KUALA LUMPUR - Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba di Jasin, Melaka muncul MRSM terbaik dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 apabila 435 calonnya mencapai nilai Gred Purata Maktab (GPM) 1.0391.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad berkata selain MRSM Tun Ghafar Baba, enam MRSM lain turut mencatat pencapaian cemerlang iaitu MRSM Taiping (391 calon mencatat GPM 1.0097) dan MRSM Langkawi (146 calon, GPM 1.1971).

Turut cemerlang MRSM Pontian (133 calon, GPM 1.2245), MRSM Pengkalan Chepa (354 calon, GPM 1.3870), MRSM Kuantan (136 calon, GPM 1.5745), dan MRSM Tun Abdul Razak (121 calon, GPM 1.6171), kata Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, pencapaian kesemua 42 MRSM adalah baik dengan 7,299 pelajar yang menduduki peperiksaan itu mencatat keputusan 100 peratus lulus.

Katanya, kesemua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang layak meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Melalui sistem pendidikan MRSM, Ibrahim berkata, MARA akan terus menjadi peneraju dalam melahirkan modal insan mempunyai minda kelas pertama yang mampu menyumbang kepakaran demi bangsa dan negara.- Bernama