Tuesday 28 August 2012

Parit kurang sekolah asrama

Parit kurang sekolah asrama

Sebahagian murid yang hadir gembira menerima sumbangan duit raya disampaikan oleh Mohd Zaim dan Mohd Nizar



Oleh: Wartawan Sinar Harian 

Tarikh: August 27, 2012



Ketua Umno Bahagian Parit Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, berbanding daerah lain, kawasan itu masih kekurangan sekolah berasrama penuh.

Menurutnya, kini, hanya terdapat sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Parit yang baru sahaja dibuka dan beliau mengharapkan sebuah lagi sekolah berasrama penuh dapat dibina di kawasan berhampiran.

“Di kawasan MRSM berkenaan masih ada lagi baki tanah seluas 60 hektar dan kita harapkan sekolah berasrama penuh yang baru dapat dibina di kawasan itu,” katanya pada majlis penyampaian duit raya kepada 194 murid sekolah di Parlimen Parit.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria. Mohd Zaim berkata, kertas kerja permohonan sekolah berkenaan akan dibuat Pejabat Pelajaran Daerah Perak Tengah dan pihaknya akan menghantar permohonan itu kepada Kementerian Pelajaran.

Jelasnya, setelah kertas kerja itu siap ia akan dihantar kepada kementerian terlibat bagi memastikan hasrat tersebut tercapai.

"Satu ketika dulu pekan Parit menjadi pusat pentadbiran daerah berkenaan namun setelah pusat pentadbiran bertukar ke Seri Iskandar, Pekan Parit seolah-olah terbiar. “Kita tidak mahu terus meminggirkan pekan Parit kerana kawasan ini berpotensi untuk membangun,” katanya.

Kata beliau, usul juga akan dibuat bagi memastikan lebih ramai anak-anak Parlimen Parit dapat melanjutkan pelajaran di MRSM Parit. “Kita harap supaya pihak berkenaan memberi lebih peluang kepada anak-anak di kawasan ini untuk belajar di sekolah berkenaan.

“Ini turut didorong dengan kesedaran ibu bapa yang mahu anak mereka belajar di sekolah berasrama memandangkan lebih banyak persaingan untuk menjadi yang terbaik,” katanya.

No comments:

Post a Comment