Monday, 18 June 2012

5 kolej dikesan salah guna logo MARA


BERA - Sekurang-kurangnya lima kolej swasta di negeri ini didapati menyalahgunakan logo Majlis Amanah Rakyat (MARA) semata-mata untuk menarik perhatian pelajar menerima tawaran mereka.

Pengarah Kanan Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, Azmi Mohamad berkata, jumlah itu hanya sebahagian dapat dikesan MARA.

Menurutnya, penyalahgunaan itu dikesan apabila mendapati logo MARA digunakan tanpa kebenaran pada setiap paparan iklan.

“Bagi kes seumpama itu, kita akan menghubungi polis untuk tindakan undang-undang kerana hanya MARA boleh menggunakan logo tersebut bagi mengiklankan sebarang tawaran pendidikan kolej berdaftar dengan agensi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Jelajah Pendidikan MARA Daerah Bera, Moh Kita Mara 2.0 di Kompleks Rakan Muda dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Guai, Norol Azali Sulaiman. Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Mohd Fadil Osman.

Azmi berkata, sebanyak 162 kolej swasta berdaftar dan bekerjasama dengan MARA untuk menguruskan pembiayaan biasiswa setakat ini, justeru pelajar yang menerima tawaran dari mana-mana kolej swasta perlu memastikan kolej terbabit berdaftar dengan MARA.

“Ada kes di mana ibu bapa menuntut pembiayaan atau penajaan daripada MARA selepas anak mereka memasuki kolej swasta, sedangkan institusi itu tidak pernah berdaftar dengan MARA,” katanya.

Menurutnya, pelajar dan ibu bapa perlu peka dengan perkara itu dan mereka dinasihati membuat semakan status kolej melalui Pejabat MARA Daerah atau melayari laman web disediakan.

No comments:

Post a Comment