Thursday, 9 August 2012

USM – MARA JALIN KERJASAMA


usmmara
Kuala Lumpur, 7 Ogos 2012 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama dalam bidang pendidikan pada masa hadapan.
“USM amat menghargai kerjasama rapat dengan pelbagai agensi lain, yang terkini dengan MARA dalam usaha meluaskan jaringan kerjasama untuk faedah rakyat dan negara pada masa hadapan,” kata Profesor Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM selepas mengunjungi Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad di pejabatnya di sini.
Menurut Omar, kerjasama ini penting dalam merealisasikan usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pihak antaranya untuk membangunkan dan memperkasakan proses pendidikan sedia ada, penawaran program pengajian pada peringkat ijazah tinggi, pelaburan dan pensarjanaan sumber manusia.
“USM bersedia untuk menawarkan program-program tertentu pada peringkat ijazah tinggi kepada pihak MARA  terutamanya yang melibatkan staf yang ingin menambahkan ilmu pengetahuan pada peringkat yang lebih tinggi,” tambah Omar.
Pertemuan kira-kira dua jam di antara kedua-dua pihak akan disusuli dengan program-program rasmi tertentu dalam masa terdekat bagi melaksanakan perancangan yang dipersetujui bersama. 
TEKS & FOTO: MOHAMAD ABDULLAH

No comments:

Post a Comment