KLANG - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan membiayai pengajian adik perempuan Koperal Mohd Azrul Tukiran yang terkorban ketika menentang pengganas di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac lepas.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tajaan menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada Nuurain, 24, yang kini belajar di Kolej Poly-Tech MARA di Kuala Lumpur itu sebagai menghargai sumbangan Allahyarham selain meringankan beban keluarga arwah.
"Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab merasakan perlu diberi bantuan biasiswa seperti ini supaya adik arwah dapat belajar dan akhirnya menamatkan pengajiannya dengan sempurna.

"Ini kerana bukan mudah apabila ibu bapa itu kehilangan seorang anak yang juga merupakan tempat mereka bergantung," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peribadi kepada bapa Allahyarham, Tukiran Ahamad, di sini,
hari ini.

Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata beliau mewakili masyarakat di Semporna amat berterima kasih atas jasa Allahyarham dalam menjaga kedaulatan negara.

Mohd Azrul daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau adalah antara enam pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap sekumpulan pengganas bersenjata dari selatan Filipina di perkampungan air itu pada pukul 8 malam 2 Mac lepas.

Sementara itu, Pasaraya Giant Bukit Tinggi di sini turut menyampaikan sumbangan berbentuk barangan makanan kepada keluarga Allahyarham.

Pengurus Besarnya Abdul Halim Hanafiah berkata, pihaknya akan membekalkan makanan keperluan harian kepada keluarga itu untuk tempoh setahun.

"Setiap bulan kami akan menyumbangkan barangan bernilai RM300 untuk keperluan keluarga ini," katanya.

Dalam pada itu, Tukiran berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus menghulur bantuan dan sumbangan kepada beliau sekeluarga.

Di PETALING JAYA, Mohd Shafie berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberi biasiswa kepada anak kedua Allahyarham Supt Ibrahim Lebar yang kini menuntut dalam bidang perubatan di Universiti Zagazig, Mesir.
Beliau berkata pada masa ini Amira Shahira Ibrahim, 20, meneruskan pengajian atas perbelanjaan sendiri.
"Sebelum ini anak Allahyarham itu tidak mendapat tajaan MARA. Kami akan usahakan supaya dia mendapat tajaan MARA," katanya kepada pemberita ketika melawat rumah Allahyarham di Subang Jaya hari ini dan menyampaikan sumbangan peribadi RM10,000 kepada keluarga pasukan keselamatan itu.
Ibrahim yang terkorban dalam serangan hendap kumpulan militan dari Sulu di Kampung Simunul, Semporna 2 Mac lepas, meninggalkan balu dan tiga anak.
Dua lagi anak pasangan itu ialah Amirul Shafiq, 22, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara, Segamat, dan Shahida, 17.- Bernama