Monday 10 May 2010

Albakri Alias Pekerja Cemerlang 2010

KUALA LUMPUR, 8 Mei -- Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Institut Kemahiran MARA Lumut, Albakri Alias pada Sabtu dipilih sebagai penerima Anugerah Pekerja Cemerlang 2010 sempena Perhimpunan Hari Pekerja 2010 di sini.

Anugerah itu adalah antara sembilan kategori anugerah yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan kira-kira 8,000 warga pekerja awam dan sektor swasta sebagai mengiktiraf sumbangan mereka dalam perkhidmatan.

Albakri, yang memperoleh pendidikan di Britain, merupakan pakar dalam bidang bangunan dan pembinaan dan aktif dalam persatuan.

Sementara itu, guru Komputer di Persatuan Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang Teh Kar Wei pula menerima Anugerah Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) Cemerlang (Penerima Pertama), Eksekutif Bank Rakyat Norlita Hanim Md Taha (penerima kedua Anugerah Pekerja OKU Cemerlang) manakala Pembantu Penguatkuasaan di Majlis Bandaraya Johor Baharu, Subhi Saad (penerima ketiga Anugerah Pekerja OKU Cemerlang).

Anugerah Majikan Prihatin (syarikat besar) dimenangi Telekom Malaysia Berhad dan Anugerah Majikan Prihatin (Enterpris Kecil dan Sederhana) kepada MM Vitaoils Sdn Bhd yang beroperasi di Shah Alam.

Selain itu, Anugerah Majikan Berdaya Saing (syarikat besar) kepada Proton Holdings Bhd, Anugerah Majikan Berdaya Saing (Enterpris Kecil dan Sederhana) kepada Polydamic Holdings Sdn Bhd, Ipoh.

Anugerah Ladang Bahagia yang pertama kali diperkenalkan dimenangi Ladang Tanah Merah, Port Dickson, Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh (sektor awam) kepada Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Kementerian Pendidikan Semenanjung Malaysia, manakala Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh (sektor swasta) kepada Kesatuan Pekerja-pekerja Penang Port Sdn Bhd.

Perhimpunan Hari Pekerja bertema "Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi" diserikan dengan persembahan Badan Kesenian Tentera Darat dan artis residen, koir Kementerian Sumber Manusia serta lafaz ikrar Hari Pekerja.

Dalam ucapannya, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata kerajaan amat prihatin dengan gaji rendah di beberapa sektor tertentu dimana terdapat antara 30 peratus hingga 40 peratus kelas pekerja yang masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Kerajaan mahu gaji di dalam sektor-sektor ini ditingkatkan dan untuk itu memperkenalkan Model Ekonomi Baru untuk memberi faedah kepada pekerja dan memastikan negara terus berdaya saing, katanya.

Dr Subramaniam berkata kerajaan juga mengkaji kemungkinan mewujudkan skim-skim baru berkaitan perlindungan keselamatan sosial bagi memastikan kesejahteraan pekerja dan tanggungannya lebih terjamin.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment