Friday 30 April 2010

Teruskan projek pembinaan MRSM - Zambry

PADANG RENGAS 29 April - Kerajaan negeri meminta Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya meneruskan segera projek pembinaan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kangsar yang terbengkalai sejak Ogos 2008.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan mana-mana projek pembangunan di negeri ini menjadi 'projek sakit' atau 'gajah putih'.

''Projek ini telah 41 peratus dilaksanakan dan ia terhenti disebabkan kontraktor menarik diri kerana krisis ekonomi pada 2008.

''Krisis ekonomi pada masa itu menyebabkan kos bahan binaan termasuk besi mengalami kenaikan mendadak, kontraktor tidak mampu meneruskan projek dan menyerahkan kembali projek itu kepada kerajaan," katanya pada sidang akhbar di Kampung Paya Lintah dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja meninjau pembangunan di beberapa kawasan di sini dan daerah Kuala Kangsar.

Mengulas lanjut kata Zambry, beliau telah menghubungi MARA dan agensi terbabit memberi jaminan akan memberikan  keutamaan untuk meneruskan projek tersebut dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh    (RMK-10).

''Saya dimaklumkan sebanyak RM103 juta diperlukan untuk pembangunan keseluruhan projek itu termasuk peralatan yang diperlukan," katanya.

Apabila siap, projek yang dimulakan pada 2007 itu, mampu menampung lebih 1,000 pelajar berbanding 700 pelajar sebelum ini.

Sementara itu, Zambry berkata, pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar penting kerana ia merupakan projek berimpak tinggi yang dapat mencetuskan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

''Saya telah melihat perkembangan projek penting ini dan saya dapati semua berjalan lancar dan ia akan siap mengikut jadual," katanya.

Zambry berkata, teknik membuat terowong sepanjang tiga kilometer menggunakan letupan yang terhad sejak awal tahun lalu dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

Projek PLBE sepanjang 329 kilometer dan menelan belanja RM12.485 bilion yang bakal merubah komposisi industri pengangkutan darat di utara Semenanjung Malaysia itu dijadual siap pada Januari 2013.
-Utusan

No comments:

Post a Comment