Hulu Selangor pernah dianggap sebagai pekan "mati" ekoran kedudukannya yang jauh dari hiruk-pikuk ibu negara Kuala Lumpur.

Namun begitu, nama nama Kuala Kubu baru yang diabadikan oleh penyanyi Allahyarham Sudirman Haji Arshad menerusi senikata "Kalau pergi Kuala Kubu, tulis nama atas batu... dalam lagu "Joget Kenangan Manis sedikit sebanyak telah mempromosikan nama Kuala Kubu Baru selaku pusat pentadbiran Hulu Selangor.

"Memang orang kenal Kuala Kubu Baru sebab lagu Sudirman," akui Mohan, pemilik rumah rehat Sri Teratai, kira-kira dua kilometer dari Pekan Kuala Kubu Baru di sini.

Baginya lirik "tulis nama atas batu" adalah gambaran penghargaan pengunjung dari luar terhadap Hulu Selangor yang mempunyai air terjun, tasik dan kolam air panas yang masih terpelihara daripada pembangunan.

Kuala Kubu Baru merupakan antara 13 mukim di bawah Daerah Hulu Selangor.

Mukim lain ialah Hulu Bernam, Kalumpang, Sungai Gumut, Sungai Tinggi, Kerling, Ampang Pecah, Buloh Telor, Peretak, Rasa, Batang Kali, Hulu Yam dan Serendah, menjadikan Hulu Selangor kawasan terbesar daripada sembilan daerah di Selangor.

Mengikut sejarah, Daerah Hulu Selangor bermula dengan pemerintahan Inggeris di Kuala Kubu Baru pada 12 Mei 1883, kira-kira sembilan tahun selepas campurtangan British di negeri Selangor.

Ketika pemerintahan British, pentadbiran daerah itu dikenali sebagai "Collector and Magistrate of Ulu Selangor", di mana antara penjawatnya ialah Cecil Ranking dan Mac Carthy iaitu semasa Frank Sweettenham menjadi Residen British di Selangor.

Ketika itu, pentadbiran daerah itu berpusat di Kuala Kubu (lama), kini dikenali sebagai Ampang Pecah, sebelum ia ditukarkan ke Kuala Kubu Baru pada 1 Sept 1930 kerana masalah banjir.

Dengan keluasan 174,047 hektar atau seluas saiz negeri Melaka, kawasan Parlimen Hulu Selangor (P094) adalah kawasan parlimen terluas berbanding 21 kawasan parlimen lain di negeri itu.

Kawasan itu bersempadan dengan tiga negeri iaitu Perak di utara, Pahang di barat dan Kuala Lumpur di selatan selain bersempadan dengan tiga daerah iaitu Sabak Bernam dan Kuala Selangor di timur dan Gombak di selatan.

Namun dalam keluasan itu, jumlah penduduk di daerah itu sekitar 178,500 orang.

Parlimen Hulu Selangor terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) iaitu N05 Hulu Bernam, N06 Kuala Kubu Baru dan N07 Batang Kali.

Dari segi ekonomi, Hulu Selangor dikenali dengan projek meganya seperti kawasan perindustrian Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) di Sungai Choh, Pusat Pengedaran TESCO di Bukit Beruntung, projek perumahan di bandar moden; Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, Sungai Buaya, Serendah, Batang Kali dan Lembah Beringin di Kerling.

Seiring dengan pembangunan negara, pembinaan "inter-change" lebuh raya PLUS di Bukit Beruntung dan Lembah Beringin menambahkan kerancakan pembangunan di kawasan Hulu Selangor.

"Sebab itu ramai orang kerja di KL tinggal di sini. Mereka ikut lebuhraya PLUS atau jalan lama Rawang-Kuala Lumpur," kata peniaga rojak dan cendol warga emas Rahimah Daud Shahid, 62, ketika ditemui di Kuala Kubu Baru.

Hulu Selangor dapat diakses melalui lebuhraya PLUS dan jalan persekutuan Kuala Lumpur-Tanjung Malim selain mempunyai rangkaian jalan negeri seperti Jalan Hulu Yam-Sg Tua, Batang Kali-Genting Highlands, Sungai Tengi-Batang Berjuntai dan Kuala Kubu Baru-Bukit Fraser.

Kawasan itu juga dapat diakses melalui perkhidmatan tren komuter KTM.

Hulu Selangor turut dikenali kerana kehadiran beberapa institusi pendidikan di kawasan itu antaranya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Peretak, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Kuala Kubu Baru, Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin dan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor yang juga sekolah kluster.

Terdapat 13 buah kampung baru di daerah itu antaranya Kampung Baru Dato' Harun di Serendah, Kampung Baru Damai dan Kampung Baru Ulu Yam yang didiami kaum Cina selain kawasan ladang seperti Ladang Lima Belas dan Kerling yang didominasi kaum India.

Kawasan ini juga mempunyai tanah rancangan Felda di Gugusan Felda Sungai Dusun antara lain merangkumi kawasan Felda Soeharto, Gedangsa, Sungai Dusun dan Sungai Tengi selain penempatan orang asli di beberapa tempat tertentu.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment