Wednesday 29 August 2012

Ingat amanah rakyat Malaysia

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Apabila mula hilang fokus dan keyakinan, saya akan ingatkan diri semula yang saya ada amanah daripada rakyat yang menaja pengajian saya. Jadi saya wajib berusaha hingga berjaya,” kata Musfirah Syahira Musa, 24.

Penuntut tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Kejuruteraan (Petroleum), University of Adelaide, Australia itu adalah penerima tempat kedua Anugerah Merdeka 2012 anjuran Majlis Perniagaan Australia-Malaysia, Cawangan Australia Selatan, baru-baru ini.


Anugerah itu diadakan setiap tahun bertujuan mengiktiraf pelajar terbaik Malaysia yang belajar di universiti di Australia Selatan, sekali gus membimbing dan memupuk selaku pemimpin generasi akan datang.


Menurut Musfirah Syahira dari Kapar, Selangor, dia tidak meletakkan dirinya sebagai pelajar dari kelompok cemerlang dan rajin kerana mudah untuk hilang fokus dalam pelajaran, terutama apabila berdepan pelbagai masalah seperti projek serta tugasan.


Bagaimanapun katanya, untuk menangani faktor itulah, dia sentiasa mengingatkan diri bahawa pengajiannya ditaja Majlis Amanah Rakyat (MARA), sekali gus wajib baginya berusaha mencapai kejayaan.



“Memang susah nak sentiasa mendapat keputusan cemerlang apabila belajar dalam bidang kejuruteraan, tapi Alhamdulillah Allah murahkan rezeki saya untuk mendapat penganugerahan daripada pihak fakulti dan universiti.


“Saya juga percaya salah satu faktor kejayaan ini ialah atas berkat doa daripada ibu yang tak pernah putus-putus, malah dalam masa sama, saya turut melakukan qiamullail seboleh mungkin, bertahajud dan solat hajat memohon dipermudahkan urusan,” katanya.


Atas kesungguhan itu, Musfirah Syahira pernah memperoleh Dean’s Certificate of Merit 2011 untuk pencapaian cemerlangnya dalam bidang diambil dan penghargaan Golden Key International Honours Society 2011 bagi 15 peratus pelajar cemerlang di universiti.


Anugerah lain termasuklah Biasiswa Santos (Insentif) 2011 yang diberi setiap tahun kepada pelajar cemerlang di Australian School of Petroleum (ASP) dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar A-Level 2008.


Katanya, dia sangat menghargai anugerah terbaru yang diterimanya, tapi menyifatkan perjuangan paling besar yang perlu ditempuh ketika ini adalah mendapatkan segulung ijazah dengan kepujian kelas pertama.



Beliau berkata, dia berjanji selepas itu akan menyumbang keringat dan pengalaman di tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012

Tuesday 28 August 2012

Bantu rakyat Rohingya, Palestin






BALING : Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Baling melancarkan Tabung Saudaraku yang bertujuan mengumpul dana bagi membantu masyarakat tertindas di Rohingya dan Palestin.

Presiden Badan Wakil Pelajar MRSM Baling, Nurameliana Nadia Zamri berkata, tabung yang bertemakan Hulurkan Sumbangan Ringankan Penderitaan itu membolehkan masyarakat dan warga MRSM menghulurkan menderma kepada golongan tersebut.

"Hasil kutipan daripada tabung itu akan diserahkan kepada Wakil pertubuhan Aqsa As-Syarif Kedah dan Islamic Relief Malaysia untuk seterusnya disampaikan kepada golongan memerlukan di negara terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, tabung yang buat pertama kali dilancarkan MRSM itu sekali gus membuktikan rakyat Malaysia terus prihatin terhadap isu dan masalah umat Islam di seluruh dunia.

"Kita mungkin tidak mempunyai kekuatan untuk mengangkat senjata. Tetapi, kita mempunyai kudrat untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka," katanya.

Menurut beliau, walaupun jumlahnya tidak begitu besar namun sumbangan itu amat bermakna kepada mereka yang amat memerlukan.

Beliau berkata, sebahagian daripada sumbangan berkenaan turut akan disalurkan kepada 42 anak yatim melibatkan dua pertubuhan anak yatim di Baling.

Parit kurang sekolah asrama

Parit kurang sekolah asrama

Sebahagian murid yang hadir gembira menerima sumbangan duit raya disampaikan oleh Mohd Zaim dan Mohd Nizar



Oleh: Wartawan Sinar Harian 

Tarikh: August 27, 2012



Ketua Umno Bahagian Parit Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, berbanding daerah lain, kawasan itu masih kekurangan sekolah berasrama penuh.

Menurutnya, kini, hanya terdapat sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Parit yang baru sahaja dibuka dan beliau mengharapkan sebuah lagi sekolah berasrama penuh dapat dibina di kawasan berhampiran.

“Di kawasan MRSM berkenaan masih ada lagi baki tanah seluas 60 hektar dan kita harapkan sekolah berasrama penuh yang baru dapat dibina di kawasan itu,” katanya pada majlis penyampaian duit raya kepada 194 murid sekolah di Parlimen Parit.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria. Mohd Zaim berkata, kertas kerja permohonan sekolah berkenaan akan dibuat Pejabat Pelajaran Daerah Perak Tengah dan pihaknya akan menghantar permohonan itu kepada Kementerian Pelajaran.

Jelasnya, setelah kertas kerja itu siap ia akan dihantar kepada kementerian terlibat bagi memastikan hasrat tersebut tercapai.

"Satu ketika dulu pekan Parit menjadi pusat pentadbiran daerah berkenaan namun setelah pusat pentadbiran bertukar ke Seri Iskandar, Pekan Parit seolah-olah terbiar. “Kita tidak mahu terus meminggirkan pekan Parit kerana kawasan ini berpotensi untuk membangun,” katanya.

Kata beliau, usul juga akan dibuat bagi memastikan lebih ramai anak-anak Parlimen Parit dapat melanjutkan pelajaran di MRSM Parit. “Kita harap supaya pihak berkenaan memberi lebih peluang kepada anak-anak di kawasan ini untuk belajar di sekolah berkenaan.

“Ini turut didorong dengan kesedaran ibu bapa yang mahu anak mereka belajar di sekolah berasrama memandangkan lebih banyak persaingan untuk menjadi yang terbaik,” katanya.

Bakal graduan Besut sambut hari raya


IDRIS (depan, tengah) bersama bakal pelajar IPT pada Majlis Pemimpin Bersama Bakal Mahasiswa Dan Mahasiswi di Jerteh, Terengganu baru-baru ini.

BAKAL GRADUAN. Majlis Pemimpin Bersama Bakal Mahasiswa Dan Mahasiswi diadakan di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, Terengganu baru-baru ini.

Majlis anjuran Ketua UMNO Bahagian Besut yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh itu turut diadakan sempena menyambut hari raya bersama bakal pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari daerah berkenaan.
Seramai 326 orang bakal pelajar IPT hadir bersama ibu bapa masing-masing.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jabi, Ramlan Ali, Timbalan Pegawai Pelajaran Besut, Ab. Halim Hassan dan beberapa pengetua sekolah menengah di Besut.


Thirty houses for Orang Asli village

Thirty houses for Orang Asli village
Datuk Mohd Sani Mistam (left) and Asiah Md Ariff handing over the Hari Raya dividend for the 262 participants in the Sungai Layau Orang Asli Felcra programme involving a cost of RM1.3 million, held at the mosque. Pic by Fahmi Yusof



GOVERNMENT COMMITMENT: A medical centre will also be set up in Kampung Sungai Layau, near Kota Tinggi

KOTA TINGGI: THE Orang Asli Development Department recently built 30 houses for the villagers of Kampung Sungai Layau, near Kota Tinggi.
Director-general Datuk Mohd Sani Mistam said the department had worked with Glocal Link Sdn Bhd, a wholly-owned subsidiary of Majlis Amanah Rakyat (MARA), to build the houses.

"The government has also approved a special allocation of RM65,000 to set up a medical centre for the villagers.

"This proves the government's commitment to help the Orang Asli to improve their standard of living," Sani said, at a ceremony to declare a Hari Raya Aidilfitri dividend of between RM5,000 and RM6,000   for each of the 262 participants in the Sungai Layau Orang Asli Felcra programme.


There are 180  homes,  a multipurpose hall and a kindergarten in the village of   750.

Also present was State Rural and Regional Development, Culture, Arts and Heritage Committee chairman Asiah Md Ariff and state Orang Asli Development Department director Suhairi Abdul Ghani.

The underprivileged and senior citizens also received contributions.  Ahmad Ani, 62, said this would alleviate his financial burden and add  more cheer to his Hari Raya celebrations.

Wednesday 15 August 2012

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2012 (1433H)


Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2012 (1433H)
oleh

YBhg. Datuk Ibrahim Bin Ahmad
Ketua Pengarah MARA




Tuesday 14 August 2012

MARA BOLEH BANTU UBAH NASIB PENDUDUK LUAR BANDAR - SHAFIE AFDAL


KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) disaran mengambil langkah drastik bagi menghulurkan bantuan dan sokong kepada golongan pelajar dan peniaga di kawasan luar bandar.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penduduk luar bandar juga memerlukan bantuan dan sokongan supaya mereka dapat mengubah hidup mereka.
"Saya harap MARA boleh mengambil langkah drastik dan bukan hanya fokus kepada penduduk bandar sahaja tetapi di luar bandar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ihya''Ramadan di Bangunan MARA di sini hari ini.
Mohd Shafie berkata MARA sudah mempunyai saluran (wakil) di peringkat daerah dan negeri dan kelebihan itu boleh digunakan dalam membantu golongan masyarakat luar bandar.
Katanya perkara itu tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana MARA kini semakin cemerlang dalam sistem pengurusan dan juga kewangan yang kukuh dan mantap.-- BERNAMA

Peluang terhidang


Oleh Fazurawati Che Lah dan Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Program Pembangunan Usahawannya menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada Bumiputera negara ini untuk menjalankan perniagaan termasuk dalam bidang jahitan.

Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Mohd Rosdi Ismail berkata, daripada bantuan kewangan, premis perniagaan hinggalah strategi pemasaran, semuanya disediakan Mara kepada mereka yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Katanya, dalam konteks jahitan sendiri, MARA sejak 1986 lagi sudah pun berusaha ke arah menghasilkan usahawan Bumiputera dalam bidang itu melalui penawaran kursus jahitan di GiatMara.

Menurut beliau, ketika ini, 114 daripada 231 GiatMara di seluruh negara menawarkan kursus itu dengan seramai 38,747 pelajar tamat dan menerima sijil bagi kursus terbabit.

“Ini adalah antara pendekatan MARA dalam membantu Bumiputera menceburi bidang keusahawanan. Individu yang berminat mendalami ilmu jahitan tidak kira usia boleh mengikuti kursus peringkat sijil di Pusat Giat Mara.

“Menerusi pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan secara bersepadu, kita yakin semua pelajar yang tamat dalam bidang ini boleh bergelar usahawan berjaya asalkan mereka cekal.

“Program ini juga selaras usaha kita melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk melahirkan sekurang-kurang 100 usahawan jutawan dan ketika ini, Oli Collection yang mengendalikan perniagaan jahitan berpangkalan di Johor boleh dianggap menyumbang kepada angka ini,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut di sini.

Mohd Rosdi menjelaskan, kursus latihan menjahit di GiatMara seharusnya dimanfaatkan Bumiputera kerana ia tidak terhad dari segi peringkat umur ditambah dengan kemudahan pembiayaan mudah sekiranya tamat kursus dengan sempurna.

Kata beliau, sasaran MARA sekurang-kurangnya dua hingga lima peratus daripada jumlah pelajar yang mengikuti latihan jahitan mengakhiri kursus mereka dengan menceburi bidang keusahawanan dalam sektor berkenaan.

“Apa yang berlaku sekarang, jumlahnya tidak pun mencecah dua peratus. Kita mahu semua yang mengikuti program latihan ini sedar dengan bantuan bersepadu yang disediakan MARA. Sama ada perniagaan mereka berjaya atau sebaliknya, MARA akan tetap membantu bila diperlukan,” katanya.

Menurut Mohd Rosdi, ketika ini di Medan MARA (ibu pejabat) saja terdapat 72 lot kedai yang disewakannya membabitkan perniagaan jenis jahitan dan jumlah itu melangkaui 40 peratus daripada keseluruhan lot yang ada di situ iaitu 188 unit.

Bagaimanapun katanya, hanya antara satu hingga dua peratus daripada keseluruhan lebih 7,300 penyewa lot kedai MARA di seluruh negara membabitkan perniagaan berasaskan jahitan.

“Dari segi pembiayaan, secara keseluruhannya sejak 1997, seramai 1,916 usahawan jahitan menerima bantuan kewangan daripada MARA dengan jumlah dana sebanyak RM25.7 juta.

“Pelbagai skim pembiayaan kita tawarkan kepada Bumiputera dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka dengan pinjaman serendah RM10,000 hingga mencecah jutaan ringgit. Semuanya bergantung kepada sejauh mana mereka meyakinkan kita dengan perniagaan yang dijalankan.

“Untuk tahun ini saja, kita mempunyai peruntukan RM400 juta untuk pembangunan usahawan Bumiputera merangkumi semua bidang jadi selagi ia masih berbaki, semua usahawan sama ada baru yang sedia ada boleh memohon,” katanya.

Di bawah Program Pembangunan Usahawan Bersepadu MARA, lima aspek utama ditekankan iaitu minat menjalankan perniagaan, industri yang ingin diceburi, premis untuk perniagaan mereka, bantuan kewangan untuk modal mahupun modal pusingan dan industri sokongan seperti promosi, pemasaran, penjenamaan dan lain-lain.

Antara bantuan yang disediakan MARA untuk pembiayaan dalam bidang jahitan termasuk Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPPP) dan Program Usahawan Teknikal (Putek).

Monday 13 August 2012

Bersengkang mata siapkan tempahan




BIARPUN terpaksa meredah kesesakan jalan raya, ia sedikit pun tidak menghalang Hajar Aryati Arif, 38, dari Kajang, Selangor untuk menghantar tempahan pakaian di Pasar Rakyat, Bangunan Medan Mara. Ibu kepada empat orang cahaya mata itu akan mencuri masa ke premis yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada waktu makan tengah hari atau hari cuti.
Bukan disebabkan tiada butik ataupun kedai jahit di sekitar Kajang yang boleh mengambil tempahan pakaian, tetapi dia serasi menyarungkan pakaian hasil jahitan RDA Collection.
Jika dihitung, hampir 10 pasang baju tradisional dan kaftan untuk dipakai ke pejabat, majlis keramaian serta hari raya Hajar Aryati dijahit di RDA Collection.
"Jahitan mereka kemas dan kak Ramlah bijak memotong kain mengikut ukuran badan. Sesetengah tukang jahit agak kreatif menghasilkan pakaian yang cantik tetapi apabila dipakai baju tersebut kurang selesa.
"RDA sentiasa memastikan aspek jahitan, potongan dan perincian dihasilkan dengan teliti. Jadi, tidak perlu menempah pakaian ke butik yang mahal kerana RDA mampu menjahit pakaian hampir sama pada harga yang berpatutan," ujar Hajar Aryati yang sudah dua tahun menempah pakaian di RDA Collection.
Selain itu, Hajar Aryati yang bekerja di salah sebuah bank lebih cenderung menempah pakaian di Pasar Rakyat kerana ia merupakan pusat jahitan yang beroperasi di bawah satu bumbung. Ruang dalamannya yang bersih dan luas serta parkir memudahkan urusannya di sana.
Di aras satu, Bangunan Medan Mara, Medan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur rata-rata tukang jahit di setiap lot begitu tekun dan gigih menyiapkan tempahan pakaian pelanggan.
Selain memotong kain dan menjahit manik, mereka juga sibuk dengan aktiviti menyulam dan melayan kerenah pelanggan. Di segenap ruang premis itu dipenuhi dengan koleksi pakaian yang siap dijahit dan kain-kain yang berselerak.
Beginilah situasi sepanjang Ramadan di pusat jahitan itu. Para pengusaha kedai jahit di Pasar Rakyat terpaksa bersaing dengan masa. Meskipun agak meletihkan tetapi rezeki yang diperoleh sangat berlipat ganda.
Bagi Ramlah Darmo, 35, yang mengusahakan RDA Collection sejak bulan April 2002, Pasar Rakyat ibarat lubuk emas baginya.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu tidak menyangka keputusannya untuk menjalankan bisnes jahitan di premis tersebut berjaya mengubah taraf ekonomi keluarga.
"Pada mulanya, saya bimbang juga untuk berniaga secara serius kerana saya hanya menjahit secara kecil-kecilan di rumah. Namun saya nekad untuk mengubah nasib keluarga lalu menghantar permohonan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Alhamdullilah, permohonan diterima dan saya ditawarkan satu lot. Bermodalkan RM5,000 saya membeli sebuah mesin jahit, mesin jahit tepi dan peralatan menjahit," terang anak keenam daripada lapan orang adik-beradik itu sambil memotong kain tempahan pelanggan.
Berkat kegigihannya memikat hati pelanggan, daripada bekerja sendiri kini Ramlah sudah mampu mengupah empat orang tenaga kerja.
Promosi mulut ke mulut

SELAIN baju kurung pelanggan boleh menempah baju Melayu dan baju kanak-kanak di Pasar Rakyat. - Gambar hiasan


Jumlah pelanggan Ramlah semakin meningkat biarpun ibu kepada tiga orang cahaya mata itu tidak melakukan promosi secara besaran-besaran.
"Semuanya promosi daripada mulut ke mulut. Apabila seorang pelanggan berpuas hati dengan jahitan kita, mereka akan cadangkan kepada rakan-rakan dan saudara-mara. Pada masa yang sama, saya juga membuat promosi secara kecil-kecilan menerusi blog dan menghantar risalah di beberapa kawasan perumahan.
"Alhamdullilah, saya tidak memang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan," jelas Ramlah yang mengehadkan 300 pasang pakaian untuk tempahan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam tempoh antara bulan Jun hingga dua minggu sebelum raya, Ramlah yang pernah menerima Anugerah Lot Terbaik Pasar Rakyat 2008 akan memastikan semua tempahan pelanggan dilunaskan dengan sempurna. Secara purata, setiap pekerja perlu menyiapkan lima pasang baju setiap hari.
Salah seorang pekerja di RDA Collection, Ernita Diun, 30, memberitahu, bermula dari bulan Jun hingga pertengahan bulan Ogos dia perlu bersekang mata menyiapkan tempahan pelanggan.
Biarpun perlu bekerja seawal pukul 9 pagi hingga 9 malam tanpa henti, namun bagi memastikan pelanggan dapat beraya dalam persalinan baharu, dia menolak ke tepi keletihan yang dirasai.
"Setiap hari tugas saya menjahit pakaian yang telah dipotong oleh majikan mengikut ukuran pelanggan. Saya perlu berhati-hati menjahit bagi mengelakkan kain pelanggan rosak.
"Dalam sehari saya boleh siapkan antara tiga dan lima pasang baju. Biasanya kami akan menyempurnakan tempahan mengikut waktu yang ditetapkan oleh pelanggan," kata Ernita yang sudah enam tahun berkhidmat bersama RDA Collection.
Tambah wanita dari Padang, Indonesia itu: "Saya selesa bekerja di Pasar Rakyat kerana fasiliti dan suasana di sini amat bagus. Kawasannya luas, selesa dan berhawa dingin."
Sementara itu, pemilik jenama Enal Collection & Shyza Design, Zainal Abidin Odin, 44, memberitahu, beliau menutup tempahan raya pada penghujung bulan Jun.
"Saya tidak boleh tamak sedangkan inilah masanya untuk memperoleh pendapatan lumayan. Jangan terlalu memikirkan keuntungan dengan menerima tempahan yang banyak sehingga melangkaui keupayaan tenaga pekerja. Jangan disebabkan kuantiti, kualiti jahitan dan potongan pakaian terjejas.

BUTIK Cassanova Fashion yang diusahakan Mohammad menawarkan pakaian lelaki.


"Lagipun saya cukup menitikberatkan kepuasan pelanggan. Bagaimanapun, tempahan baju kurung atau baju Melayu pada musim perayaan boleh mencecah hampir 400 pasang berbanding hari biasa sekitar 200 pasang saja. Namun untuk tempahan raya saya hanya mengehadkan sebanyak 300 pasang pakaian," jelas Zainal Abidin yang menguruskan bisnes bersama rakan bisnesnya, Roshayati Md. Ali, 44.
Selepas perayaan
Zainal yang berniaga di Pasar Rakyat selama 21 tahun memberitahu, biasanya upah baju kurung mengikut jenis kain, rekaan dan perincian. Harganya bermula dari RM60 ke atas.
Menyentuh mengenai situasi selepas musim perayaan, Zainal yang berasal dari Tanjung Malim, Perak mengakui pendapatannya agak merosot.
Bekas pelajar jurusan jahitan pakaian lelaki di Giat Mara, Jasin, Melaka itu mengambil inisiatif menawarkan khidmat pakaian pengantin.
Pengusaha Cassanova Fashion, Mohammad Bakam, 50, begitu sibuk menggosok baju Melayu yang ditempah oleh pelanggannya.
Lelaki yang berasal dari Pontian, Johor itu turut meneliti hasil jahitan baju yang telah siap bagi mengesan sebarang kerosakan pada pakaian terbabit.
"Tahun ini, sudah sedekad saya berniaga di Pasar Rakyat menggunakan modal simpanan peribadi. Saya hanya memfokuskan pakaian lelaki seperti baju Melayu, sut, kemeja dan seluar kerana rata-ratanya tukang jahit di sini mengambil tempahan menjahit pakaian wanita dan pengantin," jelas Mohammad yang dibantu lima tenaga kerja profesional.

MSU tawar program penyelidikan


Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

SELAIN mengendalikan program pengajian peringkat sarjana muda dan diploma, Management & Science University (MSU) melalui School of Graduate Studies (SGS) dan Graduate School of Management (GSM) turut menawarkan program pengajian pasca siswazah secara penyelidikan atau kerja kursus.

Ia ditawarkan di peringkat doktor falsafah, sarjana, diploma dan sijil dengan bidang pengkhususan seperti Business Administration, Management/Business, Computer Science, Accounting/Finance, ICT, Bioinformatics, Biomedical Science, Foodservice Technology, Biomedicine, Information Technology and Management, Computer Network, Software Engineering serta Commercial Law. 
Dekan School of Graduate Studies, Profesor Datuk Dr Asbi Ali berkata, program pasca siswazah yang ditawarkan menggunakan kaedah penyelidikan fleksibel bagi pelajar yang mengikuti pengajian secara sambilan.

“Kaedah ini membolehkan calon bekerja yang berminat melanjutkan pengajian me-ngikutinya tanpa perlu bercuti atau meninggalkan pekerjaan.

“Program ini bukan juga sesuai bagi golongan yang berminat menambah pengetahuan di peringkat tinggi,” katanya.

MSU melalui SGS sehingga kini menawarkan tujuh bidang pengkhususan peringkat doktor falsafah, 13 bidang pengkhususan peringkat sarjana serta dua bidang pengkhususan bagi program sijil dan diploma.

GSM pula, menawarkan program pengajian peringkat doktor falsafah dan sarjana dalam bidang Business Administration dengan kaedah pengajaran yang digunakan membabitkan pendekatan inovatif seperti lawatan industri, permainan pengurusan, kajian kes, pembentangan video dan interaksi dalam talian.

Program Pembangunan Usahawan dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut ditawarkan melalui GSM dengan peserta program yang layak akan mendapat tajaan penuh Mara dan memperoleh Ijazah Sarjana Perniagaan (MBA) selpas tamat pengajian.

Pusat inkubator yang ditubuhkan membolehkan peserta menggunakan ilmu dan pengetahuan dalam keadaan pengurusan atau perniagaan sebenar.

MSU turut menawarkan program pengajian peringkat pra universiti, diploma, sarjana muda melalui fakulti dan pusat pengajiannya iaitu Faculty of Health & Life Sciences, Faculty of Business Management & Professional Studies, Faculty of Information Sciences & Engineering, International Medical School, School of Pharmacy dan Centre for Foundation Studies.

Hubungi jabatan kaunseling & komunikasi, di talian 03-5521 6868 (SGS) atau 03-22736410 (GSM), SMS de-ngan menaip SGS/GSMnama dan e-mel kepada 019-3419152/016-356 8251/012-249 6551 atau layari www.msu.edu.my

Thursday 9 August 2012

Sebulan untuk siap sulaman kerawang



MELIHAT wajah Omi Kalthom Che Ngah Ibrahim, siapa sangka wanita itu sudah menjangkau usia 71 tahun. Pada usia itu, dia masih lagi mengerah kudrat menjahit baju kurung sulam walaupun tenunan itu kini agak sepi dalam kalangan pelanggannya.
Begitupun, perkara itu tidak mematahkan semangat wanita berkenaan untuk meneruskan perniagaannya yang sudah beroperasi hampir 20 tahun di Medan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Omi Kalthom yang merupakan satu-satunya tukang jahit sulam yang masih berdiri teguh dengan hasil sulamannya mengakui dia masih menerima tempahan daripada pelanggan tetap namun, kuantitinya tidak banyak seperti dahulu kerana kebanyakan pelanggan beralih kepada sulaman manik.
Sambil memasukkan benang hijau beberapa kali ke jarum mesin jahit gara-gara penglihatan semakin kurang jelas, Omi Kalthom atau lebih mesra dipanggil Omi, memberitahu, sebenarnya minat dalam bidang sulaman timbul sejak sekolah rendah lagi.
Ketika itu, cerita anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu, dia melihat hasil jahitan ibu saudaranya yang sentiasa menjahit sulaman pada bantal, tuala dan baju kurung.
Bertitik tolak daripada situ, minat terhadap jahitan semakin mekar dalam dirinya sehinggakan dia memilih subjek Domestik Sains semasa belajar pada tahun empat.
Begitupun, minatnya tidak terhenti di situ sahaja. Sebaik tamat Senior Cambridge atau kini lebih dikenali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa kini, anak kelima daripada enam adik-beradik itu menjadi guru sementara menunggu keputusannya.
Dengan menerima kelulusan yang memuaskan, dia mula bekerja sebagai jururawat di Hospital Lady Tampler, Cheras. Begitupun, setahun kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Hospital Eastham Memorial, London dan terus berkhidmat di hospital yang sama.
Omi pada usia 71 masih mampu menjahit pelbagai jenis sulaman di kedai miliknya Omika Sulaman di Medan Mara.


Cinta Omi pada sulaman
Hampir 13 tahun berada di negara orang, Omi tidak melupakan minat dalam bidang jahitan dan sulaman. Di sana, dia turut mengikuti kelas jahitan yang mengandungi pelbagai jenis jahitan.
"Saya hanya mengikuti kelas jahitan asas. Tiada banyak beza jahitan di sana," ujarnya.
Dengan mengenakan kemeja kain batik bersama seluar panjang hitam semasa sesi temu bual, Omi memberitahu, dia akhirnya membuat keputusan untuk pulang ke tanah air.
Sebaik pulang ke Malaysia, dia memohon bekerja di Agensi Chia Nursing, Petaling Jaya selama setahun. Namun, lama-kelamaan minat terhadap kerjaya tersebut semakin pudar lalu memohon pula pekerjaan di Agensi Pelancongan di Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Walau bagaimanapun, di situ pun saya tidak lama dan dari situ, barulah saya mengetahui minat saya sebenarnya lebih ke arah jahitan.
"Bagaimanapun di Mara, terdapat juga kedai jahit baju, lalu tanpa melengahkan masa saya mula mengintai peluang membuka perniagaan di sana," ujar Omi ketika ditemui di kedainya Omika Sulaman yang terletak di Medan Mara baru-baru ini.
Demi hobinya itu, wanita tersebut turut mengikuti kelas belajar jahitan asas di Mara, Kuala Lumpur sekitar tahun 1981 sebelum bekerja sebagai tukang jahit sepenuh masa.
Berbicara lanjut mengenai perniagaan itu, pada mulanya dia mengambil tempahan menjahit baju kurung dan baju kebaya dari rumah kerana khuatir tidak ramai pelanggan.
Dengan mengenakan caj bayaran sebanyak RM35 bagi setiap pasang, rezeki daripada bidang itu dilihat semakin meningkat apabila para pelanggan yang tinggal di kawasan berhampiran rumahnya memuji hasil jahitan dan sulamannya.
MARA antara institusi yang banyak melahirkan tenaga mahir termasuk dalam bidang jahitan dan sulaman.


"Alhamdullilah, rezeki saya dalam bidang ini semakin berkembang jadi, saya juga mula belajar pelbagai jenis sulaman untuk memberi kelainan kepada pelanggan," katanya sambil memberitahu sulaman kerawang popular pada zaman dahulu.
Menyentuh mengenai sulaman, wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui, bukan mudah untuk menyulam benang dengan menggunakan mesin jahit khas berserta pemateri kerana ia menuntut ketelitian dan kesabaran yang tinggi.
Dia yang pernah ditegur oleh salah seorang pelanggannya kerana hasil sulaman yang tidak kemas menyebabkan dia lebih berhati-hati selepas itu.
"Masa itu bentuk-bentuk lubang pada baju kebaya yang ditempahnya tidak sama. Memang tidak sangka, sampai ke situ pelanggan tersebut akan melihatnya," sambil menunjukkan contoh sulaman biku, kerawang, teluk dan sulaman highlight.
Bagaimanapun, peristiwa itu dijadikan sebagai teladan supaya tidak mengulangi perkara yang sama.
Mengulas mengenai jahitan sulaman, dia mengakui di Kuala Lumpur sangat susah mencari tukang jahit sulaman kerana ia melibatkan kerja yang remeh dan kesabaran yang tinggi terutamanya sulaman yang berlubang-lubang.
Sulaman itu perlu ditenun dengan menggunakan stroller dan sekiranya tidak melihat saiznya ia akan mencacatkan tenunan.
Malahan, tempoh masa untuk menyiapkan baju juga menjadi faktor kebanyakan tukang jahit enggan mengambil upah jahit sulam.
Omi yang mempunyai pengalaman hampir 20 tahun juga mengakui dia akan mengambil masa seminggu hingga satu bulan untuk menyiapkan sepasang baju kurung.
"Ia bergantung kepada jenis sulaman. Pada kebiasaan, sulaman kerawang yang mengambil masa yang lama untuk siap," katanya yang turut mengadakan bengkel jahitan sulaman di kedainya.
Apapun, pengalaman yang begitu lama dalam bidang jahitan tidak mahu dipersia-sia begitu sahaja sebaliknya mengambil inisiatif untuk mengajar cara-cara menjahit sulaman.
Tidak lokek ilmu
NURASHIKIN menunjukkan kebaya sulam yang dijual di kedai miliknya Isra Collection.


Sejak 12 tahun yang lalu, Omi mula mengadakan bengkel kepada mereka yang berminat untuk mempelajari selok-belok mengenai jahitan sulaman.
"Sayang jika jahitan sulam dilupakan tanpa ada yang mewarisinya," ungkap Omi yang memberitahu upah jahitan sulaman antara RM35 hingga RM300 mengikut jenis sulaman.
Menyentuh mengenai modul yang diajar, Omi memberitahu, dia akan mengajar 18 modul mengenai jahitan dengan mengenakan bayaran sebanyak RM1,000 bagi tempoh tiga bulan.
"Sepanjang bengkel itu, saya akan mengajar cara-cara jahitan sulaman yang asas sehinggalah ke tahap akhir," katanya.
Gemar sulaman kerawang
Bagi, Zarena Bakhtiar, 25, dia amat meminati baju kurung jenis kerawang untuk digayakan pada majlis perkahwinan rakan-rakan dan saudara-mara.
Menurut kakitangan swasta itu, jika mahu menempah baju kurung sulaman bayarannya agak mahal. Oleh itu, dia lebih gemar membeli baju kebaya kerawang yang berharga antara harga RM100 hingga RM130.
"Selalunya saya akan beli baju kebaya kerawang yang sudah siap bukannya secara tempah. Lagipun, banyak pilihan, corak dan warna," ujarnya yang sanggup datang dari Putrajaya ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).
Sementara itu, seorang pengusaha pakaian, Nurashikin Abdullah, 40, berkata, selama 10 tahun berniaga jualan baju kebaya kerawang dan baju kebaya sulaman jenis goyang, busana itu sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan.
Dia yang membuka perniagaan di Jalan TAR memberitahu, masih ramai pelanggan yang berminat terhadap baju jenis sulaman tersebut terutama menjelang Hari Raya.
Selain mengimport pakaian dari Bandung, Indonesia, anak jati Kelantan itu turut mempunyai 10 orang tukang jahit baju kebaya kerawang di Klang.
"Apa yang boleh dikatakan, baju jenis goyang sangat diminati pelbagai bangsa," katanya sambil memberitahu, dia menjual baju kurung jenis sulaman itu pada kadar RM159.

USM – MARA JALIN KERJASAMA


usmmara
Kuala Lumpur, 7 Ogos 2012 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama dalam bidang pendidikan pada masa hadapan.
“USM amat menghargai kerjasama rapat dengan pelbagai agensi lain, yang terkini dengan MARA dalam usaha meluaskan jaringan kerjasama untuk faedah rakyat dan negara pada masa hadapan,” kata Profesor Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM selepas mengunjungi Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad di pejabatnya di sini.
Menurut Omar, kerjasama ini penting dalam merealisasikan usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pihak antaranya untuk membangunkan dan memperkasakan proses pendidikan sedia ada, penawaran program pengajian pada peringkat ijazah tinggi, pelaburan dan pensarjanaan sumber manusia.
“USM bersedia untuk menawarkan program-program tertentu pada peringkat ijazah tinggi kepada pihak MARA  terutamanya yang melibatkan staf yang ingin menambahkan ilmu pengetahuan pada peringkat yang lebih tinggi,” tambah Omar.
Pertemuan kira-kira dua jam di antara kedua-dua pihak akan disusuli dengan program-program rasmi tertentu dalam masa terdekat bagi melaksanakan perancangan yang dipersetujui bersama. 
TEKS & FOTO: MOHAMAD ABDULLAH

Friday 3 August 2012

MARA, TEKUN mampu bantu Melayu dan bumiputera



KUALA LUMPUR 1 Ogos - Dalam kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera, Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sememangnya menjadi 'lubuk' untuk mendapatkan bantuan bagi memulakan atau memperkukuhkan perniagaan.

Namun kebelakangan ini timbul persepsi mengenai kesukaran mendapatkan pinjaman dan bantuan daripada kedua-dua agensi itu sehingga ada yang membuat tuduhan nakal bahawa kerajaan tiada duit.

Bagaimanapun, tuduhan yang dibuat tidak semestinya benar. Buktinya pada 2011, lebih RM440 juta pembiayaan perniagaan diluluskan MARA membabitkan 5,188 peminjam.

Malah menurut Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Mohd. Rosdi Ismail, sehingga 31 Mac lalu, seramai 1,140 peminjam telah menerima manfaat daripada kelulusan berjumlah RM99,634,700 tahun ini.

"Pada masa ini, skim pembiayaan MARA masih dapat meneruskan agenda membantu usahawan Bumiputera untuk meningkatkan perniagaan.

"Tidak sekadar membantu dari segi kewangan, MARA dalam pada itu turut mempunyai program latihan keusahawanan.

Justeru, bagi mereka yang memerlukan modal besar atau latihan secukupnya, anda boleh mendapatkan nasihat melalui Pejabat MARA Daerah (PMD)," katanya.

Beliau mengulas isu modal serta kemahiran yang sering dihadapi usahawan Melayu dan bumiputera dalam industri telekomunikasi.

Bagi individu yang terlibat dalam industri berteknologi termasuk telekomunikasi, MARA turut menyediakan program dikenali sebagai program pembangunan teknousahawan.

"Teknousahawan adalah bidang keusahawanan yang mengaplikasikan dan menggunakan kepakaran teknologi dalam pengeluaran produk, perkhidmatan, pengurusan perniagaan dan membuat keputusan berkaitan perniagaan," katanya.

Tambah beliau, objektif program ini adalah ke arah peningkatan dan pengukuhan teknousahawan sebagai peneraju atau pemain industri yang mampu menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara (GDP) negara oleh PKS bumiputera," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat, Khidmat Pelanggan dan Pemasaran Tekun, Nooraida Ismail memaklumkan, sejak ditubuhkan pada 1998, sebanyak 210,000 peminjam telah mendapat manfaat dari program yang diperkenalkan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM2 bilion.

"Peruntukan yang diberikan kerajaan kepada TEKUN telah ditambah kepada RM300 juta berbanding hanya RM120 juta pada tahun lalu. Tentunya, ia mampu memberi lebih manfaat kepada Melayu dan bumiputera,'' katanya.

Badminton Olimpik: Chong Wei mara separuh akhir



PEMAIN nombor dua dunia Datuk Lee Chong Wei layak ke separuh akhir badminton Sukan Olimpik 2012 selepas mengalahkan pemain India Kashyap Parupali dalam saingan suku akhir di Arena Wembley di sini, lewat malam tadi (awal pagi ini waktu Malaysia).
Chong Wei mengambil masa 44 minit untuk melakarkan kemenangan 21-19, 21-11 ke atas lawannya itu dan akan menentang pemain nomboor tiga dunia Chen Long dari China pada perlawanan separuh akhir.
Pada set pembukaan, Chong Wei, mula melakukan gerakan perlahan untuk mencari rentak selepas tidak beraksi secara kompetitif akibat kecederaan buku lali sejak Mei lalu, dan terpaksa ketinggalan 3-6, 5-9, 6-10, 10-14.
Bagaimanapun, Chong Wei, yang menang pingat perak pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, berjaya memburu mata demi mata untuk
menyamakan kedudukan 15-15 sebelum mengutip set pertama 21-19 dalam masa 27 minit. Pada set kedua, Chong Wei mula memantapkan pukulan set-piece dan Kashyap tidak dapat menandingi ketangkasan pemain pilihan utama itu sebelum akur dengan keputusan 21-11 dalam masa 17 minit.


Selepas mengharungi dua perlawanan dalam kumpulan A menentang Ville Lang dari Finland dan pemain Indonesia, Simon Santoso, Chong Wei berkata, walaupun nampak mudah, namum Kasyhap memang memberi tekanan kepadanya.
"Dia bagus dan cuba mengganggu rentak sehingga memaksa saya melakukan beberapa kesilapan. Sekiranya saya ikut rentaknya, dia akan kalahkan saya," kata Chong Wei selepas perlawanan itu.
Dalam pada itu, dalam satu lagi pertemuan suku akhir, Chen Long tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pemain berpengalaman dari Denmark, Peter Gade dengan keputusan 21-16, 21-13.
Mengenai pertemuan dengan Chen Long esok, Chong Wei berkata, lawannya itu dikenali dengan corak agresif dengan melakukan pukulan rali.
"Saya perlu bersedia untuk mengubah rentak," katanya.
Berpandukan statistik lepas, Chong Wei mempunyai kelebihan 6:4 dan kali terakhir mengalahkan pemain China itu pada Terbuka Malaysia 2012 Januari lepas dalam rubber-set 21-18, 17-21, 21-13.
Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata Chen Long dijangka menampilkan permainan rali dan Chong Wei perlu menggunakan ketangkasan untuk mematahkan rentak lawan.
"Chen Long telah mengubah gerakan taktikal dari pantas dan serang kepada pukulan jauh dan di situ Chong Wei perlu berjaga-jaga kerana lawannya itu hanya menunggu masa untuk mematikan pukulan," katanya. - Bernama