Friday 21 May 2010

Mara peruntuk RM6.6 juta bantu rakyat miskin Kelantan

GUA MUSANG: Dalam mencapai matlamat membasmi kemiskinan sehingga hujung tahun ini di Kelantan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sebanyak RM6.6 juta untuk pembangunan rakyat miskin di negeri ini.

Pengarah MARA Kelantan, Abdul Rahim Taha, berkata MARA menyalurkan peruntukan itu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi merealisasikan hasrat kerajaan Pusat untuk menghapuskan kemiskinan menjelang penghujung 2010. Beliau berkata, sejak 2009 menerusi peruntukan program Giat Dekat Rakyat, seramai 1,596 penduduk telah menerima manfaatnya melalui program latihan kemahiran vokasional dan bantuan lain. "Seramai 1,500 daripada mereka mendapat latihan kemahiran sementara 96 pula menerima peruntukan untuk membaiki rumah," katanya kepada pemberita selepas majlis menyampaikan bantuan peralatan mesin jahit dan ketuhar kepada peserta yang tamat menjalani latihan kemahiran di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, untuk peruntukan membaiki rumah, penduduk miskin yang terpilih akan menerima sekitar RM5,000 hingga RM8,000 dan tahun ini sebanyak RM616,000 peruntukan disalurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenalpasti dua rumah untuk diperbaiki di setiap Parlimen membabitkan kos sehingga RM11,000 dan sehingga kini 28 rumah telah dikenal pasti.

Katanya, bagi latihan kemahiran pula, peserta yang selesai menjalani kursus dalam bidang kemahiran masing-masing akan menerima bantuan peralatan untuk membolehkan mereka menjadikan kemahiran diperolehi sebagai mata pencarian.

"Bagi peserta yang mengikuti latihan jahitan, akan diberikan mesin jahit, peserta jahitan manik pula akan menerima manik serta peserta kursus membuat kek dan pastri pula akan menerima oven dan juga mesin pengadun kek sebagai modal memulakan perniagaan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment