Wednesday 12 May 2010

Sembilan Pelajar Malaysia Pamer Inovasi Pada Pameran Sains Di California

KUALA LUMPUR, 11 Mei -- Sembilan pelajar Malaysia adalah antara 1,611 pelajar dari 59 negara yang mempamerkan inovasi hasil daripada projek penyelidikan mereka pada Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa Intel 2010 di San Jose, California bermula Isnin.

Pengurus Negara Intel Malaysia Ryaz Patel berkata pada pameran selama seminggu itu, pelajar berkenaan akan berkongsi idea, mempamerkan inovasi dan bersaing bagi mendapatkan pengiktirfan antarabangsa dan hadiah wang tunai lebih US$4 juta ditawarkan pada pertandingan sains prakolej terbesar di dunia itu.

"Kami komited untuk memacu dan menambahbaik pendidikan di Malaysia melalui penyertaan aktif dalam program pendidikan dan akses teknologi untuk memberi inspirasi kepada bakal pencipta dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan modal insan di Malaysia," kata Patel dalam kenyataan di sini hari Selasa.

Beliau berkata projek dari pelajar Malaysia termasuk kaedah baru untuk rawatan ketidaksuburan oleh Muhammad Adib Abas dari Sekolah Menengah Sains Sultan Muhammad Jiwa dan kipas yang berpotensi mengurangkan jumlah penggunaan elektrik oleh Muhammad Farid Khosim, Amirul Mustaqim Roslee dan Raja Muhammad Saifullah Raja Omar dari Maktab Rendah Sains MARA Taiping.

Patel berkata projek penyelidikan lain daripada peserta dari seluruh dunia itu termasuk topik mengenai perubahan iklim, tenaga bersih, autisme, kanser, pembaharuan pendidikan, angkasa lepas dan robotik.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment