Wednesday 13 March 2013

400 usahawan sertai Seminar Pembangunan Halal


SUNGAI PETANI - Seramai 400 usahawan Kedah akan didedahkan mengenai kepentingan sijil halal produk keluaran mereka pada Seminar Pembangunan Halal sempena Karnival Halal Kedah 2013 di Hotel Amanpura di sini esok.
Seminar sehari bertemakan Kesedaran, Penguatkuasaan dan Implikasi itu dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia dan Institut Pembangunan Pengurusan Johor.
Pengarah MARA Kedah, Juha Ali berkata, seminar itu bertujuan meningkatkan kesedaran usahawan tentang kepentingan pemilikan sijil halal bagi produk makanan, minuman dan kosmetik.
Katanya, peserta akan didedahkan dengan sidang pleno dan pembentangan kertas kerja oleh beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Zakat Kedah dan Mara.
"Para peserta terdiri daripada usahawan bimbingan MARA, SME Corp. Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional," katanya kepada Kosmo! semalam.
Jelasnya, kertas-kertas kerja yang akan dibentangkan bertajuk Kepentingan Persijilan Halal Jakim Dalam Pembangunan Pasaran Produk Halal, Mensucikan Harta Melalui Zakat dan Keberkatan Bisnes Dengan Berwakaf.
Beliau berharap menerusi seminar itu, jumlah usahawan bumiputera yang mempunyai sijil halal dapat ditingkatkan dan membina jaringan dalam kalangan usahawan.
"Usahawan juga mampu menambah maklumat melalui penerangan dan khidmat nasihat daripada pihak penganjur," katanya.
Karnival dianjurkan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Kedah dengan kerjasama DagangHalal.com.
Kosmo! bertindak sebagai akhbar rasmi. Karnival itu dijadualkan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di pekarangan tempat letak kereta Amanjaya Mall di sini Jumaat ini.

No comments:

Post a Comment