Thursday, 19 January 2012

Kekal sebagai kereta nasional

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Proton Holdings Bhd. akan terus kekal sebagai syarikat pengeluar kereta nasional kerana ia dibeli oleh satu syarikat Malaysia, kata bekas Perdana Menteri dan Penasihat Proton, Tun Dr. Mahahtir Mohamad.

Katanya, Proton tidak akan kehilangan statusnya sebagai pengeluar kereta nasional.

Bercakap selepas Persidangan Antarabangsa Pergerakan Moderat Global di sini, Dr. Mahathir berharap perkembangan terbaharu ini akan menjadikannya lebih baik.

Semalam, Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) mengumumkan penjualan 42.74 peratus kepentingannya di dalam Proton kepada DRB-HICOM Bhd. pada harga RM5.50 sesaham atau RM1.291 bilion.

Mengenai kemungkinan Proton dijadikan syarikat persendirian, Dr. Mahathir berkata: "Jika kerajaan tidak membantu melalui langkah menyuntik dana ke dalam syarikat itu, saya rasa sektor swasta perlu menyuntik dana sendiri." Mengulas mengenai cakap-cakap di pasaran oleh para penganalisis bahawa Proton tidak akan menjual Lotus, Dr. Mahathir berkata: "Bagaimana mereka boleh mengetahuinya? Pemiliknya yang perlu membuat keputusan itu."

Katanya, langkah untuk menjual Lotus adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan oleh DRB-HICOM.

Mengenai kebimbangan yang disuarakan oleh Persatuan Peniaga Proton Edar (PEDA) berikutan pertukaran pengurusan Proton akan memberi kesan terhadap mereka, Dr Mahathir berkata persatuan itu perlu berbincang dengan pengurusan baharu agar mereka tidak kerugian. — Bernama

No comments:

Post a Comment