aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN
KRU (dari kanan) Yusry, Edry dan Norman sewaktu di awal pembabitan mereka dalam bidang seni 20 tahun lalu.
ADIK beradik KRU ini sudah merasai pelbagai sepak terajang dalam dunia seni tempatan. Pernah mengecapi kemuncak populariti, juga pernah menangis kerana digam daripada meneruskan konsert jelajah mereka kerana dikatakan menyumbang kepada masalah sosial.
Namun, jatuh bangun mereka di bidang seni tidak pernah melemahkan semangat Norman, Yusry dan Edry, malah jenama mereka terus mekar dan bercambah dari semasa ke semasa.
Terkini, setelah berjaya membina empayar perniagaan dalam bidang muzik dan perfileman tanah air, mereka melangkah setapak lagi dengan menubuhkan sebuah akademi.
KRU Academy yang terletak di Cyberjaya merupakan teras baru perniagaan mereka yang bakal melatih tenaga kerja dalam bidang animasi dan kesan khas visual pada masa depan.
Akan memulakan sesi pengajian pertama pada 2 Julai ini, buat permulaan KRU Academy menawarkan tiga pengajian iaitu dalam bidang animasi 2D, animasi 3D dan kesan khas visual.
Menurut Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim, program latihan dalam peringkat sijil itu akan dijalankan selama enam bulan.
"Untuk peringkat permulaan kami akan mengambil seramai 30 hingga 70 pelajar selain lapan tenaga pengajar sepenuh masa akan ditempatkan di akademi ini selain beberapa tenaga pengajar sambilan dari MMU (Multimedia University).
"Buat masa ini kami akan menggunakan bangunan MSC Malaysia K-Workers Developement Centre di Cyberjaya sebagai tempat pembelajaran sesi pengajian sebelum kami mencari tempat lain yang sebagai kampus utamanya kelak. Terdapat tiga makmal untuk kemudahan pelajar di sini.
"Dengan yuran sebanyak RM8,000 untuk pengajian selama enam bulan itu ia antara kursus yang termurah ditawarkan di negara ini dan juga di luar negara.
"Selepas tamat pengajian KRU Academy akan mengeluarkan Sijil Kemahiran Malaysia yang diiktiraf Jabatan Sumber Manusia," jelasnya.
Jelas abang sulung adik beradik KRU ini, penubuhan KRU Academy itu antara lain bertujuan melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang perfileman terutamanya animasi.
Katanya, tenaga kerja yang bakal dilahirkan melalui akademi itu dijangka mampu memenuhi ruang kekosongan tenaga kerja di KRU Studios.
Tenaga kerja yang akan dilahirkan kelak juga ujar Norman, secara tidak langsung boleh disalurkan kepada syarikat-syarikat produksi serta stesen-stesen penyiaran tempatan yang memerlukannya pada masa depan.
Ia juga bertujuan mengelakkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dalam bidang tersebut.
"Dengan adanya KRU Academy ini, kami sasarkan dapat melahirkan tenaga kerja khusus dalam bidang animasi 2D dan 3D serta kesan khas visual sekurang-kurangnya seramai 500 orang menjelang tahun 2015 dan seramai 1,000 orang lagi pada 2020 untuk keperluan bidang perfileman tempatan.
"Selama ini bidang perfileman dan animasi tempatan kekurangan tenaga kerja. Malah 30 peratus daripada tenaga kerja di KRU Studios adalah pekerja asing yang kebanyakannya dari Amerika Syarikat, India dan Indonesia. Kami harap akademi ini salah satu jalan penyelesaiannya.
"Setakat ini, kami telah menerima sekitar 200 permohonan untuk mengikuti pengajian di sini. Pengambilan pelajar baru akan diadakan setiap Januari, April, Julai dan Oktober setiap tahun. Selain kampus dan makmal, asrama untuk pelajar juga akan disediakan," katanya.
Bagi memantapkan lagi operasinya, akademi itu telah melantik enam orang panel penasihat terdiri daripada Presiden & Pengarah Urusan Asia Pacific Motion Pictures Association, Michael C. Ellis dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Toon Boom Animation, Joan Vogelesang.
Turut serta dalam panel itu ialah Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Kanan Rhythm & Blues Malaysia, Hasnul Hadi.
Enam panel penasihat itu kata Norman, diambil berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang masing-masing. Mereka akan memberi pandangan dan tunjuk ajar bagi memastikan perjalanan operasi akademi itu berjalan dengan lancar berdasarkan keperluan semasa.
"Kami amat berhati-hati dalam soal pengambilan pelajar. Kalau boleh kami tidak mahu terlalu ramai pelajar dan hanya mereka yang berbakat sahaja diambil menyertai akademi ini. Kami tidak terlalu menitikberatkan soal latar belakang akademi kerana yang penting adalah bakat pelajar dalam bidang ini.
"Kalau kami ambil terlalu ramai pelajar takut nanti apabila habis belajar peluang pekerjaan tidak mencukupi untuk menampung lulusan akademi ini.
"Setiap tenaga kerja dan panel terbabit akan menyumbangkan pengalaman mereka mengikut bidang kepakaran masing-masing.
"Datin Paduka Shuhaimi misalnya, akan menyumbangkan pengalamannya dalam bidang pengarahan filem. Usaha ini juga banyak dibantu oleh pelbagai agensi kerajaan seperti MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan MDeC (Perbadanan Pembangunan Multimedia)," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment