Thursday 27 May 2010

MARA teliti semula


Pelajar cemerlang keturunan Siam. (Dari kiri) Syalit Keowmani, Vicsofee Sukahut, Maleewan, Sukeht, Elicesa Lalitta dan Phisnukh Uttraphan.

KULIM 26 Mei - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan bekerjasama dengan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk meneliti semula permohonan pelajar berketurunan Siam yang gagal mendapat tempat di universiti meskipun memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, MARA sedia berbuat demikian bagi mengelakkan pelajar cemerlang itu terus tercicir daripada meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Kita akan teliti semula kes ini bagi memastikan mereka yang cemerlang tidak tercicir. Kita kena tengok dahulu sama ada terdapat unsur kesilapan teknikal atau sebagainya.

"Jika tiada masalah, pelajar terbabit akan ditempatkan di pusat pengajian yang bersesuaian," katanya selepas melancarkan sistem pengurusan Perpustakaan Al-Hambra, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) di sini hari ini.

Beliau mengulas tulisan Zaini Hassan dalam kolum Cuit hari ini yang memaparkan keluhan pelajar keturunan Siam yang tidak mendapat tempat di IPTA walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2009.

Pelajar berkenaan ialah Vicsofee Sukahut a/p Som yang memperoleh 8A 1B dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Darul Aman; Sukeht a/p Thavil (10A-Maktab Rendah Sains MARA Kubang Pasu) dan Maneewan a/p Perashot (9A 1B dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mohd. Jiwa, Sungai Petani).

Turut lulus cemerlang ialah Elicesa Lalitta a/p Ea Chuan (6A 2B 3C dari SMK Tumpat, Kelantan) dan Syalit Keowmani a/l Eh Sau (7A 2B- SM Sains Pokok Sena, Kedah).

Selain itu, turut tercicir dan gagal mendapat sebarang tempat di IPTA ialah antara pelajar paling cemerlang Maktab Sultan Ismail Kota Bharu yang memperoleh 11A dalam SPM 2007 iaitu Phisnukh Uttraphan a/l Pim.

Menurut Idris, kejadian pelajar cemerlang gagal mendapat tempat ke IPTA merupakan satu perkara yang amat merugikan dan memberi kesan kepada pembangunan pendidikan di negara ini pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, mereka yang benar-benar layak untuk meneruskan pengajian gagal mendapat tempat, sebaliknya ia diperuntukkan kepada pelajar kurang cemerlang yang mungkin kurang berupaya untuk mencipta kecemerlangan dalam pengajian mereka.

No comments:

Post a Comment