Tuesday 31 January 2012

Keluarga miskin gembira kerajaan bantu baiki rumah

ALOR GAJAH 29 Jan. - Kedatangan tahun 2012 memberi sinar kepada dua keluarga berpendapatan rendah apabila masing-masing menerima bantuan membaiki rumah mereka yang daif.

Menerusi Program Bantuan Rumah (PBR) 2011 Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, kini keluarga terbabit mampu mengukir senyum, selesa dengan rumah yang telah dibaik pulih itu.

Bagi pasangan Din Yassin, 87, dan isterinya, Rabiah Dollah, 77, yang tinggal di Batu 24, Kampung Ayer Paabas, di sini berkata, mereka amat berterima kasih dengan bantuan membaiki rumah tersebut.

"Kami lega atas keprihatinan kerajaan kerana menyalurkan bantuan untuk membaiki rumah saya. Kini kami hidup cukup selesa dan tenang tanpa perlu risau atap bocor apabila setiap kali hujan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Lebih mengejutkan kedua-dua warga emas itu apabila Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membuat lawatan dan menikmati makan tengah hari di rumah mereka.

Peruntukan sebanyak RM9,541 adalah untuk membaikpulih atap, dinding dan lantai milik rumah Din yang juga bekas anggota polis yang bertugas sewaktu peristiwa hitam Bukit Kepong pada 1950 itu.

Bagi suri rumah, Tuyah Sulai yang tinggal di Kampung Jelatang, di sini melahirkan rasa syukur apabila kerajaan sanggup membaiki rumah yang didiami sejak 25 tahun itu.

"Kini saya dan suami serta tujuh orang anak dapat hidup selesa. Jika sebelum ini rumah bocor setiap kali hujan, tetapi kini tidak lagi. Saya amat berterima kasih kepada kerajaan," katanya.

Rumah yang didiami Tuyah mengalami kebocoran atap dan lantai dan dibaiki menerusi peruntukan sebanyak RM10,649 dengan kerjasama GiatMARA.

Tuyah turut melahirkan rasa terharu dengan kunjungan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga sudi menikmati hidangan di rumahnya.

"Saya tidak sangka menerima kunjungan seorang menteri yang sebelum ini hanya tengoknya di televisyen," ujarnya.

Pelajar cemerlang SKBTK kongsi rahsia kejayaan

HULU LANGAT 29 Jan. - Seramai 20 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma kembali ke sekolah mereka baru-baru ini untuk berkongsi resipi kejayaan bersama-sama 320 calon yang bakal menduduki peperiksaan tersebut tahun ini.

Selain taklimat motivasi, kumpulan terbabit turut menjayakan siri latihan dalam kumpulan (LDK) sebagai sebahagian Program Motivasi Jati Diri anjuran sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Seorang pelajar cemerlang terbabit, Siti Norsarah Suhaimi, 16, berkata, dia teruja diberi peluang untuk berkongsi kejayaan bersama murid lain dan menyifatkannya sebagai satu penghargaan yang besar.

Dia yang kini belajar di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban berkata, rahsia kejayaannya ialah fokus di dalam kelas dan sentiasa melakukan ulang kaji untuk menguji kemampuan diri.

Seorang lagi bekas pelajar, Muhammad Mirza Hikarl Nor Azman, 15, berkata, kehadirannya adalah bagi membalas budi sekolah berkenaan yang pernah mendidiknya.

Dia yang kini belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang berkata, setiap murid perlu meletakkan sasaran semasa belajar dan melakukan tindakan yang bersesuaian bagi mencapai sasaran tersebut.

Dalam pada itu, Guru Besar sekolah tersebut, Rusda Mosdaram berkata, ini adalah pertama kali program tersebut diadakan membabitkan bekas pelajar cemerlang sekolah berkenaan.

"Kita berharap mereka akan menjadi contoh dan dapat memberi semangat kepada calon UPSR tahun ini untuk berjaya seperti abang dan kakak mereka," ujarnya.

Sementara itu Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Nor Azman Amat Kalam berkata, program tersebut membuktikan sekolah dan PIBG mempunyai tanggungjawab bersama memastikan kecemerlangan pelajar.

Monday 30 January 2012

CUEPACS tetap enggan sertai panel semak SBPA

2012/01/30

KUALA LUMPUR: CUEPACS tetap dengan pendiriannya tidak menyertai pasukan petugas khas semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), sekiranya tiga lagi pemimpin kanannya tidak dibenarkan untuk menganggotai pasukan itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman, menegaskan tindakan CUEPACS tidak sepatutnya dilihat sebagai mengugut, sebaliknya menunjukkan pihaknya amat serius untuk memberi input dalam membincangkan penambahbaikan SBPA.

“Saya akan hadir mesyuarat kedua yang dijadual 8 Februari ini, sekiranya tiga pemimpin CUEPACS tidak dibenarkan masuk, maka saya akan keluar daripada mesyuarat itu. “Tidak adil dan tidak wajar apabila ada 19 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dalam pasukan itu, tetapi CUEPACS hanya dibenarkan menghantar satu wakil.

“Kehadiran tiga pemimpin kanan CUEPACS itu bertujuan untuk bersama-sama membangkitkan pelbagai cadangan kerana mereka juga mewakili kesatuan sekerja dan mempunyai maklum balas yang ingin disampaikan kepada pasukan petugas.

“Saya amat berharap pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam akan mempertimbangkan rayuan kami,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Tiga pemimpin kanan CUEPACS yang dimaksudkan Omar ialah Timbalan Presiden I, Aziz Muda; Setiausaha Agung, Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan, Jaafar Mansor.

Omar berkata, sehingga sekarang ketiga-tiga pemimpin CUEPACS itu masih belum menerima sebarang surat jemputan daripada pasukan petugas khas dan beliau amat berharap perkara itu akan disegerakan sebelum berlangsungnya mesyuarat kedua.

Selain tiga lagi wakil, CUEPACS turut mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbangkan antaranya mengkaji semula pindaan gaji kakitangan Gred 54 dan ke bawah, kedudukan kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA, kedudukan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum dan menyemak kembali penstrukturan semula di semua gred.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut menyokong pendirian Omar dan berharap kerajaan akan memberi lebih ruang kepada wakil kesatuan untuk membantu melakukan penambahbaikan skim berkenaan.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya percaya dengan kehadiran lebih ramai wakil kesatuan sekerja pelbagai isu yang timbul dapat diselesaikan secara bersama tanpa sebarang masalah.

“Tiga pemimpin kanan CUEPACS itu dapat membantu Omar dalam mesyuarat selain secara bersama-sama dapat membuat keputusan bagi pihak 1.2 juta kakitangan awam,” katanya.

PPPKM dakwa MARA langgar garis panduan

IPOH 29 Jan. - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Perak hari ini mendakwa Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri melanggar garis panduan pelaksanaan program Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik) apabila menawarkan pinjaman di bawah skim tersebut kepada semua.

Yang Dipertuanya, Datuk Omar Ahmad berkata, dana tersebut sepatutnya dikhususkan kepada ahli-ahli PPPKM sahaja.

Tegas beliau, di dalam buku program perasmian UK Dinamik oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada 29 September tahun lepas juga secara jelas menyatakan perkara itu.

"Fakta ini juga dinyatakan pada borang permohonan pinjaman asal kerana pemohon perlu mempunyai nombor ahli PPPKM dan harus mendapatkan pencalonan pengerusi PPPKM daerah dan pengesahan daripada yang dipertua PPPKM negeri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Program tersebut menawarkan pinjaman tanpa faedah antara RM5,000 hingga RM10,000 kepada penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

Thursday 26 January 2012

GLC patut 'ambil' kuota bumi

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
bisnes.utusan@gmail.com

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Syarikat-syarikat milik kerajaan yang bergiat dalam sektor hartanah dan unit amanah hartanah wajar membeli kediaman kuota Bumiputera untuk mengelak aset berkenaan 'bertukar tangan'.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shahrom Md. Ariffin berkata, pendekatan itu dilihat sebagai cara terbaik dan lebih praktikal dalam usaha menyelamat hartanah yang diperuntukan kepada Bumiputera.

Beliau berkata, masalah kediaman tidak terjual itu disebabkan pembeli Bumiputera berminat tetapi masih belum membelinya.

Justeru, katanya, sekiranya kediaman-kediaman berkenaan dibeli oleh GLC , sekurang-kurangnya hak yang diperuntukan kepada Bumiputera terjamin.

''Siapa kata Bumiputera tidak berminat untuk memiliki kediaman, banyak yang masih mencari-cari dengan tumpuan terhad kepada kediaman berkos rendah dan sederhana. Jumlah Bumiputera yang mampu memberi rumah sederhana mewah dan mewah begitu kecil.

''Oleh itu, saya syorkan Permodalan Hartanah Bhd., Permodalan Nasional Bhd., Majlis Amanah Rakyat, Amanah Raya Bhd. atau Lembaga Tabung Haji mengambil alih hartanah-hartanah tersebut.

''Kalau Bumiputera secara individu tidak mampu, saya yakin agensi-agensi ini berupaya kerana mereka memiliki dana yang besar,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) supaya status hartanah lot Bumiputera ditukar secara automatik kepada bukan Bumiputera jika gagal dijual dalam tempoh masa tertentu.

Cadangan itu dibuat bagi mengatasi kerugian yang didakwa terpaksa ditanggung oleh pemaju ekoran gagal menjual hartanah berkenaan, selain perlu melunaskan kos tertentu untuk mengubahnya ber dasarkan undang-undang semasa.

Presidennya, Datuk Seri Michael K C Yam berkata, kaji selidik yang dilakukan REHDA mendapati masalah kegagalan menjual hartanah lot Bumiputera merupakan punca paling utama kerugian ditanggung oleh pemaju untuk empat tahun berturut-turut.

Mengulas mengenai tersebut, Shahrom mengakui REHDA tidak boleh dipersalahkan berhubung cadangan yang dilontarkan.

Ini kerana isu berkenaan adalah perkara lapuk yang dibincangkan hampir setiap tahun oleh para pemaju tetapi ia tidak dilihat secara serius oleh mana-mana pihak.

Akibatnya, kata beliau, isu itu bersifat bermusim tanpa tidak diketahui bilakah jalan penyelesaiannya mampu dilaksanakan.

Bagaimanapun, tegas beliau, jalan penyelesaian perlu dilihat secara teliti oleh kerajaan untuk mengelakkan para pemaju hartanah tempatan rugi dan pada waktu yang sama pertahankan hak Bumiputera.

Shahrom menambah, cadangan menukar hak milik hartanah yang diperuntukan itu tidak wajar dipertimbangkan kerana dikhuatiri keistimewaan itu akan hilang secara perlahan-lahan.

''Mekanisme yang betul perlu dibincang, diteliti dan dilaksanakan. Tetapi saya berpendapat kuota kediaman Bumiputera boleh diselamatkan oleh agensi-agensi terbabit,'' katanya.

Beliau berkata, di sebalik tumpuan agensi-agensi berkaitan kepada hartanah komersial, mereka boleh menambah hartanah kediaman sebagai portfolio baharu terutama di kawasan-kawasan utama yang berpotensi besar dan berdaya saing.

''Contohnya di kawasan Mont Kiara dan tengah-tengah kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur kerana kediaman di kawasan ini tidak akan jatuh dan baik untuk pelaburan jangka panjang.

''Dengan pembelian kediaman, entiti-entiti terbabit bukan sahaja membantu menangani masalah pemaju, pada masa sama GLC mampu mempertahan dan menyelamatkan hak milik Bumiputera.

''Mungkin kediaman yang mahal itu tidak mampu dimiliki Bumiputera pada masa sekarang, tetapi mungkin boleh dijual pada tahun-tahun mendatang. Siapa tahu ketika itu banyak Bumiputera yang mampu,'' katanya.

50 pelajar MRSM Pontian ikuti Program English Summer Camp

JOHOR BAHRU 24 Jan. - Seramai 50 pelajar tingkatan empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian terpilih untuk mengikuti Program English Summer Camp anjuran Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTMSpace) baru-baru ini.

Program yang diadakan 11 hari semasa cuti sekolah baru-baru ini dan dianjurkan oleh Unit Bahasa Inggeris dan Program Persediaan itu meliputi pembelajaran di dalam kelas serta aktiviti luar.

Pengurus Unit Bahasa Inggeris dan Program Persediaan, Rozafrina Abdul Rahman berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan serta keyakinan kepada pelajar berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

"Aktiviti program ini telah di dijalankan di MRSM Pontian sendiri, selain di kampus UTM Skudai dan Kem Lambaian Danau, Jasin, Melaka. Aktiviti di bilik seminar MRSM Pontian lebih menumpukan pembelajaran serta aktiviti di dalam kelas.

"Mereka turut terlibat dalam program Shopping Frenzy bersama penuntut Sarjana Muda Antarabangsa Intensive English Course yang mana kesemua yang terlibat perlu menjalankan urusan jual beli di dalam Bahasa Inggeris," katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Tambah Rozafrina, secara keseluruhan, kesemua pelajar yang terlibat di sepanjang program itu menunjukkan disiplin, kesungguhan serta memberikan yang terbaik dalam setiap aktiviti yang disertai.

"Pelajar telah memberi kerjasama yang amat baik sepanjang program ini. Mereka telah mempelajari sesuatu yang baharu, malah keyakinan serta kemahiran untuk berbahasa Inggeris memperlihatkan peningkatan," ujarnya lagi.

Saturday 21 January 2012

Sasar disenarai 20 negara inovatif reka bentuk

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Malaysia menyasarkan untuk disenaraikan antara 20 negara paling inovatif dan kompetitif dalam bidang reka bentuk bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh berkata, usaha tersebut akan dilaksanakan melalui anak syarikatnya, Pusat Pembangunan Reka Bentuk Sdn. Bhd. (DDEC).

Menurutnya, pada masa ini Malaysia menduduki tempat keenam dalam bidang berkenaan di Asia Tenggara.

"Walaupun tempoh tersebut adalah sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) namun kita akan berusaha meletakkan Malaysia dalam senarai tersebut dalam lapan tahun ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tahun Reka Bentuk Malaysia (MDY) 2012 pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi DDEC, Datuk Md. Othman Yusuf dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad di sini, hari ini.
Idris berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya akan mengkaji semula peruntukan sedia ada.

"Dalam Bajet 2012, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi menggalakkan inovasi dan komersialisasi, namun kita percaya dalam hal ini peruntukan itu boleh dikaji semula,’’ katanya.

Sementara itu, Md. Othman berkata, MDY 2012 merupakan program julung kali diadakan oleh DDEC dan akan diadakan setiap bulan.

Antara programnya merangkumi seminar, persidangan, ekspo dan pertandingan melibatkan penggiat industri reka bentuk.

"Ia bertujuan meningkatkan kualiti penjenamaan produk supaya lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa,’’ katanya.

Selain itu, kata beliau, MDY 2012 bertujuan menggalakkan penjanaan dan perkongsian ilmu berkaitan industri reka bentuk antara penggiat industri reka bentuk tempatan dan antarabangsa.- UTUSAN

PM: SBPA mesti puaskan semua pihak sebelum dilaksana

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan Tan Sri Ismail Adam diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Perdana Menteri berkata skim baru berkenaan mestilah mendapat kepuasan semua pihak sebelum dilaksanakan.
    
"Kerajaan akan pertimbangkan sebaik-baiknya agar ia memberi kepuasan kepada semua," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama penjawat awam negeri Pahang di Kuantan hari ini.
    
Turut hadir bersama hampir 7,000 penjawat awam itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.
    
Najib berkata kerajaan amat prihatin terhadap sebarang rasa tidak puas hati dan dakwaan kepincangan sistem baru itu dan bersedia menimbang rayuan yang dibuat dalam menambahbaikan sistem berkenaan.


Perdana Menteri baru-baru ini mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

    
Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.
    
Najib berkata kerajaan juga bersedia menimbangkan pemberian gaji yang lebih kepada penjawat awam, bagaimanapun ia perlukan dikaitkan dengan peningkatan produktiviti mereka.
    
"Kerajaan boleh bagi tambahan gaji dan bonus tetapi ia perlu dikaitkan dengan produktiviti yang tinggi, kalau ekonomi menguncup, mana nak bagi kenaikan gaji dan bonus?," katanya.
    
Beliau berkata penjawat awam dilihat sebagai kumpulan yang amat penting dalam pentadbiran negara kerana apa jua dasar dan agenda besar bergantung kepada peranan serta sumbangan mereka.



"Penjawat awam adalah sekumpulan dalam pentadbiran negara, penting kerana apa agenda besar negara yang hendak dibawa kerajaan pada kesudahannya, kesampaiannya, bergantung kepada peranan dan sumbangan penjawat awam di seluruh negara, sama ada di peringkat pusat atau negeri," kata Najib.

    
Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang dan akan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan menggunakan strategi baru yang perlu didukung penjawat awam bagi mencapai impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
    
"Menjelang fajar 2020, kita hendak mencapai sebuah negara maju, saya anggap wawasan yang dibuat (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu impak kepada negara, itulah yang kita sambut ketika itu, dan kurang daripada 10 tahun, kita nak capai negara maju, inilah cabaran kepada kita," katanya.
    
Najib berkata kerajaan yang ketika ini melaksanakan pelbagai transformasi baru, juga melaksanakan pelbagai strategi baru bagi mencapai hasrat berkenaan.
    
"Ada kalanya strategi yang digunakan dahulu (pimpinan sebelum ini) baik dan tepat tapi strategi itu menjadi kekangan (pada masa ini) dalam usaha kita untuk mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya.

Justeru, Najib berkata pendekatan di bawah kepimpinannya ketika ini adalah menggunakan strategi yang dilihat mampu untuk mencapai kesinambungan dan harapan kepimpinan sebelum ini, dan ia perlulah didukung semua pihak terutamanya penjawat awam.
   
Dalam ucapannya itu, Najib turut menyentuh berkenaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang menurutnya rakyat dilihat lebih "senang" menerima bantuan sedemikian berbanding bantuan yang tidak dilihat dalam bentuk wang tunai, misalnya pemberian subsidi dan kemudahan prasarana yang dilaksanakan kerajaan.
   
"Bajet 2012, short term, selagi tak merasa (wang), tak puas hati, jadi kita putuskan beri BR1M. Bila kita tolong (beri) subsidi (kepada barang keperluan), itu (dilihat sebagai) perkara biasa, subsidi bertambah kepada RM22 bilion untuk bantu rakyat bagi tahun ini," katanya.
   
Najib berkata pemberian BR1M sebenarnya bertujuan membantu golongan rakyat yang susah dan ia terjemahan daripada slogan 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan".
   
"Kalau kita hendak berjaya dalam abad ke-21 ini, ide kita mestilah lebih baik daripada orang lain bagi mencapai transformasi besar, namun kita mestilah berpijak di bumi nyata.
   
"Kalau dah terbukti (kepimpinan kerajaan Barisan Nasional), kalau dah proven (rakyat) tak perlu tolak. Apa yang perlu adalah kepada penambahbaikan, (rakyat) janganlah tolak sesuatu yang sudah terbukti (kepimpinan pemerintahan).


"Saya tak kata kita (kerajaan sedia ada) perfect. Kalau tak betul, kita akui dan kita buat penambahbaikan dalam semua perkara," katanya. - Bernama

Friday 20 January 2012

Pelajar MRSM kuasai bahasa Inggeris dalam sebulan

Oleh Nik Sukry Ramli

niksukry@bharian.com.my
2012/01/12

Kerjasama pintar UPM, MRSM, Pusat Bahasa ELS

KERJASAMA pintar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta Pusat Bahasa ELS menyaksikan 30 pelajar MRSM Kuala Krai, Kelantan mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Kemampuan itu dibuktikan selepas masing-masing mengikuti kursus intensif selama sebulan di Pusat Bahasa ELS Subang Jaya. Dilaksanakan menerusi Program Sekolah Angkat UPM, kursus intensif itu bukan sekadar memberi pelajar mempelajari dan menguasai kemahiran itu, malah mendedahkan mereka mengenai kepelbagaian budaya pelajar dari luar negara.

Pengerusi Program, Prof Jayakaran Mukundan, berkata pemilihan pelajar dilakukan MRSM Kuala Krai dan UPM menyediakan modul kursus dibantu kakitangan Pusat Bahasa ELS.

Program jangka pendek itu katanya, adalah sebahagian komitmen UPM dalam memberikan kesedaran kepada pelajar kepentingan menguasai bahasa Inggeris.

“Sepanjang tempoh kursus, pelajar dibahagikan kepada kumpulan tertentu dan pencapaian mereka dinilai berdasarkan tahap penguasaan masing-masing.

“Dengan bantuan dan komitmen kakitangan pusat bahasa ELS, pelajar membuktikan mereka mampu menguasai bahasa Inggeris walaupun dalam tempoh singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan Program Intensif Bahasa Inggeris di Pusat Bahasa ELS, di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Majlis turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah ELS (Malaysia), Puan Sri Aishah Shamsuddin dan Pengarah Akademik ELS Subang Jaya, Yvonne Gruberska.

Timbalan Pengarah (Pembangunan Kurikulum) MRSM, Hanim Abdul Wahab dalam ucapannya berharap program seumpama itu akan diadakan pada masa akan datang.

Peluang itu kata beliau, perlu dioptimumkan sebagai nilai ditambah dan membantu mereka membuat persiapan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, pelajar yang ditemui, Muhamad Faiz Ab Aziz, 16, berkata program intensif berkenaan berjaya meningkatkan keyakinan diri untuk bertutur dalam bahasa Inggeris bersama rakan-rakannya.

“Tempoh sebulan amat singkat, namun banyak membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris saya,” katanya.

Bagi Norlizatielain Mohd Sepiin dan Nurin Jazlina Romalan pula berpendapat, program berkenaan wajar diteruskan kerana ia berjaya mendedahkan pelajar kaedah terbaik bagi menguasai bahasa Inggeris.

Mereka mengakui program intensif berkenaan berjaya menambahkan keyakinan dan tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka di samping mempelajari budaya pelajar luar negara yang berada di Pusat Bahasa ELS.

Thursday 19 January 2012

10 ahli pasukan khas semak semula SBPA

2012/01/19

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam menyerahkan watikah perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas bagi menyemak semula Pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam itu juga akan menjemput wakil kementerian, ketua skim perkhidmatan, kesatuan dan persatuan sekerja serta pihak berkaitan jika ada keperluan dalam usaha menyelesaikan isu berbangkit SBPA yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

“Semua isu berhubung pelaksanaan SBPA perlu sampai kepada kita (pasukan petugas) dalam tempoh sebulan ini dan pasukan petugas akan memanggil mereka untuk perbincangan lanjut, malah kita sudah menerima banyak maklum balas, termasuk menerusi e-mel.

“Kita akan mengambil kira semua ini. Jika ada isu membabitkan perguruan umpamanya, kita akan memanggil Ketua Pengarah Pelajaran dan juga persatuan untuk perbincangan dan mencari penyelesaian,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas itu di sini, semalam.

Pasukan petugas itu ditubuhkan selepas kerajaan mengumumkan SBPA akan disemak semula dan perbincangan dengan pihak berkaitan diadakan bagi menyelesaikan isu dibangkitkan pihak tertentu berkaitan pelaksanaan SBPA.

Pasukan itu diberi tempoh dua bulan sehingga 16 April depan untuk mengkaji isu dibangkitkan dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Mohd Sidek berkata, pasukan petugas berkenaan akan berusaha mendapatkan penyelesaian terbaik mengenai isu dibangkitkan, tetapi menegaskan kerajaan mempunyai kekangan tertentu yang mungkin tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak.

‘Kes penjawat awam tipu gred terpencil’

2012/01/19

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, menyifatkan kes bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan yang dituduh memalsukan dokumen kenaikan pangkat dan gred sejak 2009, kelmarin, sebagai terpencil.

Walaupun mempertahankan sistem kenaikan pangkat digunakan kerajaan pada masa ini, beliau berkata, semua penjawat awam yang didapati menipu dalam urusan kenaikan pangkat dihukum mengikut undang-undang.

“Tidak ramai melakukan kesalahan ini, hanya seorang dibawa ke muka pengadilan daripada 1.4 juta kakitangan awam kerana melakukan penipuan. Sistem (kenaikan pangkat) sudah cukup baik untuk mengesan penipuan ini.

“Kita akan mengambil tindakan walaupun yang melakukan penipuan ini Ketua Setiausaha (kementerian). Mereka yang melakukan kesalahan harus dihukum,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas mengkaji semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SBPA) di sini, semalam.

Beliau berkata, sistem kenaikan pangkat pada masa ini yang berjaya mengesan penipuan membuktikan ia cukup baik untuk digunakan dalam perkhidmatan awam.

Kelmarin, Bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan, Datuk Dr Soeraya Norsham, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan memalsukan dokumen kenaikan pangkat dan gred sejak 2009.

Kekal sebagai kereta nasional

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Proton Holdings Bhd. akan terus kekal sebagai syarikat pengeluar kereta nasional kerana ia dibeli oleh satu syarikat Malaysia, kata bekas Perdana Menteri dan Penasihat Proton, Tun Dr. Mahahtir Mohamad.

Katanya, Proton tidak akan kehilangan statusnya sebagai pengeluar kereta nasional.

Bercakap selepas Persidangan Antarabangsa Pergerakan Moderat Global di sini, Dr. Mahathir berharap perkembangan terbaharu ini akan menjadikannya lebih baik.

Semalam, Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) mengumumkan penjualan 42.74 peratus kepentingannya di dalam Proton kepada DRB-HICOM Bhd. pada harga RM5.50 sesaham atau RM1.291 bilion.

Mengenai kemungkinan Proton dijadikan syarikat persendirian, Dr. Mahathir berkata: "Jika kerajaan tidak membantu melalui langkah menyuntik dana ke dalam syarikat itu, saya rasa sektor swasta perlu menyuntik dana sendiri." Mengulas mengenai cakap-cakap di pasaran oleh para penganalisis bahawa Proton tidak akan menjual Lotus, Dr. Mahathir berkata: "Bagaimana mereka boleh mengetahuinya? Pemiliknya yang perlu membuat keputusan itu."

Katanya, langkah untuk menjual Lotus adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan oleh DRB-HICOM.

Mengenai kebimbangan yang disuarakan oleh Persatuan Peniaga Proton Edar (PEDA) berikutan pertukaran pengurusan Proton akan memberi kesan terhadap mereka, Dr Mahathir berkata persatuan itu perlu berbincang dengan pengurusan baharu agar mereka tidak kerugian. — Bernama

Tuesday 17 January 2012

Sah, DRB-HICOM pemilik Proton

KUALA LUMPUR 16 Jan. - DRB-HICOM Bhd. hari ini muncul sebagai pemilik baharu Proton Holdings Bhd. (Proton) setelah memeterai perjanjian pembelian dan penjualan 42.74 peratus kesemua saham yang dipegang Khazanah Holdings Bhd. (Khazanah) pada harga RM1.291 bilion atau RM5.50 sesaham.

Pembelian itu menamatkan spekulasi penjualan syarikat nasional itu di dalam pasaran sejak lebih sebulan lalu.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, DRB-HICOM telah dikenal pasti sebagai pihak paling sesuai dan layak untuk menguasai Proton.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dan penilaian terperinci melibatkan pelbagai cadangan bagi memastikan prosesnya teliti.

Urus niaga yang masih tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham DRB-HICOM tidak membabitkan sebarang liabiliti dan jaminan kerana ia akan diselesaikan melalui proses perniagaan seperti biasa.

Azman berkata, cadangan DRB-HICOM turut memperlihatkan penglibatan menyeluruh Proton dalam sektor automatif dan rangkaian kerjasama strategik di dalam dan luar negara.

Katanya, cadangan strategi dan pelan perniagaan konglomerat automotif itu menyediakan platform yang berkesan bagi memenuhi kemapanan Proton dan memenuhi keperluan pertumbuhan jangka panjang.

Azman menambah, DRB-HICOM juga mengemukakan harga tawaran yang boleh diterima kepada Khazanah.

Sementara itu, DRB-HICOM dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, harga yang ditawarkan mewakili 6.2 peratus premium pada harga tutup saham proton sebanyak RM5.18 pada hari Jumaat.

Katanya, harga yang ditawarkan itu mengambil kira premium masing-masing sebanyak 2.80 peratus, 12.70 peratus dan 26.73 peratus selama lima hari, sebulan dan tiga bulan kenaikan harga pasaran saham Proton termasuk harga saham pada Jumaat lalu sebanyak RM5.35, RM4.88 dan RM4.34 sesaham.

Ia juga berdasarkan nisbah harga kepada tempahan 0.56 kali berasaskan aset bersih yang diaudit Kumpulan Proton sehingga 31 Mac 2011 kira-kira RM5.406 bilion.

Saham Proton dan DRB-HICOM digantung hari ini sebagai memenuhi keperluan untuk membuat pengumuman tersebut.

Berikutan jumlah penguasaan yang melebihi 33 peratus, DRB-HICOM akan membuat tawaran am mandatori (MGO) untuk memiliki baki saham Proton yang belum dipegangnya.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil dalam kenyataan berasingan melahirkan penghargaan kepada Khazanah di atas kepercayaan yang diberikan untuk mengemudikan Proton ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, DRB-HICOM telah meletakkan Proton dalam radarnya sejak 2009 dengan melaksanakan pelbagai kajian dan analisis kedudukan syarikat itu yang membawa kepada pembentukan Pelan Perniagaan Bersepadu bagi mewujudkan rantaian nilai automotif.

Mohd. Khamil berkata, MGO bakal menyediakan peluang kepada DRB-HICOM untuk meningkatkan pegangan ke atas syarikat pengeluar kereta nasional sekali gus menjadikannya anak syarikat.

Beliau menambah, pembelian Proton yang akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman, dijangka selesai pada suku kedua 2012.

Monday 16 January 2012

MRSM application results on Jan 20

KUALA LUMPUR: Students who have applied to join Mara Junior Science Colleges (MRSM) for the 2012 academic session will be able to know the result on 20 Jan.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) in a statement today, said the students could their status through the website http://www.mara.gov.my/ by entering their application serial number.

They also can check their status via the short-messaging service (SMS) by typing mara mrsm and the serial number to 15888, the statement said. -- BERNAMA

Monday 9 January 2012

Kerajaan sentiasa kotakan janji

Najib Tun Razak menunaikan solat sunat sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, Selangor, semalam. Turut serta Noh Omar dan Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Datuk Aman Shah Mohd. Sohor (tiga dari kanan). - BERNAMA



HULU SELANGOR 6 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengotakan janji dalam apa cara sekalipun demi memastikan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri berkata, ini terbukti dengan pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Hassan di Gedangsa dekat sini seperti dijanjikan pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada April 2010.

"Projek ini telah sekali lagi menunjukkan bila Kerajaan BN janji, kita tetap tunaikan janji kita.

"Malah pagi tadi saya telah buat satu 'tweet' (laman mikro twitter) bahawa saya akan turun ke Hulu Selangor untuk berjumpa dengan rakyat memastikan semua janji pilihan raya dapat kita tunaikan," katanya ketika berucap sebelum melawat tapak projek PPR berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, Timbalannya, Datuk Seri Lajim Ukin, Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk P. Kamalanathan.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, kerajaan telah mengarahkan kontraktor supaya mengekalkan sebuah kuil Hindu lama di kawasan projek berkenaan setelah mengambil kira sensitiviti masyarakat India setempat.

"Itu salah satu contoh projek ini menepati cogan kata kita iaitu 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

"Kita cari jalan seberapa boleh, kalau tak ada tanahpun, kita cari ikhtiar sehingga dapat tapak ini dan kita gunakan kaedah pelaksanaan yang sangat baik," katanya.

Dalam pada itu, Chee Heung berkata, kementerian akan mengutamakan penjualan 300 unit rumah rakyat tersebut kepada 133 keluarga asal di Kampung Hassan dan selebihnya akan dibuka kepada pemastautin di sekitar daerah berkenaan.

"Kementerian akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mentadbir penjualan rumah berkenaan," katanya.

Sebanyak 300 unit rumah teres PPR setingkat itu kini dalam pembinaan dan dijangka siap sebelum Julai 2013, iaitu lebih awal daripada jadual asal.

Kos bagi setiap unit rumah dengan tiga bilik tidur itu adalah sebanyak RM136,666.67 tetapi ditawarkan pada RM35,000 melalui kaedah Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) atau 'pasang-siap'.

Projek di atas tanah berkeluasan kira-kira 10.8 hektar itu menelan belanja RM41 juta dengan dilengkapi kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, gerai makanan, gelanggang futsal dan gelanggang bola keranjang.

Buku mengenai sistem Kabinet dilancar

HULU SELANGOR 7 Jan. — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan buku bertajuk 1Malaysia Cabinet: Reflecting on Cabinet Governing, karya Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Buku itu yang memaparkan sejarah awal sistem Kabinet di Semenanjung Tanah Melayu kepada sistem pentadbiran kerajaan, merupakan susulan kepada buku Cabinet Governing in Malaysia yang diterbitkan pada 2009.

Rais dalam ucapannya ketika memperkenalkan buku itu pada majlis pelancaran Program Komuniti 1Malaysia (K1M) di Padang Jalan Kantan, Bukit Sentosa di sini, berkata pelancaran itu memberi nostalgia kepada dirinya kerana buku terdahulu juga dilancarkan Najib, yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Menggunakan nama pena Dasury, Rais berharap buku itu dapat diterjemahkan yang kemudiannya diserap dalam semangat 1Malaysia, digilap dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Buku setebal 545 muka surat itu menjelaskan mengenai Parlimen, bidang-bidang eksekutif, perundangan, kehakiman dan perkhidmatan awam, diterbitkan bersempena dengan sambutan kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia.

Rais berkata buku itu amat sesuai dijadikan koleksi atau sumber rujukan oleh ahli politik serta masyarakat keseluruhannya.

Perdana Menteri pada majlis itu turut menyampaikan anugerah kepada K1M Mukim 4, Simpang Kiri, Batu Pahat, Johor yang muncul sebagai Johan pertandingan K1M peringkat kebangsaan, sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, piala dan sijil.

Tempat kedua disandang K1M Mukim Rungkup, Teluk Intan, Perak dan K1M Sinulihan, Keningau, Sabah di tempat ketiga, masing-masing memenangi RM7,000 dan RM4,000 beserta piala iringan dan sijil.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan. — BERNAMA

Dana BR1M bukan pinjaman Bank Dunia

HULU SELANGOR 6 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan sumber pembiayaan untuk program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah daripada kekuatan ekonomi dalaman negara dan bukannya melalui pinjaman Bank Dunia seperti mana yang dituduh oleh pihak pembangkang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu rakyat tidak terpengaruh dengan fitnah serta dakyah palsu yang disebarkan oleh pembangkang kerana ternyata dakwaan tersebut merupakan dusta politik.

Beliau berkata, rakyat harus tahu kali terakhir Malaysia membuat pinjaman daripada Bank Dunia adalah pada tahun 1998 iaitu sebanyak AS$400 juta (RM1.28 bilion).

"Inilah fakta yang sebenarnya. Sumber program BR1M adalah daripada kekuatan ekonomi dalaman negara dan bukannya kita membuat pinjaman daripada Bank Dunia. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang ini adalah satu bentuk pembohongan yang sengaja diada-adakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran Komuniti 1Malaysia di hadapan kira-kira 10,000 rakyat pelbagai lapisan di Padang Jalan Kantan, Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Program BR1M merupakan satu bentuk bantuan kewangan daripada kerajaan sebanyak RM500 dan diberikan kepada keluarga seisi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Ia diumumkan oleh Najib yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat tahun lepas.

Najib dalam ucapannya turut mencabar pihak pembangkang menunjukkan bukti sekiranya mereka terus mempertahankan dakwaan bahawa sumber pembiayaan BR1M datangnya daripada Bank Dunia.

"Jangan cakap sahaja, tunjukkan bukti. Kita tidak gentar. Kita tidak takut kerana kita berdiri atas kebenaran. Bukan seperti mereka yang selalu berdusta, berbohong dan menyebarkan fitnah," katanya lagi.

Dalam pada beliau berkata, kekuatan ekonomi dalaman negara terus menunjukkan peningkatan. Antara petunjuknya ialah peningkatan kutipan hasil negara sebanyak RM22 bilion pada tahun 2011 berbanding 2010.

Perdana Menteri berkata, begitu juga kemampuan kerajaan menaikkan kadar gaji untuk kakitangan awam bermula tahun ini melalui Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dalam keadaan gaji penjawat awam di beberapa negara Eropah terpaksa dipotong kerana masalah kegawatan ekonomi.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut menjelaskan pelaksanaan program BR1M dilakukan dengan penuh tanggungjawab iaitu tanpa berlakunya pertambahan hutang.

"Untuk pengetahuan, defisit negara menurun walaupun kita melaksanakan program BR1M. Mengenai agihan, kita jangka ia akan dilaksanakan mulai pertengahan bulan ini kepada setiap keluarga yang layak," ujarnya.

Sementara itu, beliau menempelak kerajaan Selangor kerana menolak permohonan status tanah bagi melaksanakan projek perumahan generasi kedua Felda seperti mana yang pernah dijanjikan pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor 2010.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) Najib berkata, beliau belum mendapat ilham tetapi apabila tiba masanya rakyat perlu memilih Barisan Nasional (BN) demi masa depan mereka.

Berhubung penubuhan Komuniti 1Malaysia, ia bertujuan memperkasakan semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum dalam komuniti, memupuk semangat kesukarelaan dan berdikari, meningkatkan ilmiah pengetahuan selain menjadi ejen perubahan damai komuniti.

Sehingga kini terdapat 1,115 buah pusat komuniti 1Malaysia di seluruh negara di bawah seliaan Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Kajian tunjukkan jenama 1Malaysia paling popular ketika ini

HULU SELANGO 6 Jan. — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berdasarkan satu kajian, jenama 1Malaysia adalah yang paling popular kini.

Perdana Menteri berkata, ia menunjukkan bahawa rakyat menerima jenama berkenaan yang bukan hanya satu gagasan tetapi juga satu falsafah yang boleh menjadikan sebuah negara yang kukuh dalam ikatan yang tidak mungkin terungkai.

"Apabila kita menyebut 1Malaysia ia bukan hanya satu ungkapan yang ceremonial sahaja.

"Bila kita sebut 1Malaysia ia menggambarkan kita ada satu keluarga besar dan kita ada kekuatan yang lebih,” katanya semasa melancarkan program Komuniti 1Malaysia di Bukit Sentosa, yang dihadiri kira-kira 50,000 orang, hari ini.

Katanya, falsafah 1Malaysia adalah inklusif dan tidak melupakan mana-mana golongan di dalam negara dan ia dengan sendiri memahami keperluan rakyat berdasarkan slogannya “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”. Najib turut mengumumkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bakal diwujudkan di kawasan Parlimen Hulu Selangor. — BERNAMA

Komuniti 1M penggerak utama

HULU SELANGOR 6 Jan. – Komuniti 1Malaysia, sebuah pertubuhan sukarelawan yang disertai pelbagai kaum di negara ini, bakal menjadi penggerak utama dalam melancarkan program di bawah naungan Barisan Nasional (BN).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, komuniti itu, yang setakat ini mencecah 2,000 unit di seluruh negara, akan memainkan peranan bagi memastikan Gagasan 1Malaysia ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak difahami serta diamalkan rakyat.

“Bersama-sama dengan 2,000 unit ini termasuk agensi di bawah kementerian, kita akan memupuk rangkaian untuk membantu kerajaan menjalankan tugas dengan prihatin, adil dan berkesan.

“Dengan lain perkataan, apa sahaja dianjurkan BN, unit Komuniti 1Malaysia akan bergerak, bekerja mewujudkan sukarelawan, menjadi pendokong, memberi ceramah, membantu orang yang susah dan kerja-kerja komuniti atau kemasyarakatan lain,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Komuniti 1Malaysia di sini, hari ini.

Projek itu yang dirasmikan Najib, bertujuan memupuk perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia selain mewujudkan masyarakat celik maklumat selari dengan aspirasi 1Malaysia.

Rais turut mengingatkan rakyat supaya menilai dan menghargai segala usaha kerajaan, yang sentiasa komited dalam memperjuang serta memperkasakan masyarakat di Malaysia.

Beliau berkata, usaha itu harus dibalas dengan sokongan padu dan kerjasama erat yang berterusan antara rakyat dengan pemerintah. – BERNAMA

Friday 6 January 2012

Komuniti 1Malaysia dilancar hari ini

RAWANG 5 Jan. - Seramai 25,000 orang dijangka menghadiri pelancaran program Komuniti 1Malaysia (K1M) esok, sebuah program yang dirangka kerajaan untuk mewujudkan masyarakat bermaklumat dengan penglibatan langsung pelbagai kaum.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pelbagai aktiviti menarik telah diatur sepanjang tiga hari program itu berlangsung.

"Kita menggesa masyarakat Hulu Selangor supaya tampil ke kawasan ini seramai mungkin bagi menunjukkan kita bersatu hati," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh pelancaran program itu di Padang Jalan Kantan, Bukit Sentosa di sini, hari ini.

Rais berkata, program itu yang sebelum ini dikenali sebagai program Komuniti Bestari, akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Selepas ini kita akan laksanakan di Bakri (Johor) pada Februari. Di Johor, mungkin kita buat alihan sikit supaya isian tempatan di Bakri itu kita ubahsuai (mengikut) sentimen tempatan," kata Rais.

Pada majlis yang sama esok, buku hasil tulisan Rais bertajuk Cabinet Governing akan dilancarkan oleh Perdana Menteri.

Turut hadir pada raptai hari ini ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Anggota Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan. - BERNAMA