Tuesday 20 April 2010

60 peratus pelajar KPTM ditaja oleh MARA

KOTA BAHARU 17 April - Kira-kira 60 peratus daripada 12,000 pelajar Kolej Polytech-MARA (KPTM) di seluruh negara mendapat tajaan MARA, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yusoff Harun.

Menurut beliau, pembiayaan pendidikan oleh agensi kerajaan itu terbahagi dalam dua bentuk iaitu pinjaman dan pembiayaan sepenuhnya berdasarkan tahap pencapaian seseorang pelajar dalam pengajian.

"Mereka yang mendapat pencapaian 3.8 atau 4 Peratusan Nilai Gred Purata (PNGK) akan mendapat pembiayaan sebagai biasiswa sepenuhnya, manakala mereka yang mendapat kurang daripada itu akan membayar balik sebagai pinjaman,” katanya yang juga rektor kolej itu di sini hari ini.

Katanya, ini tidak bermakna semua pelajar KPTM diberi pembiayaan pendidikan sepenuhnya walaupun kolej itu adalah anak syarikat MARA dan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLBW).

Beliau berkata, kira-kira 60 peratus daripada sejumlah 12,000 pelajar yang belajar di kolej itu kini dibiayai oleh MARA dan selebihnya mendapat pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan sesetengah ibu bapa pelajar terbabit yang gagal mendapatkan pembiayaan pendidikan MARA selepas penyusunan semula Kementerian dalam kabinet dan MARA tidak lagi diletakkan di bawah Kementerian Perusahaan Awam.

Sehubungan itu, Yusoff meminta orang ramai supaya tidak terkeliru dengan isu berkenaan kerana kerajaan tetap membantu pelajar yang melanjutkan pelajaran di institusi di bawah MARA itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment