Wednesday, 5 May 2010

MEB: Peluang ubah Melayu

Oleh DR. MOHD RAPIK SAAT

MEB harus dilihat sebagai satu peluang untuk bangsa Melayu beranjak paradigma atau pemikiran daripada satu bangsa yang mengharapkan bantuan kerajaan dalam pelbagai bidang kepada Melayu yang berdikari, berilmu dan berkeyakinan tinggi untuk menempah kejayaan dalam segala bidang kerjaya atau keusahawanan di peringkat antarabangsa tanpa berharap kepada insentif kerajaan.

Beberapa tahun lalu Datuk Seri Najib Tun Razak buat pertama kali mengutarakan istilah Melayu Glokal, merujuk kepada Melayu yang bersikap dan berdaya saing global tetapi bertunjangkan budaya Melayu dan Islam.

MEB yang diumumkan baru-baru ini bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai ekonomi maju dan berdaya saing, dengan rakyatnya menikmati kualiti hidup dan berpendapatan tinggi hasil pertumbuhan yang terangkum dan mampan. Ketiga-tiga konsep ini sebenarnya amat berhubung-kait. Untuk merealisasikan konsep 1Malaysia dan MEB, Melayu perlu terlebih dahulu menjadi Melayu Glokal.

Berkaitan pelaksanaan MEB yang masih dalam perancangan, terdapat suara-suara yang melahirkan rasa kerisauan mengenai status ketuanan Melayu berikutan perkongsian ekonomi dengan bangsa lain. Beberapa pihak berasa terancam jika jaminan 30 peratus ekuiti Melayu diluputkan.

Mentaliti Melayu sebegini adalah berkaitan dengan kekeliruan konsep "zero-sum game" di mana kita percaya saiz ekonomi adalah mutlak, maka kekayaan dan kemewahan bangsa lain adalah atas kehilangan dan keciciran bangsa Melayu. Sebaliknya, kita harus menyokong agenda-agenda di bawah MEB yang berpotensi untuk memperluaskan saiz ekonomi negara.

Dengan status sekarang, tindakan affirmatif tidak telus mungkin menghadkan saiz ekonomi kita pada kadar, sebagai contoh RM100. 30 peratus daripada RM100 ialah RM30. Tetapi dengan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) di samping tindakan affirmatif yang lebih telus melalui MEB, saiz ekonomi negara perpotensi untuk berkembang dengan lebih maju.

Jika saiz ekonomi meningkat sehingga, sebagai contoh, RM200, 20 peratus ekuiti Melayu sudah berjumlah RM40 - melebihi jumlah kekayaan asal walaupun pada kadar ekuiti yang lebih rendah.

Kesimpulannya, adalah lebih baik untuk kita menghargai usaha dan bersama-sama menggembleng tenaga untuk meningkatkan saiz ekonomi dan kekayaan negara daripada begitu taksub untuk mempertahankan jaminan ekuiti, insentif atau subsidi daripada kerajaan.

Masyarakat Melayu harus bersedia dan menerima dengan hati yang terbuka apabila MEB dibentangkan dengan lebih terperinci pada hujung tahun nanti. Meminjam bicara Datuk Dr. Norraesah Mohamad, kita perlu menilai kemungkinan tanpa jaminan kuota dan ekuiti, Melayu akan menjadi lebih berdaya saing.

Kita akan menjadi lebih bersedia menyahut cabaran untuk menjadi "pemain" yang aktif dalam persekitaran ekonomi pasaran yang baru di Malaysia. Lebih-lebih lagi, kerajaan juga sudah beberapa kali menyatakan nasib golongan yang terpinggir akan terus terbela di bawah MEB.

Kita harus berusaha untuk mengubah nasib kita sendiri dan menerima hakikat bahawa budaya mengharapkan subsidi tidak akan berpanjangan. Sebagai perumpamaan, ubat yang diambil pada kadar minimum yang disarankan dapat membantu memulihkan kesakitan. Tetapi, ubat yang diambil secara berlebihan akan memudaratkan diri dan berkemungkinan menjadikan kita penagih tegar.

Jika kita gagal untuk berubah ketika ekonomi negara masih dalam keadaan baik pada hari ini, esok atau lusa kita mungkin dipaksa oleh arus ekonomi pasaran untuk menerima perubahan dalam keadaan tidak bersedia, ekonomi yang tidak berdaya saing dan terancam untuk terus relevan dalam sistem perdagangan antarabangsa.

Dengan usaha yang terancang, bangsa Melayu akan dapat bersedia untuk menghadapi perubahan dasar ekonomi negara. Tentunya ia bukanlah satu perjalanan yang mudah. Yang pasti, perjuangan kita masih belum selesai!

"Demi sesungguhnya selepas kesulitan pasti ada kemudahan. Selepas kesulitan pasti ada kemudahan" (Al-Insyirah).

Pendekatan progresif untuk persediaan Melayu.

Bagaimanakah bangsa Melayu dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi arus perubahan yang dibawa MEB?

Salah satu cabang Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) adalah untuk mengukuhkan penyampaian pendidikan berkualiti tinggi yang mendorong inovasi dan teknologi. Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menitikberatkan pendidikan awal adalah satu usaha yang sangat baik. Antara lain, khusus untuk melahirkan pelajar Melayu berprestasi tinggi,

1) Program Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) harus digiatkan di semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mempunyai peratusan pelajar Melayu yang tinggi. Pengetua dan guru-guru di SBP dan MRSM boleh diberi kuasa autonomi untuk memilih pelajar dan menggunakan kurikurum inovatif.

Tanggungjawab dan objektif mereka adalah untuk menjana pelajar Melayu yang berprestasi tinggi dalam bidang akademik, keusahawanan, kepimpinan dan sahsiah diri yang dapat memonopoli tawaran biasiswa ke luar negara atau mengikuti pengajian dalam bidang-bidang strategik di dalam negara dari segi merit tanpa memerlukan kuota istimewa.

2) Sistem pendidikan tinggi perlu meningkatkan kebolehpasaran graduan Melayu. Siswazah harus diberi peluang untuk menimba pengalaman bekerja (praktikal training) di syarikat multinasional berkaitan kerajaan (GLC). Siswazah cemerlang dalam program ijazah di institusi dalam negara juga dibolehkan untuk memohon dana pinjaman pendidikan sebanyak RM60-RM70 ribu untuk mengikuti pengajian musim panas selama tiga bulan di universiti terkemuka luar negara untuk memperluaskan perspektif dan menimba pengalaman belajar di persekitaran yang terbaik.

3) Semangat anak Melayu untuk menuntut ilmu juga perlu dibakar di pelbagai peringkat. Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan untuk belajar, tetapi jika anak muda Melayu masih belum dapat memahami kepentingan berilmu, Melayu akan terus berada pada takuk yang sama. Apa yang diperlukan adalah satu gerakan akar-umbi yang radikal untuk membakar semangat generasi muda Melayu untuk keluar daripada kepompong kemalasan dan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ia memerlukan satu program yang sistematik dalam mengenal pasti bakat-bakat muda yang perlu "dikejutkan", pengenalan modul pembelajaran berkesan, dan perkongsian pengalaman dan titian hidup oleh individu Melayu yang telah berjaya.

Pihak media juga dapat memainkan peranan. Ketika berusia belasan tahun, saya pernah terbaca dalam Pancaindera dalam Mingguan Malaysia kisah seorang warga Malaysia di luar negara yang berjaya mendapat Ph.D sebelum berusia 30 tahun. Ini telah sedikit-sebanyak mendorong saya menjejaki langkah beliau. Hari ini, paparan-paparan picisan membuatkan anak muda lebih mengagungkan ikon hiburan dan sukan dari Barat daripada usahawan dan cendekiawan.

4) Insentif berserampang dua mata untuk menggalakkan keluarga Melayu menitikberatkan faktor pendidikan dan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dapat diadakan dengan menawarkan skim bantuan pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) kepada yang berkelayakan berdasarkan nisbah perbelanjaan pendidikan tahunan per pendapatan bersih. Kerajaan akan meminjamkan dana setinggi RM150,000 pada kadar faedah sifar. Individu terpilih perlu membuat bayaran bulanan sebanyak RM50 misalnya untuk menyemai disiplin menabung dan penerima pinjaman akan mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM1,000 sebulan.

Apabila kesemua anak peminjam telah menamatkan pengajian, pendapatan tambahan dan pinjaman akan dihentikan, dan modal asal pinjaman berjumlah RM150,000 akan dipinjamkan kepada individu berkelayakan lain.

PENULIS ialah Pengerusi Kelab UMNO Chicago, Amerika Syarikat

No comments:

Post a Comment