Monday 3 May 2010

MARA Teruskan Projek MRSM Kuala Kangsar Tahun Depan

IPOH, 30 April (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan meneruskan pembinaan projek Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kangsar, yang terbengkalai sejak 2008, pada tahun depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Ibrahim Muhamad berkata MARA akan meneruskan pelaksanaan pembinaan projek itu di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) yang akan bermula pada tahun hadapan.

Beliau berkata demikan dalam satu kenyataan bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Khamis yang meminta MARA supaya meneruskan segera pembinaan MRSM Kuala Kangsar bagi mengelakkan mana-mana projek pembangunan di Perak menjadi 'projek sakit' atau 'gajah putih'.

Ibrahim menjelaskan projek berkenaan tidak dapat ditender semula dalam tempoh RMK-9 kerana kekurangan bajet.

Beliau berkata projek itu telah juga mendapat kelulusan bajet di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua (PRE 2) tetapi ia tidak dapat menampung kos untuk projek itu ditender semula.

Menurutnya projek berkenaan telah ditamatkan kontrak pembinaannya pada 23 Okt 2008 disebabkan kegagalan kontraktor menyiapkan projek mengikut tempoh yang ditetapkan.

"Prestasi fizikal semasa kontrak ditamatkan adalah 41 peratus berbanding jadual asal kontrak 66 peratus dengan kelewatan 206 hari," tambahnya.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment