Tuesday 27 April 2010

MARA Kedah kutip hutang RM4.79 juta

ALOR SETAR 25 April - Sebanyak RM4.79 juta bayaran balik pinjaman berjaya dikutip oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kedah sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah MARA Negeri, Ahmad Rakhli Hassan berkata, jumlah tersebut melibatkan sebanyak 4,068 peminjam di negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata, sehingga kini terdapat 4,188 peminjam yang mempunyai tunggakan dengan agensi itu yang berjumlah sebanyak RM32.97 juta.

"Pencapaian bayaran balik ini dianggap baik tetapi kita masih berusaha agar lebih ramai peminjam menunaikan tanggung jawab mereka membayar hutang.

"Ini amat penting kerana perolehan daripada bayaran balik itu akan membolehkan MARA memberi pinjaman baru kepada pemohon lain," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Pada masa ini, menurutnya, MARA negeri masih berupaya memberikan pinjaman baru kerana agensi itu mempunyai dana yang cukup.

Meskipun begitu, tambahnya, jika semua peminjam melunaskan pembayaran balik hutang mengikut janji yang telah dipersetujui, sudah tentu MARA akan dapat memainkan peranan membantu usahawan bumiputera dengan lebih cekap dan berkesan.

Ahmad Rakhli memberitahu, secara purata, MARA negeri meluluskan pinjaman kepada kira-kira 20 usahawan melibatkan dana antara RM1 hingga RM2 juta setiap dua minggu.

"Jumlah pinjaman adalah antara RM5,000 dan RM500,000," katanya.

Katanya, MARA Kedah melaksanakan beberapa pendekatan bagi mendapatkan semula hutang yang tertunggak terutama di kalangan usahawan yang liat menunaikan tanggung jawab mereka.

"Apa yang penting, kita mahu setiap peminjam mempunyai kesedaran sendiri dan tampil dengan rela hati melunaskan pinjaman masing-masing," ujarnya.

Beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai rekod pembayaran yang teruk, tindakan undang-undang adalah pilihan utama dalam usaha MARA mendapatkan semula hutang yang tertunggak.

No comments:

Post a Comment