Thursday 6 May 2010

Usahawan Penting Kepada MEB, Kata Mukhriz

KUALA LUMPUR, 5 Mei -- Usahawan tempatan perlu memanfaat sepenuhnya peluang daripada usaha kerajaan dalam memastikan persekitaran perniagan yang kondusif bagi mereka, kerana Model Ekonomi Baru (MEB) bergantung kepada pembukaan pasaran-pasaran baharu oleh sektor swasta.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir hari ini berkata model itu berisiko berdepan kegagalan tanpa penyertaan usahawan.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai sejauh mana relevannya peranan usahawan di bawah MEB.

"Usahawan sangat relevan kepada MEB yakni model itu akan gagal tanpa mereka," katanya pada perbincangan panel yang bertajuk Usahawan Dan Wawasan 20/20 Mereka, bersempena dengan Anugerah Usahawan Terbaik Ernst&Young Tahun ini.

"Usaha memacu ekonomi perlu dilakukan dengan sektor swasta kerana kami memerlukan mereka untuk membuka pasaran-pasaran baharu manakala kerajaan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi mereka," katanya.

Bagi bahagiannya, kerajaan sedang meneliti pusingan kedua liberalisasi, penswastaan seterusnya serta melibatkan diri dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA).

"Kami sedang meneliti gelombang kedua liberalisasi bagi lebih banyak sektor impak tinggi. Kami sedang berbincang dengan persatuan dan dewan perniagaan mengenai sektor mana yang lebih penting yang perlu diliberalisasikan untuk membukakan pasaran tempatan," katanya.

Mukhriz berkata Malaysia mendapat faedah daripada FTA dengan hasilnya negara sentiasa memperoleh lebihan perdagangan daripada perjanjian dua hala atau pelbagai hala tertentu.

"Anda boleh lihat jumlah perdagangan, di mana kita mempunyai FTA, telah berkembang dengan pesat," katanya.

Beliau berkata Malaysia juga giat meneruskan Perkongsian Trans-Pasifik dengan AS, Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura dan juga berharap dapat memuktamadkan FTA dengan India menjelang akhir tahun ini.

Mengenai perkembangan lain, Mukhriz berkata kerajaan sedang berusaha untuk menyamaratakan nisbah antara pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) masing-masing kepada 50-50 peratus, daripada 70-30 peratus sekarang.

Beliau berkata ini kerana peserta utama tempatan merasakan mereka tidak menerima insentif yang sama seperti peserta asing dan telah membuat pelaburan mereka di tempat lain.

Meskipun, peserta tempatan digalakkan untuk meneroka ke luar negara dengan sasaran membawa pulang pendapatan dalam Pelan Induk Perindustrian 3, kerajaan kini berusaha untuk menyediakan insentif yang lebih baik untuk menggalakkan DDI.

Negara tidak mahu terlalu bergantung kepada industri berintensifkan buruh untuk menjadi sebuah negara pendapatan tinggi, katanya.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment