Monday 18 March 2013

Karnival Pendidikan Mara buka 1,041 ruang pameran


KUALA LUMPUR 16 Mac - Seramai 300,000 pengunjung dijangka hadir ke Karnival Pendidikan dan Kerjaya anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, sebanyak 1,041 ruang pameran pendidikan dan kerjaya dibuka sempena perasmian karnival tersebut.

"Berbanding tahun lalu, anjuran tahun ini merupakan yang terbesar pernah diadakan dengan penambahan sebanyak 106 ruang pameran.

"Antara ruang pameran yang dibuka untuk pendidikan ialah dari Institusi Pendidikan Mara (IPMa), Institusi Pendidikan Teknikal dan Vokasional Mara (TVET), institusi pengajian tinggi awan (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan dan luar negara bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lain-lain," katanya selepas majlis Perasmian Karnival Pendidikan dan Kerjaya MARA 2013 di sini hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama, kira-kira 15,000 jawatan kosong ditawarkan 200 syarikat termasuk syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC) dan perusahaan kecil dan sederhana (SME).

Jelasnya, tujuan karnival ini diadakan khusus untuk membantu pelajar lepasan sekolah menentukan hala tuju pendidikan mereka pada masa hadapan.

"Kita mahu beri peluang kepada para lepasan sekolah terutama bumiputera untuk bertemu dengan wakil institusi yang mengambil bahagian mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, karnival yang berlangsung selama dua hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula hari ini, akan bergerak ke 10 negeri termasuk Pahang, Johor, Sarawak dan Perak.

No comments:

Post a Comment