KUALA LUMPUR, 6 Mei -- Keupayaan daya saing orang Melayu perlu diperkukuhkan lagi melalui perubahan minda dan sikap supaya mereka dapat bersaing dengan bangsa lain di persada antarabangsa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata dengan cara ini, maka orang Melayu akan lebih yakin untuk bersaing di persada antarabangsa.
"Sebab itulah walaupun apa yang disebutkan sebagai tindakan afirmatif masih kita kekalkan tapi pendekatan kita...kita akan ubah supaya kita membantu orang Melayu yang ada potensi untuk mara ke hadapan.
"Dalam ertikata mereka telah diuji terlebih dahulu...mereka sudahpun terbukti kemampuannya dan kerajaan membantu mereka untuk mencapai kejayaan yang lebih besar," katanya dalam rakaman video You Tube melalui laman web www.1Malaysia.com.my beliau dalam menjawab satu soalan mengenai memperkasa minda Melayu.
Dalam konteks ini Najib berkata, umpamanya kalau syarikat orang Melayu sudah berjaya, maka kerajaan hendak menjadikan syarikat berkenaan itu berjaya di peringkat rantau ini sebagai "juara serantau" dan kemudiannya sebagai "juara global" dan sebagainya.
Najib berkata pendekatan ini juga bererti bahawa dalam persaingan sesama Bumiputera, kerajaan akan memilih mereka berdasarkan pada merit.
"Jadi kalau kita guna kriteria tersebut (yang) lebih kepada kriteria berdasar kemampuan dan merit, saya percaya kita akan dapat ketengahkan Bumiputera yang lebih berjaya kerana kita telah memilih mereka yang sudahpun terbukti memperlihatkan kemampuan bersaing di peringkat dunia sekalipun.
"Jadi sebab itulah kita akan teruskan tindakan afirmatif tapi kita akan buat pendekatan yang lebih mesra pasaran...lebih berdasarkan merit dan juga lebih kepada mereka yang benar-benar perlu diberi bantuan," kata Najib.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment