Mara keluar pinjaman RM30 juta 
Salemi melihat sijil penyertaan peserta kursus membuat kek dan pastri.


KUANTAN - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan pinjaman sebanyak RM30 juta tahun lalu membabitkan 400 peminjam usahawan Bumiputera di negeri ini yang terbabit dalam pelbagai jenis perniagaan.

Pengarahnya, Salemi Yusoff berkata, antara usahawan yang menikmati kemudahan pembiayaan itu adalah mereka yang terbabit dalam perniagaan binaan kelas F, pekedai, perkhidmatan dan pembuatan.

Menurutnya, pinjaman antara RM10,000 hingga RM500,000 diberikan kepada pemohon yang mematuhi syarat seperti berdaftar dengan MARA, selain memiliki sijil kursus berkaitan perniagaan yang diusahakan.

“Usahawan Bumiputeratiada alasan untuk tidak berjaya dalam bidang perniagaan kerana pelbagai bantuan dan kemudahan disediakan agensi kerajaan terutama Mara, termasuk kursus kemahiran.

“Kita juga turut menyediakan kemudahan kredit untuk mengembangkan perniagaan termasuk menyiapkan projek yang diterima,” katanya dalam majlis penutup kursus kek dan pastri, di sini. Turut hadir, Pegawai MARA Daerah, Hazliana Sulaiman.

Salemi berkata, MARA akan menganjurkan lebih banyak kursus kemahiran untuk memberi lebih peluang kepada masyarakat menimba kemahiran, seterusnya terbabit dalam bidang perniagaan.
 
Katanya, kursus membuat kek dan pastri yang dianjurkan diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada peserta terlibat dalam perniagaan itu yang kurang diceburi kaum Bumiputera. “Mereka digalakkan membuka kedai atau sekurang-kurangnya sebagai pembekal kek dan pastri di rumah. Dengan cara itu dapat menambahkan lagi pendapatan keluarga,” katanya.

Seramai 25 peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan, pengusaha kedai kek dan usahawan menyertai kursus empat hari itu yang dikendalikan chef Liza Zainol.

Seorang peserta, Siti Hadzrah Mohd Yusof, 58, berkata, kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus itu membuka peluang kepadanya membesarkan perniagaan kek dan pastri yang diusahakannya. 

“Saya bercadang membuka kedai kek dan pastri selepas perniagaan yang diusahakan secara sambilan di rumah mendapat permintaan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.