Tuesday 18 May 2010

Kerajaan Disaran Transformasi MARA Untuk Kembali Hak Usahawan Melayu

KUALA LUMPUR, 14 Mei -- Kerajaan disaran supaya memperkasa peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan membentuk badan itu menjadi sebuah agensi kerajaan yang unggul dalam usaha meningkatkan kedudukan serta hak usahawan Melayu.

Fellow Kanan Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Salleh Majid berkata MARA perlu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan diberikan peranan, kuasa serta peruntukan kewangan yang besar dalam mengembalikan hak usahawan Melayu serta meningkatkan peranan mereka dalam gagasan 1Malaysia.

"Badan ini harus diperkasa dengan kuasa dan tanggungjawab meneliti masalah yang dihadapi usahawan Melayu dan mampu bertindak menyelesaikannya," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Hak dan Peranan Usahawan Melayu Dalam Gagasan 1Malaysia pada Konvensyen Usahawan Melayu 2010 di sini.

Salleh berkata selepas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dimansuhkan dan jabatan-jabatan di bawahnya dibahagikan kepada lapan kementerian, usahawan Melayu berasa kehilangan tempat bergantung.

Beliau berkata malah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, usaha mewujudkan Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Bumiputera dilihat tidak disusuli.

Salleh turut menyentuh mengenai kesukaran usahawan Melayu untuk mendapatkan bantuan kewangan tanpa sebarang 'kabel' atau hubungan yang rapat dengan pegawai atasan bank.

"Kepada yang mempunyai hubungan, memadai dengan satu panggilan telefon kepada CEO bank, tetapi kepada yang baru hendak merangkak, mereka perlu menyediakan kertas kajian kesesuaian dan cagaran," katanya.

"Kalau hanya bermodalkan pengetahuan, maaf tiada tempat bagi si pemohon. Jadi terdapat perbezaan di antara apa yang diseru kerajaan dengan institusi pelaksana," tambahnya.

Salleh berkata usahawan Melayu perlu mengikis sikap jatuh menjatuhkan sesama mereka, dan sebaliknya menyemai sikap saling membantu, manakala yang sudah berjaya perlu memainkan peranan membantu mereka yang lain.

Katanya memandangkan sebahagian besar usahawan Melayu peniaga kecil, adalah penting bagi mereka untuk mewujudkan rangkaian kerja di kalangan mereka supaya mendapat manfaat dalam pelbagai aspek perniagaan seperti mengenal pasti peluang perniagaan, mempertingkatkan ilmu pengetahuan, membantu menyelesaikan masalah sesama usahawan dan bergerak dalam suatu kelompok yang jitu.

Saranan serupa turut diutarakan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airline Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang berpendapat bahawa campurtangan langsung kerajaan khususnya melalui Mara dalam industri perdagangan sangat relevan dalam usaha mengatasi masalah jurang perbezaan antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk "Tanggungjawab dan Peranan Kerajaan dalam Pembangunan Usahawan Melayu dan Cadangan Penubuhan National Employment Institute" berkata, Akta MARA 1966 wajar dilihat semula sebagai landasan untuk orang Melayu menebus cabaran yang mereka hadapi dalam dunia perniagaan dan perindustrian.

Katanya tanpa campur tangan kerajaan, adalah sukar untuk membangunkan tanah-tanah tersebut bagi tujuan komersial, perindustrian mahupun perumahan.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment