Tuesday 14 August 2012

Peluang terhidang


Oleh Fazurawati Che Lah dan Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Program Pembangunan Usahawannya menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada Bumiputera negara ini untuk menjalankan perniagaan termasuk dalam bidang jahitan.

Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Mohd Rosdi Ismail berkata, daripada bantuan kewangan, premis perniagaan hinggalah strategi pemasaran, semuanya disediakan Mara kepada mereka yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Katanya, dalam konteks jahitan sendiri, MARA sejak 1986 lagi sudah pun berusaha ke arah menghasilkan usahawan Bumiputera dalam bidang itu melalui penawaran kursus jahitan di GiatMara.

Menurut beliau, ketika ini, 114 daripada 231 GiatMara di seluruh negara menawarkan kursus itu dengan seramai 38,747 pelajar tamat dan menerima sijil bagi kursus terbabit.

“Ini adalah antara pendekatan MARA dalam membantu Bumiputera menceburi bidang keusahawanan. Individu yang berminat mendalami ilmu jahitan tidak kira usia boleh mengikuti kursus peringkat sijil di Pusat Giat Mara.

“Menerusi pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan secara bersepadu, kita yakin semua pelajar yang tamat dalam bidang ini boleh bergelar usahawan berjaya asalkan mereka cekal.

“Program ini juga selaras usaha kita melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk melahirkan sekurang-kurang 100 usahawan jutawan dan ketika ini, Oli Collection yang mengendalikan perniagaan jahitan berpangkalan di Johor boleh dianggap menyumbang kepada angka ini,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut di sini.

Mohd Rosdi menjelaskan, kursus latihan menjahit di GiatMara seharusnya dimanfaatkan Bumiputera kerana ia tidak terhad dari segi peringkat umur ditambah dengan kemudahan pembiayaan mudah sekiranya tamat kursus dengan sempurna.

Kata beliau, sasaran MARA sekurang-kurangnya dua hingga lima peratus daripada jumlah pelajar yang mengikuti latihan jahitan mengakhiri kursus mereka dengan menceburi bidang keusahawanan dalam sektor berkenaan.

“Apa yang berlaku sekarang, jumlahnya tidak pun mencecah dua peratus. Kita mahu semua yang mengikuti program latihan ini sedar dengan bantuan bersepadu yang disediakan MARA. Sama ada perniagaan mereka berjaya atau sebaliknya, MARA akan tetap membantu bila diperlukan,” katanya.

Menurut Mohd Rosdi, ketika ini di Medan MARA (ibu pejabat) saja terdapat 72 lot kedai yang disewakannya membabitkan perniagaan jenis jahitan dan jumlah itu melangkaui 40 peratus daripada keseluruhan lot yang ada di situ iaitu 188 unit.

Bagaimanapun katanya, hanya antara satu hingga dua peratus daripada keseluruhan lebih 7,300 penyewa lot kedai MARA di seluruh negara membabitkan perniagaan berasaskan jahitan.

“Dari segi pembiayaan, secara keseluruhannya sejak 1997, seramai 1,916 usahawan jahitan menerima bantuan kewangan daripada MARA dengan jumlah dana sebanyak RM25.7 juta.

“Pelbagai skim pembiayaan kita tawarkan kepada Bumiputera dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka dengan pinjaman serendah RM10,000 hingga mencecah jutaan ringgit. Semuanya bergantung kepada sejauh mana mereka meyakinkan kita dengan perniagaan yang dijalankan.

“Untuk tahun ini saja, kita mempunyai peruntukan RM400 juta untuk pembangunan usahawan Bumiputera merangkumi semua bidang jadi selagi ia masih berbaki, semua usahawan sama ada baru yang sedia ada boleh memohon,” katanya.

Di bawah Program Pembangunan Usahawan Bersepadu MARA, lima aspek utama ditekankan iaitu minat menjalankan perniagaan, industri yang ingin diceburi, premis untuk perniagaan mereka, bantuan kewangan untuk modal mahupun modal pusingan dan industri sokongan seperti promosi, pemasaran, penjenamaan dan lain-lain.

Antara bantuan yang disediakan MARA untuk pembiayaan dalam bidang jahitan termasuk Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPPP) dan Program Usahawan Teknikal (Putek).

No comments:

Post a Comment