maiamalina@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Apabila mula hilang fokus dan keyakinan, saya akan ingatkan diri semula yang saya ada amanah daripada rakyat yang menaja pengajian saya. Jadi saya wajib berusaha hingga berjaya,” kata Musfirah Syahira Musa, 24.
Penuntut tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Kejuruteraan (Petroleum), University of Adelaide, Australia itu adalah penerima tempat kedua Anugerah Merdeka 2012 anjuran Majlis Perniagaan Australia-Malaysia, Cawangan Australia Selatan, baru-baru ini.
Anugerah itu diadakan setiap tahun bertujuan mengiktiraf pelajar terbaik Malaysia yang belajar di universiti di Australia Selatan, sekali gus membimbing dan memupuk selaku pemimpin generasi akan datang.
Menurut Musfirah Syahira dari Kapar, Selangor, dia tidak meletakkan dirinya sebagai pelajar dari kelompok cemerlang dan rajin kerana mudah untuk hilang fokus dalam pelajaran, terutama apabila berdepan pelbagai masalah seperti projek serta tugasan.
Bagaimanapun katanya, untuk menangani faktor itulah, dia sentiasa mengingatkan diri bahawa pengajiannya ditaja Majlis Amanah Rakyat (MARA), sekali gus wajib baginya berusaha mencapai kejayaan.
“Memang susah nak sentiasa mendapat keputusan cemerlang apabila belajar dalam bidang kejuruteraan, tapi Alhamdulillah Allah murahkan rezeki saya untuk mendapat penganugerahan daripada pihak fakulti dan universiti.
“Saya juga percaya salah satu faktor kejayaan ini ialah atas berkat doa daripada ibu yang tak pernah putus-putus, malah dalam masa sama, saya turut melakukan qiamullail seboleh mungkin, bertahajud dan solat hajat memohon dipermudahkan urusan,” katanya.
Atas kesungguhan itu, Musfirah Syahira pernah memperoleh Dean’s Certificate of Merit 2011 untuk pencapaian cemerlangnya dalam bidang diambil dan penghargaan Golden Key International Honours Society 2011 bagi 15 peratus pelajar cemerlang di universiti.
Anugerah lain termasuklah Biasiswa Santos (Insentif) 2011 yang diberi setiap tahun kepada pelajar cemerlang di Australian School of Petroleum (ASP) dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar A-Level 2008.
Katanya, dia sangat menghargai anugerah terbaru yang diterimanya, tapi menyifatkan perjuangan paling besar yang perlu ditempuh ketika ini adalah mendapatkan segulung ijazah dengan kepujian kelas pertama.
Beliau berkata, dia berjanji selepas itu akan menyumbang keringat dan pengalaman di tanah air.
Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012
No comments:
Post a Comment