Wednesday, 6 March 2013

Jaminan kerja lepas belajar di Iskandar Malaysia dan Rapid


BATU PAHAT - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memastikan pelajar kemahiran tinggi tajaannya mendapat pekerjaan di Iskandar Malaysia dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang, bersesuaian dengan kursus yang ditawarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Majlis Sektor Keusahawanan MARA, Datuk Ariss Samsudin berkata, tuntutan pasaran pekerjaan di kedua-dua projek itu lebih mengutamakan kemahiran, malah peluang bagi industri binaan dan struktur serta industri kejuruteraan berat sangat tinggi.

“Seperti Kursus Pembinaan Geostruktur, para pelajar didedahkan dengan penyiasatan tapak dari struktur bawah tanah itu sendiri sehingga teknologi struktur pengukuhan tanah, ia memang sesuai dengan projek baru itu.

“Selain menjanjikan pendapatan yang lumayan pada masa akan datang, ia juga boleh dijadikan sebagai satu landasan untuk menyuntik semangat golongan muda untuk berjaya sekaligus dapat mengurangkan masalah pengangguran

“Peluang pelajar kemahiran bukan saja terhad perkhidmatannya di negara ini, tetapi juga diambil bekerja oleh syarikat luar dengan gaji yang lebih lumayan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Sri Gading, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah KKTM Seri Gading, Md Khalil Mohamad, menyifatkan pemberian BB1M itu membuktikan kerajaan peka dengan bebanan yang ditanggung pelajar terutama bagi membeli bahan rujukan.

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi sememangnya perlu mengambil tahu ada golongan pelajar yang berasal daripada golongan berpendapatan rendah ketika melanjutkan pelajaran.

“Walaupun Mara sediakan elaun kepada mereka, kadangkala harga buku rujukan atau alat pembelajaran yang tinggi menyukarkan pelajar. Oleh itu mekanisme ini dapat membantu para pelajar agar keperluan mereka dapat dipenuhi sepanjang pengajian.

“Kami amat mengalu-alukan pemberian BB1M ini dimanfaatkan sepenuhnya.

“Gagasan menyambut baik penyediaan skim buku kedua ini yang dinaikkan kepada RM250, terima kasih kepada kerajaan. Kita juga harap biarlah sampai kepada matlamatnya, bukan disalahgunakan oleh pihak tertentu,” katanya.

No comments:

Post a Comment