Friday 21 May 2010

Meja makan sasaran iklan


JOHOR BAHRU 19 Mei - Sedar atau tidak bahawa meja makan yang anda gunakan di sesetengah restoran atau gerai makan bukan lagi untuk tujuan menikmati juadah semata-mata.

Ini kerana dengan daya kreativiti dan inovasi, meja makan kini turut dijadikan bahan pengiklanan berkesan untuk memasarkan produk.

Pengiklanan meja adalah trend serta kaedah terbaru yang popular di negara maju dan kini kian berkembang di negara ini untuk mempromosikan sesuatu produk dan perkhidmatan secara lebih tersusun, kemas dan menarik.

Kaedahnya ialah melekatkan iklan dengan grafik dan warna menarik di atas permukaan meja makan di restoran dan gerai yang menjadi tumpuan orang ramai.

Ia juga memberi keselesaan kepada pelanggan untuk membaca dan mendapatkan maklumat tanpa sebarang paksaan atau tekanan sambil menunggu pesanan atau sambil menikmati juadah.

"Sebenarnya, kaedah pengiklanan meja adalah jauh lebih murah dan amat berkesan," kata Mohd. Nazarul Hazim Naem (gambar) yang merupakan Pengurus Wilayah Selatan Endless Ads Marketing Sdn. Bhd. (EAM) di Taman Molek, di sini baru-baru ini.

Sebab itu syarikat pemasaran bumiputera itu memberi fokus untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan barangan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) milik bumiputera.

Katanya, perniagaannya itu bukan semata-mata mencari keuntungan tetapi mempunyai objektif murni untuk membantu golongan bumiputera memasarkan produk mereka.

Lebih-lebih lagi menurutnya, kebanyakan agensi pengiklan biasanya mengenakan kos yang mahal sedangkan peniaga IKS bumiputera mempunyai modal kecil.

Usaha syarikat itu diiktiraf kerajaan apabila AEM memeterai kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mengiklankan produk-produk IKS di meja-meja beberapa medan selera MARA di negeri ini baru-baru ini.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek.

Mengulas lanjut Mohd. Nazarul berkata, syarikatnya menyasarkan untuk mempromosikan sebanyak mungkin produk IKS bumiputera sebagai salah satu cara membantu golongan itu memasarkan produk dengan cara lebih murah.

Contohnya kata beliau, kos iklan hanya 0.02 sen untuk seorang pemerhati iklan bagi satu ruangan meja berukuran 16 X 12 sentimeter atau 32 X 24 sentimeter di atas permukaan meja berukuran 5 X 10 sentimeter.

Menurutnya, iklan-iklan tersebut diletakkan di meja-meja restoran atau kedai makan yang mempunyai ramai pengunjung bagi membolehkan antara 28,000 orang pelanggan dapat membaca iklan itu dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, sejak bekerjasama dengan MARA, sambutan terhadap EAM semakin menggalakkan daripada usahawan bumiputera dalam mengiklankan produk mereka.

Walaupun baru enam bulan beroperasi jelasnya, sebanyak 12 syarikat telah menjadi pelanggan iaitu sebagai pengiklan utama dengan lebih 70 iklan meja ditempatkan di sesebuah lokasi strategik.

Menurutnya, pihaknya akan menjalinkan lebih banyak hubungan dengan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu mengiklankan produk bumiputera.

"Iklan ini semakin diminati kerana orang ramai boleh membaca iklan di atas meja mereka dengan selesa sambil menunggu pesanan makanan atau sambil menikmati juadah," katanya.

Justeru, beliau yakin syarikatnya dapat mencapai sasaran pendapatan RM1 juta dalam tempoh setahun menerusi iklan tersebut ekoran sambutan menggalakkan daripada para pelanggan.

"Sasaran itu sekali gus membolehkan kami menguasai 70 peratus pasaran iklan permukaan meja di daerah ini yang dijangka membabitkan lebih 100 restoran dan kedai makan," katanya.

Setakat ini jelasnya, iklan meja oleh syarikatnya banyak mempromosikan barangan seperti produk herba, minuman dan makanan serta produk dan perkhidmatan pengusaha IKS.

Katanya, antara lokasi iklan itu ialah Medan Selesa MARA di Plaza Larkin, Medan Selera Tepian Tebrau, Medan Selera Stulang Laut dan Medan Selera Jalan Datin Halimah di sini.

Menurutnya, terdapat permintaan untuk mengembangkan kaedah pengiklanan itu ke daerah lain, namun buat masa ini syarikatnya hanya mahu memberi tumpuan di bandar raya ini sahaja.

"Kaedah pengiklanan ini setakat ini tiada saingan di sini kerana yang ada hanya kaedah pengiklanan syarikat-syarikat gergasi dengan harga yang mahal.

"Sebaliknya kami menyediakan iklan murah kerana satu meja terdapat empat iklan berlainan untuk syarikat IKS berbeza, maka bayaran untuk iklan adalah murah dan mampu dilanggan oleh syarikat bumiputera," katanya sambil menambah kaedah iklan di meja makan seperti itu sudah tidak asing lagi di sekitar Lembah Klang.

1 comment:

  1. Salam, sila lihat disini Perasmian Iklan dgn Kerjasama MARA Johor. Klik di sini-> http://www.facebook.com/album.php?aid=12642&id=125065597526511
    Pihak kami mengalu-alukan sebarang bentuk usahasama dr pihak tuan.

    ReplyDelete